Sunday, March 2, 2014

Teori pakat-pakat Najib-Anwar



Tentang  permainan “Wa tolong sama lu, lu tolong sama gua”


1.0 Dunia politik juga ada teorinya


Waktu di sekolah menengah dalam tahun-tahun 60an, cikgu sains kami Mr Ong pernah memberitahu bahawa dalam ilmu sains terdapat yang namanya hipotesis, teori atau undang-undang (Law).  Kata cikgu yang terkenal dengan ungkapan “Today, I am made poorer by so much and so much”, urutan teratas dalam hierakinya hipotesis-teori-law ialah Law.  Lalu diberikannya ‘Undang-Undang’ seperti Newton’s Law of motion yang kata cikguku adalah sesuatu yang benar dan telahpun dibuktikan dan terbukti kebenarannya.  Sementara yang masih kabur dan masih tepu tanda tanya ialah hipotesis.

Ternyata dunia politik, termasuk dunia politiknya Umno hukum hakam matematik-fizik seperti ‘teori itu’ atau pun ‘teori ini’ juga mendapat tempat.  Salah satu teori yang cukup popular dalam dunia politik Umno dan paling kerap pula diangkat oleh para pemerhati ialah teori konspirasi, misalnya konspirasi si Anu mahu menjatuhkan si polan dari takhta kerajaan.  Sesungguhnya, fasa menjatuhkan si polan dan si polan oleh si Anu itu paling gencar semasa Malaysia kita diperintah oleh si Anu selama lebih dua dekad.      


2.0 Si Anu dengan kerja rutinnya ― berkonspirasi


Menurut the Malaysian Chronicle, demi mengaut keuntungan maksima buat diri masing-masing, Kadir Jasin lewat blognya The Scribe telah berteori/berhipotesis perihal kerja-kerja pakat memakat di antara Najib dan Anwar.  Katanya dengan berpakat, Anwar mendapat untung, dan Najib juga perolehi laba yang lumayan kerana bersedia untuk berpadu tenaga dalam kerja-kerja pakat memakat. 

Setelah diteliti, aspek-aspek pakat memakat yang dipaparkan oleh the Malaysian Chronicle, antara lain termasuklah aspek-aspek berikut:
 
i) Kritikan Mahathir dan Daim terhadap Najib ‘boleh diketepikan’ jika Najib berpakat dengan Anwar.

ii) Pakatan Najib dengan Anwar mampu menguatkan lagi kedudukannya,  serta menghapuskan PR dan pengkritiknya yang paling lantang.

Sila ambil maklum, ‘nya’ dalam ayat di atas merujuk Najib.  Jika diayatkan semula,  kalimat di atas bermaksud begini: 

Kerja pakat memakat di antara Najib dengan Anwar mampu menguatkan lagi kedudukan Najib serta membolehkan Najib menghapuskan Pakatan Rakyat dan Anwar.  Anwar adalah pengkritik Najib yang paling lantang.

iii) Anwar boleh menikmati keistimewaan dan juga dilindungi, sekiranya beliau menjadi ahli kerajaan.  Semua orang akan bahagia. 



Maksudnya:

Sekiranya Anwar dilantik menjadi Menteri dengan kuasa perkasa dalam kabinet Najib, Anwar memiliki kuasa orang besar.  Semua orang (ertinya Anwar dan Najib) sama-sama bahagia kerana “Wa tolong lu, lu tolong sama gua”

iv) Selain menentang Daim, Anwar juga boleh menggantikan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, hasil pakatan dengan Najib.

Maksud ayat di atas boleh dibaca begini:

Hasil kerja pakat memakat di antara Najib dan Anwar, Khalid dibuang dari jawatan Menteri Besar Selangor dan Anwar bertambah bahagia kerana dapat menggantikan tempat Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.  Sekali lagi, Anwar bahagia.

v) Anwar mempunyai kebolehan menjauhkan Selangor daripada PR sekiranya beliau berasa hampir kalah.  Sekiranya beliau berpakat dengan Najib, beliau boleh mengeluarkan Khalid.

Apakah ayat di atas dibaca begini:?

Sekiranya Anwar berasa yang dia hampir kalah di Kajang, dia memiliki keupayaan untuk membebaskan Selangor dari genggaman Pakatan Rakyat.  Dan perlu diulangi sekali, Anwar boleh membuang Khalid Ibrahim jika dia pakat memakat dengan Najib.


3.0 Apa LAGI yang boleh dibaca?

Mungkinkah hal-hal ini yang mereka mahu kita baca:


3.1 Kerja menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia itu adalah perbuatan pakat memakat watak-watak tertentu dalam Umno yang hobi terbesar dalam hidupnya ialah menjatuhkan orang-orang yang tidak digemari menjadi Perdana Menteri Malaysia.

3.2 Cita-cita terbesar Anwar ialah mahu menjadi Menteri Besar Selangor.

3.3 Anwar bercita-cita mahu membuang Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor

3.4 Anwar mahu menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor, sekiranya dia berasa hampir kalah di Kajang.

3.5 Anwar mahukan jawatan kabinet yang memiliki kuasa besar.
  
3.6 Anwar dan Najib sedang asyik sekali bermain “Wa tolong sama lu, lu tolong sama gua”




4.0  Akhir sekali, seperti biasa senarai soalan untuk renungan bersama:


4.1  Dia dipecat, dihina, dimalukan dan didera oleh si Anu dan seluruh jentera dan segala institusi yang ada.  Itu sejarah gulita sejak tahun 1998 lagi.  Mengikut logik teori konspirasi, maka benarlah  semua ini berlaku kerana Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor?

4.2 Mengikut teori konspirasi yang diutarakan sekarang ini, Kajang Move ialah satu gerak mundur setapak yang sengaja dirancang oleh Pakatan Rakyat untuk terus maju dan akhirnya menawan Putrajaya?  Ada pula yang membacanya sebagai satu gerak tipu helah demi untuk merabunkan mata musuh.  Dalam konteks ini, di antara kata-kata yang kita temui digunakan ialah ‘decoy’ atau pun ‘red herring’.

4.3  Apakah pula maksud yang dapat dibaca bila melihat Diam yang biasa-biasa diam-diam bergerak di belakang tabir, tiba-tiba muncul di depan khalayak untuk bersuara mengkritik Anwar?

4.4  Apakah tidak benar si Anu dan seluruh pasukannya (termasuk para cukong, para kapitalis dan segala jentera yang ada dan yang telah, sedang sekian lama mendapat manfaat terbesar dengan status quo) amat groggy melihat gerak Kajang Move?  Benarkah tanggapan orang-orang ini, bahawa Anwarlah segalanya!??

4.5 Apakah ruginya jika Najib pakat memakat dengan Anwar sekiranya kerja pakat memakat ini dapat menyelamatkan dirinya?

Akhir sekali, oleh kerana Pilihan Raya Kecil Kajang itu ada kaitan langsung dengan PKR, ini ada satu soalan sampingan berhubung batang tubuhnya PKR:

4.6  Apakah dalam batang tubuh PKR itu sendiri TIDAK ada sosok yang mirip-mirip Lai Teck yang telah sekian lama ditanam oleh musuh? 

Wallahuaklam.


(Nota: Siapakah itu,  Lai Teck?)

Menurut Leon Comber dalam bukunya “Malaya’s Secret Police 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency”  Monash Asia Institute Clayton dan Institute of Southeast Asian Studies Singapore,  2008:32,  Lai Teck itu, “ Secretary-General of CPM, who had been successfully planted as a secret agent in the CPM by the Singapore Special Branch in around 1935, and had survived the war.  He re-established contact with the British authorities in Singapore early on after the Japanese surrender.  However, when Lai Teck disappeared in March 1947, taking with him the CPM Party’s fund, the MSS was deprived of an important source of intelligence about the CPM at the highest possible level, which placed it at a considerable disadvantage.”)



No comments: