Sunday, February 23, 2014

Membina ‘kayangan’ di atas bumi WB Dinsman



Dinsman (Hrkh 420, 14/214)

Membina ‘kayangan’ di atas bumi



Bayangkan – apakah agaknya reaksi anda apabila mendengar seseorang mengatakan “Mari kita bina sebuah kayangan di atas bumi kita ini”; atau “Sebuah kayangan akan wujud di atas bumi kita ini”?



Barangkali reaksi segera anda ialah orang tersebut bercakap tentang sesuatu yang mustahil; atau dia hanya berimaginasi; atau dia bercakap tentang sesuatu yang terlalu ideal, tentang utopia, yang tak mungkin akan dicapai.



Dan supaya fikiran anda tidak tersasar terlalu jauh, elok saya nyatakan bahawa seseorang itu ialah seorang bukan Melayu yang sudah berumur sekitar 70 tahun atau lebih, dan pergaulan-nya meliputi ramai orang sastera dan budaya, termasuk beberapa orang Sasterawan Negara.



“Sebuah kayangan boleh kita wujudkan di atas bumi kita ini,” katanya. Dan dia berkata begitu dalam sebuah sidang media yang diadakan di tingkat 31 Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 10 Februari lalu. Di hadapan ramai para wartawan dan jurugambar. Sidang media mengenai penubuhan Yayasan Usman Awang.



Dia mengatakannya dalam satu pengucapan yang kurang lancar. Agak lama juga dia diam tak berkata-kata, kerana mencari perkataan yang sesuai, sebelum mengucapkan kata ‘kayangan’ itu. Apakah memang kata ‘kayangan’ itu yang dicari dan dimaksudkannya? Atau dia tersilap memilih perkataan?



“Membina kayangan di atas bumi”, seingat saya, bukanlah suatu ungkapan yang biasa diucapkan dalam budaya Melayu. Saya pun tak pernah mendengarnya sebelum ini. Mungkinkah dia tersilap memilih perkataan?



Hari itu, selepas selesai sidang media itu dan selepas makan tengahari, kami ada satu perjumpaan lagi, di bilik mesyuarat di pejabat Hai-0, kerana ada seorang wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal perpaduan), ingin menyampaikan maklumat kepada pihak Huazong (Gabungan Dewan Perhimpunan Cina Malaysia), mengenai sesuatu yang ada kaitannya dengan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang.



Dalam perjumpaan itu juga, secara kebetulan, Tan Kai Hee memperkenalkan seseorang yang namanya Dr Foo, yang telah menjalankan aktiviti mempromosi perpaduan kaum melalui satu program yang dipanggil ‘sepupu’. Dan selepas Dr Foo menjelaskan sedikit sebanyak mengenai program ‘sepupu’ itu, Tan Kai Hee pula menjelaskan sedikit sebanyak wawasannya mengenai apa yang nak dicapai melalui Yayasan Usman Awang dan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang-Huazong.



Dalam ucapan ringkasnya itu sekali lagi dia menyebut mengenai membina kayangan di bumi. Maka sahlah bagi saya dia tidak tersilap memilih perkataan. Memang dia bermaksud begitu. Sesuatu yang sangat ideal. Sesuatu yang menjadi idaman semua orang. Satu suasana hidup yang sejahtera, aman-bahagia, yang diimpikan oleh semua orang. Umpama kehidupan di kayangan, tetapi dapat dibina di atas bumi ini, melalui penghayatan karya-karya Usman Awang.



“Terlalu tinggi wawasan Tan Kai Hee terhadap apa yang boleh dicapai oleh Yayasan Usman Awang,” kata saya kepada Kassim.



“Dia melihat karya-karya Usman Awang itu begitu tinggi dan mulia, sehingga boleh membina kayangan di atas muka bumi,” sambut Kassim.



Dan dalam ucapannya di majlis makan malam Pertemuan Kawan-kawan Usman Awang sempena pengumuman penubuhan Yayasan Usman Awang, di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 20 Februari, sekali lagi Tan Kai Hee mengungkapkan harapannya itu – mewujudkan kayangan di bumi.



Maka tidak hairanlah mengapa dia sanggup menyumbangkan dana sebanyak RM2 juta kepada wawasan tersebut, iaitu RM1 juta melalui syarikatnya Hai-0 Berhad, untuk Yayasan Usman Awang; dan RM1 juta lagi sumbangan dia sendiri kepada Huazong, bagi menjayakan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang.



RM2 juta ringgit bukanlah satu jumlah yang kecil. Disumbangkan oleh seorang individu kepada cita-cita kemanusiaan dan perpaduan, yang diyakininya boleh dicapai melalui usaha-usaha seni, sastera dan budaya.



Beberapa orang kawan menimbulkan soalan – mengapa tidak ada di kalangan jutawan Melayu kita yang mempunyai kesedaran seperti itu dan tampil membuat sumbangan yang serupa kepada seni-budaya kita?



Saya tidak pasti apakah soalan itu wajar ditimbulkan atau tidak, kerana perkara ini saya fikir bukanlah satu perkara yang ada hubungannya dengan kaum atau bangsa. Ia adalah sesuatu yang tumbuh secara ikhlas dan luhur dari hati nurani seorang individu insan, hasil satu talian persahabatan yang juga ikhlas dan luhur, yang tidak mengenal perbezaan kaum dan agama.



Memang ia ada kaitannya dengan perkembangan sosial dalam masyarakat kita hari ini yang hubungan antara kaumnya sedang terancam disebabkan oleh mainan politik. Barangkali menyedari bahaya perkauaman itulah maka Tan Kai Hee timbul dengan idea mempromosi semangat kemanusiaan Usman Awang melalui penubuhan yayasan dan anjuran anugerah berkenaan.



Tidak perlu kita timbulkan soal dia berketurunan Cina dan Usman Awang berketurunan Melayu. Apa yang perlu kita buat sekarang ialah membantu gerak kerja yayasan dan anugerah tersebut, agar cita-cita dan wawasan untuk suatu masyarakat yang umpama “kayangan di bumi” itu dapat dicapai.



(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)




No comments: