Thursday, February 27, 2014

Lemahnya kerajaan Melayu dan institusinya Bahagian 4



Petunjuk betapa lemahnya kerajaan Melayu dan segala institusinya?
Bahagian 4: Orang-orang Melayu Umnolah yang memimpin Malaysia


5.0

Sejak sebelum merdeka lagi, politik negara kita telah dilagang dan dicorakkan oleh Umno. Sejak sebelum merdeka Umno dipercayai oleh pihak British sehinggakan kuasa politik Malaya ketika itu diserahkan kepada Umno.  Para penentang British seperti kelompok Melayu kiri apatah Parti Komunis Malaya tidak pernah diberi muka oleh penjajah itu.  Penjajah lebih yakin kepada Tunku Abdul Rahman dan pasukannya. 


Sejak merdeka rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu,  yakin seyakinnya bahawa Umno itu parti ulung, pelindung dan penyelamat mereka.  Oleh kerana kepercayaan yang tidak pernah berbelah bagi ini,  maka orang-orang Melayu telah menyerahkan seluruh kehidupan mereka kepada Umno.  Bagi mereka,  hidup dan mati mereka di ‘negara mereka sendiri’  ialah kerana Umno. Tanpa Umno,  mereka sudah pasti punah dan musnah.  Begitulah Umno di mata sekian ramai orang-orang Melayu ― dipercayai, diyakini sehingga dijunjung di atas jembala oleh sebahagian besar orang-orang Melayu.  Kita ulangi,  orang-orang Melayu yakin dan percaya bahawa nasib dan masa depan mereka sememangnya ditentukan dan terletak di tangan Umno. Dalam konteks kepercayaan yang mutlak inilah, maka terdapat dalam kalangan orang-orang Pas yang mendakwa bahawa inilah bentuk syirik yang dianuti oleh sesetengah orang-orang Melayu.  Kata para agamawan Pas, terdapat orang-orang Melayu yang jatuh syirik kerana meletakkan masa depan kehidupan mereka di tangan sebuah parti politik.  Namun rata-rata orang Melayu tidak percaya dengan tuduhan syirik ini kerana bagi mereka,  itu semua hanyalah helah dan tuduhan kerana dorongan politik semata-mata.  Pendek kata, latar yang sedemikianlah membuat parti Umno menguasai parti politik Malaysia,  khususnya politik orang-orang Melayu. Ertinya sejak merdeka politik Malaysia kita telah dilagang, dicorak, ditentukan dan dikuasai oleh Umno.  Bagi sekelompok besar rakyat Malaysia,  Umno itu segala-galanya.

Makanya siapa menguasai Umno, menguasai Malaysia.



No comments: