Sebutir bola yang
misterius
(‘Hidup
Hitler!’, jeritnya)
Hari ini, 9 Julai
2014 para penganut Islam di Malaysia sudahpun memasuki hari yang kedua belas
berpuasa. ‘Pejam celik pejam celik’, sudah
hampir separuh Ramadan berlalu. Ramadan
yang malam-malamnya meriah dengan sembahyang taraweh membuatkan segala surau, masjid
atau madrasah di segala ceruk rantau menjadi tumpuan mereka yang gencar mencari
dan mengejar nikmat seribu bulan. Siapa
tahu, tahun depan sudah tidak punya kesempatan lagi.
Ternyata Ramadan
tahun ini ada sedikit kelainannya. Ia
berbeza kerana ramai yang bertaraweh sama-sama bersengkang mata melihat bagaimana
22 orang pemain berebut-rebut mengejar dan mengawal sebiji bola. Ternyata di planet bumi, di sesetengah negara
bola sepak adalah tuhan yang disembah dan diraikan. Ini membuat para ulamak menjadi lebih prihatin,
lantas cepat-cepat berpesan, kira-kira begini:
“Bola tetap bulat,
penuh misteri dan terus bergolek, namun Ramadan jangan sampai dilupakan!”
2.0
Buat sesetengah
manusia, sesungguhnya pertarungan sengit dalam pertandingan bola sepak itu adalah
sebuah inspirasi jadian. Ibarat siluman,
ia membuat begitu ramai manusia planet ini
sedemikian teruja dan ‘kerasukan’. Dan tahap
‘kegilaannya, kerasukannya dan keterujaannya’ boleh saja membuat
jantung-jantung yang lemah dan sedang sakit-sakitan berhenti berdetak. Itulah tahap ‘gila’ separuh mati akibat bola
sepak. Ya, ternyata bola yang sebutir lagi
bulat itu adalah nikmat, pesona, intrig, cabaran (entah, apa-apa lagi) sebuah pertarungan yang sengit.
Memang jelas di
tengah-tengah sebuah padang yang indah menghijau itu, bola bulat misterius sasaran
rebutan 22 orang manusia, mampu mencipta manusia-manusia fanatik ― yang luar
biasa pula kefanatikannnya ― dalam menyokong pasukan idamannya. Sementara itu di seluruh planet, jutaaan biji
mata bersengkang, melotot mengamati bagaimana gol dijaringkan! Tidak ketinggalan, di seluruh planet ini, para
bookies mengira-ngira berapakah hasil perjudian yang bakal mereka kaut dan raup
hasil dari segala perlawanan itu.
3.0
Bola sebutir
yang misterius ternyata membuat pemimpin pikun dan buta hakikat begitu teruja
lantas menjerit-jerit di alam maya ” Hidup Hitler” sedangkan nama yang satu itu
sudahpun dinyahkan jauh-jauh dari bumi tempat kelahirannya.
Bola sebutir
di tengah-tengah padang yang dikejar oleh Maharaja Samba yang kecundang juga menjadi
inspirasi pemimpin besar kita. Maka
beranalogilah ‘dianya’, kira-kira begini:
“Pasukan tanpa
kepimpinan adalah pasukan yang pasti tewas!”
Wah, apakah ‘kepimpinan’
yang dimaksudkan itu termasuk gaya membisu auto-pilot yang kita saksikan selama
ini?
Ya,
agak-agaklah jika ingin beranalogi sekali pun.
No comments:
Post a Comment