Wednesday, February 26, 2014

KEMISKINAN PEKEBUN KECIL KIAN MERUNCING





Kenyataan Media TERAS
25 hb Februari 2014


KEMISKINAN PEKEBUN KECIL KIAN MERUNCING - KENAPA KERAJAAN DIAM


Mengikut statistik dalam portal resmi RISDA , bancian terhadap pekebun kecil getah mendapati sekitar 61% ( kira-kira 90,000 pekebun kecil getah ) dari 180,000 pekebun kecil  berpendapatan kurang dari RM 500 sebulan.

Johor adalah negeri bilangan  pekebun kecil terbesar iaitu sekitar 38,000 orang dan sekitar 17,000 darinya  berpendapatan  kurang dari rm 500 sebulan . Manakala Kedah adalah ditangga ke dua iaitu kira-kira 20,000 pekebun kecil dan mempunyai 13,800 yang berpendapatan dalam kategori yang sama.

Bermakna dalam keadaan harga getah sekerap yang turun serendah Rm 2.29 sekilo , mereka boleh dianggap kelompok yang berada dalam kemiskinan yang meruncing.

Dalam keadaan musim kering , susu getah jauh lebih mengurang dan pekebun kecil tidak boleh menoreh setiap hari.

Sebab itu keresahan yang akan disuarakan dalam perhimpunan besar-besaran pekebun kecil getah pada 5 hb April ini ada rasionalnya.

Tidak mungkin pendapatan yang serendah Rm 500 dan kos sara hidup yang meningkat seperti sekarang , kelompok ini mampu bertahan.

Kami menyuarakan kepada pihak kerajaan bahawa jika sesuatu langkah tidak dilakukan , pekebun kecil akan berhadapan dengan keadaan yang sangat sukar untuk hidup pada tahap memenuhi keperluan asas sekalipun seperti makanan dan menyara persekolahan anak-anak.

Pihak kerajaan harus memberi perhatian yang wajar kepada keresahan yang sedang dialami oleh rakyat dikalangan kelompok ini.

Sehingga ini nampaknya belum ada kenyataan dari mana-mana Menteri atau pemimpin kerajaan untuk meneliti masalah kejatuhan harga komoditi getah yang meruncing.

Kami berpendapat dengan pembayaran  BR1M yang sekarang dihebohkan tidak akan meringankan beban penderitaan yang bakal dilalui oleh pekebun kecil dalam masa yang  lama.

Kerajaan yang boleh mengambil langkah diperingkat dasar dengan mengujudkan stok pengimbal getah telahpun disuarakan oleh beberapa pihak, namun belum mendapat reaksi dari pihak kerajaan.

Kami mengambil maklum kerajaan mensasarkan peningkatan sumbangan industri getah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada RM70 bilion menjelang 2020 berbanding RM25 bilion pada 2009 .

Bagi memastikannya berjaya, tiga program utama bagi mencapai sasaran berkenaan telah dikenal pasti di mana kawasan ditanam getah dikekalkan sekurang-kurangnya sejuta hektar dan hasil getah dipertingkat di samping keperluan memesatkan perkembangan produk hiliran dan selanjutnya memperkenalkan produk getah baru bernilai tinggi.

Industri getah kini menjadi fokus khas di bawah Bahagian Ekonomi Utama Nasional (NKEA) memandangkan industri itu turut menyumbang kepada KDNK sejak dulu lagi .

Soalnya jika jelas industri getah sedemikian besar sumbangannya kepada negara kenapa nasib pekebun kecil getah dibiar terumbang-ambing sehingga pendapatan mereka turun naik dan tidak menentu.

Sepatutnya pihak berkuasa yang memantau dan membangunkan  industri getah boleh membuat jangkaan pasaran getah asli dunia dan dengan itu menyediakan mekanisme bagaimana harga getah dapat dipertahankan pada harga yang munasabah untuk menjaga kepentingan pekebun kecil.

Kami kesal keresahan pekebun kecil yang disuarakan di Sik , Padang Terap dan Baling baru-baru ini tidak mendapat respon yang wajar dari pihak kerajaan.

Harus diingat tunjuk perasan akibat kejatuhan harga getah oleh ribuan penoreh getah pada 19 hb November 1974 di Baling , Kedah adalah pengajaran besar yang perlu diambil iktibar.

Kami ingin mengambil perhatian bahawa BR1M yang dianggap bukti kerajaan berusaha meringankan beban rakyat tidak memberi apa-apa makna apabila dalam masa yang sangat singkat wang RM 650 yang diedar akan habis sekelip mata kerana hakikatnya kerajaan mahu rakyat membelanjakan wang itu untuk merangsang ekonomi , bukan menyelesaikan masalah kesusahan rakyat yang sebenar.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS)