Saturday, January 11, 2014

SASTERAWAN ISENG-ISENG






SASTERAWAN ISENG-ISENG KERJANYA BERMAIN; MAIN-MAIN


Usman Awang dalam cerpennya "Sebuah coretan" memetik satu ungkapan menarik; menarik untuk renungan bersama:

"Kalau dalam politik kita berpisah, maka dalam kebudayaaan kita bersatu."

Sekarang ini, jangan pelik jika mendengar 'kebudayaan' itu sering digantikan dengan 'Islam', 'Melayu', 'Melayu-Islam' atau pelbagai istilah yang serupa dengannya.


2.0 Watak Sang Penguasa dan Mereka Yang Ditindas

Apa lagi yang ada dalam cerpen ini?  Cerpen menceritakan pengalaman seorang mata-mata yang 'terlibat'.  Dalam perenggan keempat, kelima dan keenam cerpen yang ditulis dalam tahun 1958 iaitu setahun setelah Malaya merdeka, kita temui pemerhatian tajam, kritis-jujur seorang sasterawan yang memang terbukti cukup gagah:

"Berasaskan gambaran inilah pula maka aku ingin 'berjuang' untuk menunaikan 'kewajipan' sebagai seorang yang disebutkan 'pengaman negara'.

"Semangat ini sungguh memuncak. Pada waktu itu sekitar tanahair sedang hebat berlaku perjuangan antara pihak pemerintah Inggeris yang menguasai Tanah Melayu dengan pihak yang dikatakan penjahat-penjahat komunis di dalam hutan rimba..."


"Kepada kami banyak didengongkan bahawa 'kewajipan kamilah untuk menghapuskan segala keganasan dan kekejaman'.  Perjuangan kami bererti 'membela bangsa dan negara'.  Sekiranya kami gugur maka kami telah 'berbakti kepada Ibu Pertiwi...'"


3.0 Dengung Sang Penguasa tetap sama sepanjang zaman 


Membaca cerpen di atas, kita semakin yakin bahawa sepanjang zaman,  tingkah laku Sang Penguasa yang tidak bersama rakyat itu tidak banyak berbeza.  Apakah pemerhatian Usman Awang tentang ‘perjuangan menghapuskan keganasan dan kekejaman’ , BERBEZA dengan segala huha teriakan supaya dikembalikan ISA yang zalim itu?  Apakah seruan lantang seorang mantan Menteri Perdana yang disambut pula dengan penuh kegembiraan dan gegak gempita oleh Orang Paling Besar Polis yang sedia ada, tidak menunjukkan azam satu Penguasa yang telahpun mati akalnya untuk berubah?

Lihatlah bagaimana putaran dan kitaran penindasan Sang Penguasa itu terhadap mereka yang menuntut perubahan itu dilaksanakan.  Watak-watak yang terlibat mungkin saja berubah - tapi PLOTnya tetap sama saja ― ia tidak pernah berubah.  Makanya dalam konteks ini,  kita ingin ulangi pertanyaan yang sama untuk kesekian kalinya:

Siapa kata sastera itu kerja main-main, kerja untuk bersuka-suka dan berpesta ria?  Yang main-main dan bermain hanyalah sasterawan iseng-iseng.


ps: Kepada anak-anak muda zaman ini, silalah anak-anakku baca antologi cerpen ini. Usman Awang, "Turunnya sebuah bendera" UA Enterprise: 2007.


 


No comments: