Thursday, April 17, 2014

Perjuangan Petani






Kenyataan Media MAPIM
16 hb April 2014

PERJUANGAN PETANI ADALAH GERAKAN SEDUNIA

Penubuhan Gabungan NGO Membela Hak Petani (GABETA) adalah suatu usaha yang wajar. Nasib kira-kira 250,000 petani yang bergantung nasib kepada pengeluaran hasil pertanian belum cukup terbela. Hampir 170,000 petani terlibat dalam sektor padi . Jika diteliti secara terperinci petani kecil maseh tidak terjamin berdasarkan  tren harga hasil tani yang tidak menentu akibat dari sistem harga yang tidak disemak semula terutama harga padi bagi petani kecil .

Kewujudan pelbagai agensi petani seperti Jabatan Pertanian , MARDI , FAMA , LPP , LKIM belum cukup membantu bila dilihat taraf hidup petani kecil di negara ini.

Sebenarnya petani diseluruh dunia sebagai golongan yang berperanan membekal makanan kepada populasi dunia kini menunjukkan mereka adalah golongan yang sedang menghadapi manipulasi dan penafian hak bukan sahaja  oleh syarikat multinasional malah juga oleh kerajaan yang diperalatkan oleh syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Bunge, Cargill, Continental dan Louis Dreyfus yang menguasai pertanian bijiran diseluruh dunia sejak 100 tahun dulu .

Dalam konsep ekonomi semasa bila segelintir pihak menguasai 40% atau lebih sesuatu pasaran , maka pasaran tersebut hilang daya persaingan yang adil. Demikian sektor pertanian kini dikuasai oleh hanya sebilangan kecil syarikat korporat dunia yang menentukan harga hasil tani diseluruh pasaran global.

Dalam pertanian , " perniagaan tani " ( agrobisnes ) menjadikan syarikat korporat menguasai dan menekan pasaran yang kompetitif . Agrobisnes  yang dikendalikan berjalan berdasarkan prinsip komersial . Menguasai pasaran adalah objektif terpenting dan dengan itu meningkatkan keuntungan menjadi fokus .

Hakikatnya berjuta petani kecil didunia yang berusha menghasilkan makanan tidak mampu menyara keluarga mereka sendiri. Majoriti  petani kecil tidak mempunyai modal yang cukup untuk membeli benih, baja dan mendapatkan teknologi untuk menghasilkan tuaian yang memadai untuk hidup.

Bukan sahaja hak akses kepada pelbagai input pertanian dinafikan malah nasib mereka diperjudikan apabila petani diikat dengan pelbagai perjanjian perdagangan yang ditandatangi oleh kerajaan-kerajaan di dunia ketiga dengan kerajaaan negara maju . Malangnya banyak perjanjian itu yang memberi kesan negatif kepada petani tidak merujuk kepada kaum petani untuk mendapat pandanganbalas.

Akibatnya , gerakan petani besar-besaran diseluruh dunia bangkit menentang kerajaan yang bersekongkol dengan konglomerat multinasional dari kuasa besar . Ini berlaku di Jepun , India , Indonesia , Pakistan , Brazil , Chile , Thailand dan Filipina.

Dalam sidang perdagangan antarabangsa sepertii Organisasi Perdagangan Dunia ( WTO) dan Bank Dunia yang melibatkan negara dunia ketiga dan kuasa besar , ribuan petani berhimpun kerana menentang perjanjian yang merugikan mereka. Malangnya kerajaan yang mewakili  petani dari negara mereka sendiri tunduk kepada tekanan negara kuasa besar.

Sehingga ini perjuangan petani sangat rumit kerana sektor pertanian sudah terdedah kepada manulasi pelbagai kuasa pasaran global yang tidak membantu untuk mendapatkan petani , terutama petani kecil . Akses kepada benih yang mereka mahu sehingga peluang mendapat  pasaran , yang lebih baik , kemudahan untuk mendapat kredit yang tidak menindas , bebas dari eksploitasi orang tengah , bebas dari pelbagai eksploitasi oleh syarikat dan agensi pemerintah yang turut berpihak kepada syarikat yang menindas petani.

Kami berpendirian para petani sangat besar jasanya kepada menjamin sekuriti makanan negara . Akan tetapi petani tetutama petani kecil  adalah golongan antara yang paling terbiar dan menghadapi risiko berada dalam miskin tegar apabila sektor pertanian tidak diurus dengan berkesan oleh pihak kerajaan.

Dasar Pertanian Negara memang menekankan pertanian yang berdaya saing , meningkatkan kualiti hasil , memodenkan usha pertanian. Namun dengan terlibatnya kerajaan dalam perjanjian perdagangan antarabangsa , sektor pertanian sering menjadi tumpuan oleh kuasa besar , sehingga petani kecil dalam negara menjadi mangsa akibat lambakan produk pertanian dari luar . Sementara polisi perlindungan kepentingan petani di negara kuasa besar tetap dipertahankan , petani kecil seperti di Malaysia kerap terpinggir akibat kerajaan ghairah untuk membuka pasaran kepada produk dari luar .

Sebab itu suara dari hati nurani petani kecil perlu diberi perhatian serius. Keluhan mereka sejak dari dulu mengenai pelbagai isu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya seperti mengurangkan kos input pertanian dan  mendapat jaminan bila harga hasil pertanian mereka sangat rendah. Nasib ribuan petani kecil terjejas kerana pendapatan yang tidak menentu.

Isu yang dibangkitkan oleh petani mengenai nasib mereka adalah serius dan tidak dapat diselesaikan oleh pertubuhan peladang yang sedia ada. Hak petani untuk mendapat tanah dan harga hasil yang berpatutan yang memberi kesan kepada nasib petani kecil bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia suara yang boleh mengegarkan negara jika petani berhenti dari menghasilkan makanan .


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM