Wednesday, May 7, 2014

Kaedahnya: Mencipta peperangan





Hadiah C4 untuk yang mudah dibaca


Kebolehan membaca 'tindakan yang pasti dilakukan oleh pihak musuh' ialah satu senjata yang sangat berkesan@ampuh untuk membunuh musuh itu sendiri.  Orang sering menyebutnya sebagai suatu tindakan yang boleh dibaca dengan mudah (something that is very predictable).


Jika kita bawa kes klasik mudah dibaca ini (something that is very predictable) ke dalam arena politik Malaysia, kita pasti temui hal-hal yang menyangkut Melayu dan Islam.  Dua buah parti yang ‘Melayu dan Islam’ atau pun ‘Islam dan Melayu’ yang sering berebut-berebut untuk menjadi juara Melayu dan Islam ialah Umno dan Pas.  Kedua-dua parti ini terus berlumba-lumba,  agaknya sampai kiamat,  untuk membuktikan kepada majoriti khalayaknya bahawa sesungguhnya pihaknya yang lebih Melayu dan Islam atau pun lebih Islam dan Melayu jika dibandingkan dengan parti lawannya.  Makanya kita tidak terkejut jika dalam kalangan penyokong Umno, mereka sering membawa mesej@tempelakan bahawa dalam BN, Umnolah yang paling dominan.  Sementara Pas pula dalam Pakatan Rakyat dituduh sebagai kuda tunggangan.  Dan orang-orang yang malas berfikir percaya bahawa ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.  Makanya pilihan orang-orang malas berfikir di luar kotak Melayu ialah Umno.


Bagaimana pula dengan pertandingan merebut piala ‘Juara Islam’?  Dalam pertarungan kejuaraaan siapakah yang lebih Islam, katanya Pas jauh di depan.  Mungkin ini tidak mengejutkan kerana sejak penubuhannya,  Pas sememangnya bercita-cita mahu membina Malaysia yang Islam, sebuah negara Malaysia lengkap dengan hukum Syariahnya; sesuatu yang dicabar dengan lantang oleh mendiang pejuang hak rakyat dan perlembagaan,  Karpal Singh.  Dalam konteks perang merebut Juara Islam ini, Umno sering dituduh oleh Pas sebagai parti sekular yang menolak Islam.  Agaknya dalam huha peperangan merebut Juara Islam inilah,  maka sekonyong-konyong mantan seorang perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa ‘Malaysia is an Islamic State.’   Dan ketika itu MCA, sebuah parti Cina BN itu, si tukang garu belakang Umno tak berkutik, malah terbirit-birit mencawat ekornya...


Apa pun peperangan merebut ‘Juara Islam’ belum tamat.  Ia masih separuh jalan.  Dalam suasana begini Umno ― dengan sangat pintarnya ― melontarkan hudud ke dalam gelanggang dengan cabaran, “Siapa kata Umno TIDAK Islam?”  Yang mudah dibaca dan dapat dibaca dengan mudah ialah Pas yang Islam tak mungkin berkata tidak dengan hudud di atas dulang.  DAP, walaupun tanpa Karpal Singh, tak mungkin mahu melepaskan Malaysia yang sekular.  Sementara itu Umno seperti Sin Chan mengintai-intai dengan penuh harapan apakah hudud dalam gelanggang politik Pakatan Rakyat benar-benar C4 yang memusnahkan?  Sementara itu Hadi pun bercakap tentang dosa, hukum Allah dengan pernyataan tambahan bahawa sesungguhnya Pas sememangnya ikhlas...


Agaknya sebagai renungan, mungkin Pakatan Rakyat boleh membuka semula kitab sejarah dan membaca susur galur sirah isu bahasa Melayu ketika itu; bagaimana Pakatan Pembangkang satu ketika dulu berperang lalu berpecah kerana katanya isu bahasa Melayu yang mahu didaulatkan itu tidak boleh disepakati.  Apakah dalam tahun 2014 dan menjelang PRU14, bahasa Melayu masih lagi menjadi isu besar dalam politik Malaysia?  Atau mana mungkin isu sebesar hudud mahu disamakan dengan isu bahasa?  Apa pun,  bukankah ketika Pakatan Pembangkang berperang dan berkecai lalu Perikatan pun terus berkuasa? 


Sesungguhnya apa yang orang-orang biasa seperti penulis mahukan ialah sebuah pemerintahan yang baik dengan saf pimpinan yang 'baik-baik'.  Apakah untuk saat ini,  sebuah negara sekular tidak dapat menzahirkan bentuk kepimpinan dan para pemimpin yang TIDAK korup?  Apakah benar masalah terbesar kita sekarang ini kerana ketiadaan hukum hakam kehendak Tuhan?  JIka YA, siapa agaknya yang menghalang kita membuat yang terbaik misalnya dalam pengurusan zakat?  Siapakah agaknya yang menghalang kita membuat yang terbaik dan betul dalam kemelut dan isu nikah kahwin? Siapakah yang menghalang kita memilih para pemimpin terbaik akhlaknya untuk dijadikan pemimpin?  Apakah dalam satu dua contoh seperti di atas ini, kita semua telah melakukan yang TERBAIK?  Atau politik siapakah Juara Islam dan Melayu atau pun Juara Islam dan Melayu itulah yang TERpenting untuk Umno dan PAS?  Jika YA, memang eloklah kita perbanyakkan program-program ala dan seperti Raja Lawak dan Maharaja Lawak.


    



 
    

No comments: