Arwah Azizi
Abdullah pernah menyatakan bahawa hutang itu ada seninya; katanya ‘seni
berhutang’. Waktu itu tidak pula terlintas di benakku untuk mendapatkan
penjelasan yang lebih lanjut akan maknanya. Lihatlah betapa ruginya kerana tidak
bertanya.
Kata orang, berunding
juga ada seninya dan hasil sesuatu rundingan itu dapat diamati apabila kita
teliti apakah yang digariskan sebagai hasil rundingan. Dalam konteks hasil rundingan,
hatta sepatah perkataan seperti ‘pampasan’ pun sudah menyatakan sesuatu ― bahawa
ada pihak yang sudah mengaku kalah dan mahu berundur.
Dalam konteks
dakwah (seni mengajak manusia tercicir untuk menikmati nurNya) sepatah kata
yang kita war-warkan juga menunjukkan hasil kerja kita dalam misi
berdakwah. Jika ada orang-orang ― yang luarannya
kelihatan begitu hebat dan besar ilmu agamanya ― tetapi sentiasa saja muncul
dengan wajah bengis bahawa agamanya terancam dan diancam, apakah mesej yang
mahu disampaikannya?
Bagiku orang
yang rendah diri (bukan merendah diri tapi rendah diri) dan sentiasa saja ke
sana ke mari seperti Don Quixote bertempik yang agamanya terancam bukanlah orang
yang tinggi ilmu agamanya. Dia itu si pandir, seekor kakak tua yang cekap mengulangi
frasa-frasa templat dalam buku-buku teks agama. Betapa menyedihkan gelagat
bijak pandai agama yang begini.
No comments:
Post a Comment