Wednesday, July 9, 2014

Selamat melawan kejahatan




Apakah benar, Oposisi Malaysia telah belajar dari sejarah?
(Bila rejim menggunakan isu agama sebagai senjata, apa yang Oposisi kita pelajari?)


“And so, even as many of the world’s modern authoritarians hang on, their vulnerabilities become better known, and their margin for error shrinks.  These regimes may be durable, and in some cases, they may even maintain a measure of sophistication.  But if recent events have revealed anything, it is that the people who challenge them are moving up their own learning curve, too.  From one authoritarian capital to the next, one truth is increasingly inescapable: The people actually matter.  For a dictator, there is nothing more terrifying.”


Itulah petikan perenggan terakhir buku, “ The Dictator’s Leraning Curve – Inside the Global Battle for Democracy” oleh William J. Dobson, Anchor Books, New York: 2013: 294.


Mengikut Dobson, walaupun sekarang ini masih terdapat rejim-rejim diktator yang terus-terusan  merengkuh dan mencengkam untuk terus berkuasa, namun banyak sudah permainan, sepak terajang, tembelang serta temberang mereka didedahkan kepada umum;  segala gelagat bejat mereka semakin diketahui oleh rakyat jelata.  Oleh hal yang demikian,  ruang untuk rejim-rejim zalim ini melakukan kekebejatan dengan berleluasa sepertimana mereka lakukan pada zaman-zaman silam, kian mengecil dan beransur-ansur tertutup.  Di samping itu, kata pengarang politik dan hubungan luar ini lagi, rakyat yang bangun untuk melawan para penzalim ini juga belajar, belajar dan terus belajar.  Mereka menjadi semakin celik.  Makanya sekarang ini di mana saja, senarionya bertambah jelas: Rakyatlah yang menentukan.  Hari ini,  inilah hakikat paling ditakuti oleh para diktator dunia. Begitulah kira-kira intipati paragraf penutup sebuah buku perihal ‘peperangan’  rakyat yang telah bangun melawan rejim-rejim yang zalim. 


Apakah tepat jika kita andaikan pemerhatian di atas itu suatu kesedaran ‘menyeluruh’ sehinggakan fenomena kebangkitan ini benar-benar merentasi pelbagai negara termasuk negara kita Malaysia?   Jika begitulah keadaannya, ini bermakna rumus serta pemerhatian pengarang boleh juga kita ‘gunapakai’ untuk Malaysia ― khususnya bila kita merujuk pihak Oposisi dan juga rakyat Malaysia secara amnya?  Ertinya, apakah benar Oposisi kita, sebagai satu entiti politik,  telah benar-benar belajar dan terus belajar dan oleh kerana itu telah menjadi semakin bijaksana setiap kali berdepan dengan segala provokasi rejim yang mahu mereka rentap dari tampuk kuasa itu?  Kita percaya ini adalah satu persoalan yang cukup menarik untuk diteliti oleh pihak Oposisi sendiri:  Apakah kelok pembelajaran (The Opposition’s learning curve) itu sudah cukup baik sehinggakan mampu menumpaskan rejim yang mahu mereka nyahkan itu?  Begitu juga persoalan seterusnya, apakah rakyat Malaysia juga telah belajar dan terus belajar sehingga mereka rata-rata sudah menjadi semakin cerdik dalam menilai dan membuat perubahan?


Apakah yang jelas kelihatan pada tampang pihak Oposisi kita?  Kelihatannya,  dalam kalangan Oposisi kita ini, tidak ada tekad yang bersepadu dan jelas kecuali keinginan mereka yang sesekali membara dan begitu meluap-luap ― katanya,  mereka mahu merampas Putrajaya.  Itulah yang selalu mereka ucapkan, malangnya ucapan-ucapan penuh bersemangat ini kerap pula menjadi kelabu dan pudar disebabkan tindakan-tindakan songsang mereka (pihak Oposisi) sendiri; tindakan-tindakan yang kerap kali menghakis keyakinan rakyat.  Hudud ialah salah satu daripada sekian banyak contoh bagaimana mereka meraba-raba dan teraba-raba untuk mencari jejak.  Satu lagi contoh yang cukup nyata ialah tentang penggunaan nama Allah, satu nama yang entah bagaimana tiba-tiba saja mereka jadikan ‘item’ untuk direbut dalam kalangan rakyat!  Satu Zat mutlak yang mesti dikenali oleh segala manusia itu kini sudahpun menjadi agenda besar negara.  Satu Zat buat manusia-manusia beriman memohon dan menyembah dengan seluruh jiwa raganya sebelum mereka dibawa pulang, menjadi sesuatu ‘item’ yang mesti direbut-rebut hak penggunaannya!


Mari kita renung sejenak.  Cuba teliti bagaimana isu-isu hudud dan nama Allah itu dimainkan, dipermain-mainkan selama ini dengan sedemikian rupa.  Isu-isu hudud dan nama Allah adalah dua contoh yang cukup jelas bagaimana rejim, telah dengan penuh ‘lihai’ (baca: licik) sekali menternak, sebelum sekali sekala ― mengikut keperluan masa dan tempat ― melemparkannya semula ke dalam gelanggang untuk santapan khalayak. 


Sebenarnya ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang sedar bahawa semua isu ini tidak lebih daripada ramuan dalam menu politik; isu-isu agama yang mesti digoreng semula dari semasa ke semasa, semata-mata untuk mengaut laba politik. Apa pun, bayangkanlah kesannya terhadap khalayak yang masih pandir dan pikun yang percaya sepenuhnya bahawa oksigen yang mesti mereka hirup setiap saat itu adalah emosinya?  Maka emosi dan sentimen dalam beragama itulah yang dimanfaatkan sepenuhnya dan digunakan semaksima mungkin demi untuk mencapai matlamat politik yang jijik.


(Kenapakah begitu?  Sebabnya mudah.  Isu-isu agama ini laris untuk memancing undi.  Bukankah sekarang ini, isu-isu agama seperti hudud dan nama Allah diyakini cukup berkesan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat?  Sila bandingkan dengan senario dalam tahun-tahun 60an.   Dalam tahun-tahun 60an, rejim telah menggunakan isu bahasa Melayu sebagai senjata penting dan utama untuk membakar emosi pelbagai kaum.  Jangan lupa,  ketika isu bahasa Melayu-sebagai-bahasa-utama-negaralah yang telah memporakperandakan pasukan Oposisi.  Ketika itu rejim tidak perlukan isu-isu seperti hudud dan nama Allah untuk memusnahkan pihak Oposisi!  Ia sudah berjaya dengan menggunakan isu bahasa rasmi negara.)  


2.0  Apakah yang pihak Oposisi Malaysia (baca: PAS, PKR dan DAP) telah belajar?


Sebagai penutup seperti biasa, senarai soalannya:


2.1 Apakah bentuk kelok pembelajaran (learning curve) pihak Oposisi kita misalnya dalam berdepan dengan isu-isu agama yang ‘cukup sensitif’ yang dimainkan dan dipermainkan oleh rejim yang kian muflis adab berpolitik itu?


2.2 Sudahkan Oposisi kita hadam sepenuhnya, i.e. hadam selumat-lumatnya,  segala permainan politik kotor yang menggunakan agama ini?


2.3 Seterusnya apakah gerak kerja pihak Oposisi (baca: PAS, PKR dan DAP sebagai satu entiti yang bersepadu dan bersatu hati) dalam menmanfaatkan ‘kesungguhan’ sokongan hudud PAS  Kelantan oleh UMNO di Kelantan itu?  Adakah isu hudud PAS yang mendapat sokongan padu Umno itu tidak mahu diangkat menjadi satu isu nasional yang mega? Jika ‘YA’ kenapa dan sekiranya ‘TIDAK’, agaknya kenapa begitu? 


2.4  Tidakah pihak Oposisi Malaysia melihat bahawa isu-isu agama yang ‘sensitif’  seperti hukum hudud dan nama Allah itu diperlakukan oleh rejim seolah-olah itulah bahan paling laris yang sentiasa saja laku jika dikitar semula?  Ertinya bila sampai waktunya,  tepat situasinya dan sesuai pula dengan selera rejim, isu-isu agama ini akan digiring ke tengah-tengah medan politik supaya emosi khalayak dapat dinyalakan.  Apakah pihak Oposisi cukup bersedia dengan senarai hujah dan jawaban yang cukup mantap, konsisten dan meyakinkan khalayak sehingga mereka dapat melihat bagaimana isu-isu agama itu sengaja dimain-mainkan dan dipermainkan oleh rejim?  Atau setidak-tidaknya apakah pihak Oposisi negara kita ini sudahpun bersedia dengan ‘jawapan templatnya’, ‘hujah-hujah politik’ atau pun ‘jawapan yang seikhlas-ikhlasnya’ berhubung isu-isu hukum hudud dan nama Allah?  Atau apakah mereka sendiri, sebagai satu kumpulan,  belumpun bersedia untuk ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam isu-isu hudud dan nama Allah ini? 


Atau para 2.4 ini seharusnya berbunyi begini:


(Setelah Oposisi Malaysia ‘belajar’ dan kemudiannya menjadi arif dengan segala pola permainan kotor politik kotor ini, Oposisi Malaysia kini menjadi semakin bijak-matang sehingga mereka mampu meningkatkan kebijaksanaan mereka dalam melawan setiap permainan kotor oleh rejim itu.  Kita juga percaya bahawa sebenarnya pihak Oposisi kita telah lama belajar segala selok belok, sepak terajang taktik jahat menggunakan isu agama oleh rejim itu.  Oposisi sudah cukup masak dengan segala gerak kerja rejim selama ini. 

Demi untuk menangkis secara tuntas segala permainan politik kotor lagi menjijikkan menggunakan agama seperti yang berleluasa sekarang ini, pihak Oposisi benar-benar bertekad melawan rejim ini dengan bersungguh-sungguh.  Sememangnya,  sudahpun wujud ikhtiar yang bersepadu dan bersatu padu itu.  Satu perlawanan yang cukup sengit sehinggakan rejim betul-betul serik dan ― berfikir beribu-ribu kali ― sebelum ia menggunakan isu-isu agama untuk mendapatkan sokongan pengundi!  Sesungguhnya,  kita yakin dan percaya, kini Oposisi kita sudah cukup arif dengan permainan pihak rejim menggerodak emosi agama para pengundi, khususnya semasa musim-musim pilihan raya.) 


Kita ulangi lagi: Setelah pihak Oposisi menyedari dengan sedalam-dalamnya bahawa sesungguhnya permainan politik kotor pihak rejim menggunakan isu-isu agama itu tidak bermoral dan amat merbahaya dan oleh kerana itu ia mestilah dilawan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh oleh pihak Oposisi, maka sekarang ini telahpun wujud senjata, strategi dan taktik yang jitu untuk melawan rejim ini, secara habis-habisan. Ya, lawan rejim ini habis-habisan.  Ya, senjata untuk menyerang rejim sudah disediakan.  Pihak Oposisi, seperti rakyat Malaysia, sudah cukup mual dengan permainan kotor politik kotor rejim menggunakan isu-isu agama itu.  Oposisi yakin perbuatan ini mestilah dihentikan segera. Dan sesungguhnya memang sudahpun wujud senjata yang cukup ampuh itu.  Senjata ampuh yang menunggu saat dan ketikanya untuk digunakan buat menyerang balas pihak rejim. Dan sekarang ini, di saat ini,  senjata inilah yang bakal digunakan untuk menyerang ‘kesungguhan’ sokongan hudud Pas Kelantan oleh Umno di Kelantan itu.  Biarlah pekong dan niat jahat rejim selama ini didedahkan kepada khalayak.  Memang,  tidak begitu lama lagi seluruh rakyat Malaysia akan melihat serangan balas Oposisi ini.  Tunggu dan lihat serangan Oposisi dalam isu-isu agama yang sengaja dimainkan oleh rejim selama ini.)


Buat mereka yang berpuasa, selamat berpuasa.
Selamat melawan kejahatan!!


  



No comments: