Apa pun, Melayu mesti pertahankan ketuanannya?
Dalam kalangan
orang-orang Melayu, konsep ‘ketuanan Melayu’ ini sering menjadi sasaran cemuhan
orang-orang tertentu seperti blogger Tukar Tiub i.e. Hishamudin Rais. Sering saya ikuti blog TT, makanya penolakan
dan cemuhan TT terhadap kefahaman ‘ketuanan Melayu’ ini dapat saya rasakan. Bahawa penolakan konsep ‘ketuanan Melayu’
oleh orang-orang seperti TT ini bukanlah sekadar basa basi atau pun ikut-ikutan
semata-mata tetapi ia (PENOLAKAN terhadap konsep ‘ketuanan Melayu’) adalah
pendirian yang mereka yakini. Dan kita
percaya orang-orang seperti TT et al ini memiliki hujah-hujahnya sendiri kenapa
mereka berfikiran sedemikian. Dalam
konteks ini, hujah-hujah kenapa orang-orang Melayu (seperti TT?) menolak konsep
‘ketuanan Melayu’ tentulah menarik untuk direnungi.
Sementara itu
mereka yang menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ ― kebanyakannya orang-orang bukan Melayu
― percaya bahawa konsep yang lebih tepat dan betul yang mesti diamalkan oleh
negara kita sudah semestilahnya berdasarkan ‘merit’ atau pun ‘kelayakan’. Ini bermakna dalam mengurus dan mengagih-agihkan
segala macam peluang, habuan dan khazanah negara ini, golongan yang menyanggah ketuanan ini berpendapat
dan mahu supaya ‘konsep-konsep’ universal seperti ‘merit’ dan ‘kelayakan’ hendaklah
mengatasi faktor-faktor zuriat, keturunan, agama atau warna kulit. Bagi mereka, ‘merit’ dan ‘kelayakan’ paling
utama dan yang lain-lain itu jelas diskriminasi atau lebih keras lagi ― apatheid. Ya, mereka sering bertanya: Kenapakah dalam sebuah negara yang sudahpun lebih
setengah abad merdeka, masih ada lagi kelompok-kelompok yang lebih ‘istimewa’
daripada yang lainnya?
Pertembungan pandangan
seperti ini sememangnya keras, pedas, ‘emotif’ dan kekadang terlanjur ganas. Dalam pelbagai media, maya dan cetak baik
di dalam dan mahu pun di luar negara, kita sering membaca segala macam sumpah
seranah dasar ‘apatheid’ (kekadang katanya ‘Nazism’) yang sedang kita amalkan
ini. Dalam melawan hujah tuduhan
apatheid, maka salah satu cara paling mudah ialah dengan bersembunyi di sebalik
alasan-alasan seperti:
Sesungguhnya orang-orang
Melayu itu penduduk asal negara ini dan orang-orang bukan Melayu itu asalnya
kaum imigran yang dibawa masuk ke dalam negara ini oleh penjajah British. Oleh itu hak dan keistimewaan yang diberikan oleh
orang-orang Melayu dan dijamin pula oleh perlembagaan itu janganlah mahu
dipersoalkan...apatah lagi dibantah.
2.0 Mengembalikan masa silam atau membetulkan
langkah ke masa depan?
Apakah polemik
seperti di atas ada kesudahannya?
Apakah segala pertengkaran
tentang ‘hak kami’ vs ‘hak kamu’ itu bakal reda dan berakhir?
Di sini
izinkan saya berikan satu dua pengalaman peribadi dan tanggapanku terhadapnya.
Semasa dalam
tingkatan enam di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah para pelajar
Melayu adalah kaum minoriti dalam kelas sains.
Itu adalah fenomena biasa dalam tahun-tahun 60an termasuk tahun
1969. Semasa dalam tingkatan lima, kami (orang-orang
Melayu) hanya berdua dalam kelas sains tulen (ertinya dibenarkan dan boleh
mengambil mata-mata pelajaran fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik
tambahan di samping tiga lagi mata pelajaran lain dalam peperiksaan OSC,
Oversea School Certificate). Sahabat
saya ketika itu ialah Datuk doktor (perubatan) Sdr Abdul Razak Kecik, doaku buatmu wahai sahabat). Semasa kes lewat DSAI yang pertama
dipentaskan kepada khalayak, sahabatku ini adalah bos besar Hospital
Universiti. Begitulah salah satu cara bagaimana
kuikuti perkembangan para teman lama ini.
Bukan itu yang
nak diceritakan. Ada kisah lain yang
mahu kusampaikan. Dalam tahun-tahun
60an, khususnya di penghujungnya iaitu tatkala segala luka dan darah tragedi 13
Mei 1969 itu masih lagi panas, tempias bahangnya dapat kurasakan sampai ke
dalam kelas-kelas General Paper kami. Aku masih ingat bagaimana hak-hak istimewa
orang-orang Melayu sebagai bumiputera itu dibahaskan dengan begitu panas sekali
walaupun di dalam kelas tingkatan enam (matematik) itu kami yang Melayu itu hanyalah
berlima. Terdapat dalam kalangan kawan-kawanku
itu yang bermatian-matian (Apa khabar Sdr-Sdr Mohd Afifi Mukhti, Mohd Ali
Hashim, Abd Razak Abdullah (Ainurjah) dan Sdr Ramli Jaya?) berhujah itu adalah
hak yang sudahpun termaktub di dalam perlembagaan negara kita. Lalu kenapa mahu dipersoalkan dan
diungkit-ungkit?
Aku bangkit untuk
berbahas satu persoalan: Bagaimana mahu
kita buat dengan anak-anak orang-orang Cina dan India yang miskin? Apakah hak isitimewa Melayu itu dapat
selesaikan masalah kemiskinan yang mereka hadapi? Sekarang ini, dalam tahun 2014 setelah umurku
mencapai lebih 60 tahun, aku tetap bertanya soalan yang sama.
Untuk
pengetahuan anak-anak muda zaman ini yang mengikuti tulisanku ini, sesungguhnya
tatkala itu para pelajar Melayu tingkatan enam, tidak kira bagaimanakah
prestasinya, diberikan biasiswa kecil kerajaan (federal minor scholarship). Dan ketika itulah pertama kali kudengar
ungkapan “scholarship for the deserving cases” oleh guru matematikku, seorang
guru Cina.
Hatiku
pedih. Cukup pedih dengan kata-kata guruku
ini. Apakah aku termasuk dalam kelompok
yang layak menerima biasiswa seperti itu?
Persoalan-persoalan seperti ini terus menghantui hidupku. Kata-kata guru
itu seolah-olah membawa mesej tersirat yang cukup mendalam:
A Malay ― no
matter how successful he is ― can never ever discard that stigma that is always
overshadowing his life (particularly his success or perhaps failure too?). The reason is simple: In this country, Malay as a race ― is a protected species. Hence
without protection, a Malay will perish!
Apakah yang
namanya orang-orang Melayu yang bermaruah itu mahu hidup dan mati dengan label
dan stigma sebegini?
Maruah?
No comments:
Post a Comment