Sunday, January 5, 2014

Surat Untuk KakiSakat




Sahabat saya dalam Paksi, Sdr Nasser melalui blognya kakisakat.blogspot.com telah memberikan komennya tentang demonstrasi Umno Pulau Pinang terhadap pembelian kereta rasmi baru oleh Kerajaan Pulau Pinang.  Banyak yang diperkatakan tapi yang menarik ialah idea yang berikut ini...





BERNAMAnya versi Pakatan Rakyat

Sdr Nasser,

Mari kita lihat dari sudut yang positif.  Demonstrasi oleh Umno ini ada kebaikannya oleh kerana sebab-sebab berikut:

i) Sebagai peringatan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa pentadbirannya sentiasa diperhatikan dengan teliti.  Oleh kerana diperhatikan dengan teliti, maka tidak ada satu perkara pun yang boleh dilindungi dari mata Umno apatah lagi dalam perkara-perkara yang besar seperti bermewah-mewah dengan kenderaan rasmi.

ii) Sebagai perbandingan kepada rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri bagaimana Umno itu (dalam konteks ini,  Umno Pulau Pinang) prihatin dalam menjaga sumber kewangan negeri; sikap yang baik demi untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan oleh pihak pembangkang (dari kaca mata Umno Pulau Pinang, Pakatan Rakyat sebenarnya pembangkang walaupun Umno tidak memimpin kerajaan Negeri) ketika memerintah Pulau Pinang.

iii) Demonstrasi yang bukan bughah itu (sehinggakan halal darah mereka) bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri yang dipilih secara demokratik tapi ia adalah protes rakyat;  satu bentuk maklum balas yang sangat berguna kepada Kerajaan Negeri.  Bahawa Umno Pulau Pinang telah turun ke jalan raya untuk memprotes pembelian kereta rasmi yang baru kerana sebab-sebab yang sangat mendukacitakan Umno Pulau Pinang.  Bukankah ini maklum balas yang baik dan berguna?

2.0  Lalu, apakah respons Kerajaan Negeri Pulau Pinang?

i) Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan DAP Pulau Pinang sebagai tunggaknya boleh saja mendiamkan diri tanpa sebarang respons.  Jika berlaku, maka mungkin ada yang berfikir atau pun cenderung untuk berfikir bahawa Umno Pulau Pinang telah berjasa besar kerana berjaya membuat satu scoop yang terbaik!

ii) Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang boleh menjelaskan kenapa hujah-hujah Umno Pulau Pinang sehingga mereka terpaksa turun ke jalan raya itu, tidak betul. Ertinya Kerajaan Pulau Pinang menjelaskan kepada rakyat bahawa Umno Pulau Pinang telah turun berdemonstrasi dengan bersandarkan kepada fakta dan hujah yang tidak tepat iaitu sepertimana yang sdr sendiri cuba jelaskan.


3.0 Pakatan Rakyat boleh menyerang dengan medianya sendiri

Para 1 dan 2 di atas hanyalah mukadimah kerana para 3.0 inilah cadangan yang mahu dikemukakan. 

i) Media tradisional (akhbar, tv1,2,3 misalnya) tidak akan memberikan sebarang ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab atau pun berhujah. Salaklah,  bantahlah sehingga kiamat pun, peluang itu tak akan Pakatan Rakyat perolehi.  Sekarang ini pun Umno sudah kewalahan dan berhempas pulas menutup maklumat yang ia tidak mahu diketahui rakyat daripada bocor ke pengetahuan rakyat. Lebih sedikit yang diketahui rakyat,  lebih baik buat Umno.             
   
ii) Dalam perbincangan kita dalam Pesta Pensel Merah siang tadi (4 Januari 2014, Lebuh Pasar Besar Kuala Lumpur),  Sdr ada menyebutkan tentang perlunya BERNAMAnya versi Pakatan Rakyat.  Sebenarnya idea dan cadangan supaya para pengamal media bukan milik Umno bergabung telah berulang kali dikemukakan. Sudah beberapa kali kita mencadangkan supaya Harakah, Suara Keadilan dan the Roket misalnya bertemu dan membuat sesuatu yang nyata@konkrit dengan tuntas.  Dalam melihat BERNAMAnya versi Pakatan Rakyat ini, sebenarnya kita tidak mengharapkan perubahan mendadak yang mega yang mungkin tidak terdaya dilaksanakan sekarang ini.  Kita membayangkan hal-hal yang seperti ini:

a) Tv-tv milik Kerajaan Pakatan sedia ada (TV Selangor misalnya) menyiarkan berita mingguan yang mengulas isu-isu semasa yang dihadapi oleh Malaysia.  Jika dilaksanakan secara berkala ia akan menjadi tumpuan rakyat iaitu sebagai sumber maklumat alternatif yang boleh dipercayai.

b) Semua akhbar parti Pakatan Rakyat merumuskan strategi untuk melakukan sesuatu yang betul dengan media yang mereka miliki sekarang ini.  PAS, DAP dan Keadilan mesti muncul sebagai ‘sebuah kerajaan persekutuan’.  Berhentilah berfikir siapakah yang akan jadi menteri atau pun perdana menteri. 

c) Kita yakin media milik Pakatan Rakyat mampu memulakan dengan hal-hal yang mudah-mudah.  Ibarat seperti kata  TGNA semasa mengambilalih Negeri Kelantan kira-kira dua puluh tahun yang lalu, iaitu mulakan dengan sesuatu yang mudah yang tak perlukan duit untuk dilaksanakan; misalnya bagaimana memulakan dan menutup mesyuarat.  

Sdr Nasser,

Apakah duduk semeja merancang pendekatan dan strategi untuk menawan pandangan para pengundi Melayu melauli media yang mereka miliki pun tak mampu PAS, DAP dan Keadilan laksanakan?

Atau media itu hanya untuk mempamerkan muka-muka yang bakal jadi calon menteri setelah berkuasa?


  


No comments: