Friday, February 28, 2014

My Ultimate Protector





My  ultimate protector
('Orang serumah', pelindungku)


Di kampung kami, sama seperti kampung-kampung canggih dan moden lain di seluruh negara, terdapat sebuah institusi awam yang menggendalikan segala maslahah rakyat.  JKKK namanya.  Di kampung kami, ada yang masih menggunakan nama yang ‘betul’ dan nama yang ‘sepatutnya’ untuk singkatan institusi tersebut, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung. Namun ada yang memilih untuk menyakat misalnya dengan frasa Jin Kuda Kayu Kampung atau frasa yang sedikit berbeza Jin Kampung Kuda Kayu.  Dan seperti biasa ramai yang lihai dalam kerja-kerja karang mengarang pelbagai label dan gelaran yang sarat cemuhan,  muncul dengan versi masing-masing.    

Jika mahu dilihat dari sudut positif, perbuatan menyakat, mencemuh, mempermain-mainkan dan lain-lain itu boleh dilihat sebagai isyarat dan petunjuk bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan institusi awam seperti JKKK ini. Bahawa dalam kampung, terdapat mereka yang tidak begitu gemar dengan apa yang berlaku pada batang tubuh JKKK itu.


2.0

Maka satu waktu kubertanya kepada Man, Bedul dan Mid, rakan-rakan sekampung,  apa yang tidak kena dengan JKKK kita? Kataku, “Di mata kalian, apakah yang kurang dengan JKKK kita?”

Man: Kenapakah tidak ada pemilihan oleh penduduk, siapa yang memimpin dan menjadi AJKnya? Kenapakah orang-orang seperti ini ditojohkan ke dalam kerongkong orang-orang kampung?

Aku: Ya, aku juga pelik kenapakah pemimpin besar Negeri takut dengan pilihan anak-anak kampung sendiri...

Bedul:  Walaupun pun saf kepimpinan itu dipilih sendiri oleh orang-orang kampung, aku tidak fikir komposisi AJK seperti yang sedia ada sekarang ini, sihat untuk sebuah institusi. 

Aku: Aku tak faham kenapakah saf kepimpinan yang dipilih oleh rakyat secara telus, terbuka dan demokratik perlu dipertikikan?

Bedul:  Apakah saf kepimpinan semestinya diperkukuhkan dan diperkasakan dengan kehadiran anak pinak, saudara mara, ipar duai dari satu kelambu?

Aku: Tapi...bukankah mereka dipilih?

Bedul:  Apakah pemimpin tak punya sebarang ikhtiar dan kebijaksanaan untuk merenung seluruh persekitaran yang wujud dan ― akhirnya memberikan sedikit nasihat?

Aku: Tapi jangan lupa seluruh kampung memilih orang-orang ini?

Bedul:  Orang-orang yang memilih MUNGKIN terlupa untuk membayangkan proses-proses yang terlibat dalam pengurusan sesebuah organisasi, misalnya proses membuat keputusan, decision makingnya.  Bayangkan ada satu keputusan penting yang melibatkan kepentingan Pengerusinya sendiri, apakah kau fikir segala AJK itu akan membantah sekiranya Pengerusi dikelilingi oleh orang-orang sekelambu?  Contoh yang lebih khusus, apa kau fikir Pengerusi mahu memulakan proses disipilin terhadap anak pinak sekelambu?

Aku:  Mid? Sejak tadi diam saja, tak mau kata apa-apa?

Mid: Jalan paling selamat ialah tidak berbuat apa-apa dan tidak berkata apa-apa walaupun itu bukanlah perbuatan yang betul?  Bukankah begitu?

 
3.0

Apabila Pengerusi JKKK keseorangan tatkala dia dihentam dipalu,  bertalu-talu ― kiri dan kanan, atas dan bawah, depan dan belakang ― oleh mereka yang mahu menjatuhkannya, dan di saat itu ternyata dia terkonteng-konteng dilindungi hanya oleh orang sekelambu, apakah itu petanda yang baik untuk seorang pemimpin?




No comments: