UCAPAN BALAS PENERIMAAN PROFESOR EMERITUS UKM
Salutasi
Bersyukurlah kita
kepada Allah SWT yang masih mengizinkan kita bersama melangsungkan majlis ini.
Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Pusat Pengajian Sains Matematik
dan khususnya Dekan Fakulti Sains yang berusaha memuliakan saya hingga saya
berada di sini. Kata-kata manis dan menjulang tinggi budi dan sumbangan
keilmuwan saya baharu sekejap tadi sungguh menyerba-salahkan saya dan tiadalah
dapat dibalas dengan lebih daripada terima kasih jua.
Saya pastinya juga berterima kasih amat kepada kepemimpinan utama
universiti yang menyanjungi saya sehingga menyantuni saya seperti hari ini lalu
meluncurkan saya ke awangan.
ORANG UNJUR KITA
TADAH
ORANG BERTUTUR KITA
BERMADAH
Pohon ikutilah
ceritera rasa saya ini selanjutya.
Jika menggunakan istilah bahasa Melayu yang terpahat pada batu bersurat
Talang Tuwodi Sumatera bertarikh 684 M, UKM pada saya sebuah parlak keilmuwan. Ini metafora perlak
saya daripada makna asalnya, sebuah taman botani diraja yang indah permai dengan
anak-anak sungainya dan dipastikan mengandungi segala pokok yang boleh dimakan
buah atau isinya untuk subahagia rakyatnya. Itulah ibaratnya kerana bagi saya,
UKM berupa tempat yang ada pelbagai muara imu daripada sebuah sungai yang
berliku yang anu hulunya dan berpencarlah anaknya yang berlubuk dan
bermengabang mencipta kubang menjadi tempat-tempat bermandi-manda dan
kekadang menyelam ke lubuk setelah puas berkubang dan bermandi-manda berpuisi,
berprosa, berujikaji dan bercanda kata, mencipta pusaka. Saya seorang daripada
warga ilmuwan itu yang pernah berada di muara bernama Fakulti Sains dan
berlubukkan sains matematik, bermengabangkan matematik fizik dan berkubangkan mekanik
quantum dan matematik kewangan. Itulah sebabnya setelah berkelana dari UKM hampir sedasawarsa dan
hari ini ditatangi dan disantuni oleh pemegang amanah institusi ini,
maka saya terasa begitu sebak di hati dalam mengenang baik hati dan budi dalam rindu.
Saya percaya penghargaan ini bukan suatu pembanggaan atau penyanjungan
terhadap saya dalam nirvana keilmuwan saya tetapi saya anggap suatu pertaruhan tahap kepercayaan terhadap
kekuatan hati-budi saya yang mungkin menjanjikan harapan dan gapaian lebih
tinggi dalam beberapa impian bersama. Dua daripada unsur kepercayaan itu saya
kira adalah terhadap perkara yang sudah
disebut dalam ucapan Dekan Fakulti Sains tadi, iaitu yang saya ingin ungkapkan
semula sebagai wahana pewarisan ilmu UKM, dan penilaian semula ilmu di
muara-muara yang selama ini dianggap tidak mungkin berhulukan di pergunungan
sendiri.
Perkara wahana pewarisan ilmu UKM
, iaitu pengantar ilmu kepada para
pelajar UKM, sejak dalam sedasawarsa kebelakangan ini, sering menjadi igauan
dan tangisan rakyat terbanyak terutamanya mereka yang mengikuti sejarah dan
matalamat penubuhan universiti ini. Mereka
sudah menangis dan sekali sekala meraung sejak UKM menyahut dasar PPSMI pada
2003 dahulu lagi tetapi berhenti terisak-isak pada 2011 apabila kerajaaan
mengisytiharkan pemansuhan dasar tersebut di sekolah dan mengeluarkan juga Pelan
(Tindakan) Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi
Pengajian Tinggi 2011-2015 dengan harapan UKM dengan penuh kebijaksanaannya
meniti Pelan tersebut. Mereka memerhati sesaujana akan penitian UKM ini dan
sehingga kini isakan mereka masih belum dapat dihentikan, walaupun mereka juga menerima
desiran gemalai pemimpin baharu UKM yang meniup wawasan mengembalikan wahana
ilmu UKM, sesuai dengan Pelan Tindakan tersebut yang tinggal hanya setahun
sahaja lagi tetapi mereka mengharap-harap akan disambung dengan Pelan Tindakan
Kedua dan seterusnya. Penghargaan yang diberi kepada saya hari ini memberi harapan
impian baharu saya sendiri pula tentang kealangkahan manisnya pula rasanya jika
saya dicekau untuk dipergunakan atau diperhambakan saya bagi tujuan merealisasikan
impian murni kepemimpinan baharu UKM kini.
Perkara penilaian semula ilmu memang menjadi perjuangan dalam buana
keilmuwan saya sejak 1980-an dan tugas paling berat hingga kini ialah
meyakinkan sarjana kesebidangan dengan saya, sains matematik, menerima hakikat sarat-nilainya ilmu. Bukan
sahaja kerana ajaran agama Islam tidak memisahkan ilmu dengan iman (agama),
iaitu “ilmu” yang terpisah atau tidak mempedulikan iman tidak diiktiraf Islam
sebagai ilmu tetapi cuma bertaraf pengetahuan sahaja (yang perlu
dipertingkatkan martabatnya ke singhasana ilmu), menyebabkan ilmu semestinya
sarat nilai iman itu.
Bukti sarat-nilainya atau tidak semestanya
ilmu pasti akan terbukti jika seseorang menilai ilmu yang diajar kepada pelajarnya atau yang
diselidikinya sendiri itu dalam acuan sistem kepercayaan batinnya
sendiri. Yang termudahnya, tetapi kini semakin sukar kerana wahana ilmu
dipaksa dalam bahasa Inggeris
sahaja, ialah melihat istilah penting
dalam sesebuah ilmu itu dalam bahasa Melayu. Contohnya, istilah optimum yang
menjadi satu istilah besar dalam matematik tulen dan ekonomi dan pengurusan
yang maknanya dalam bahasa Inggeris biasa ialah “the best” dan matematiknya
begitu canggih itu, amatlah sukar menyedari tidak semestanya konsep optimum
itu. Akan tetapi sebaik sahaja istilah optimum ini dijelaskan dalam bahasa
Melayu sebagai model untuk melaksanakan makna yang dmaksudkan dengan kata sifat
“yang paling baik” hampir dengan sertamertalah rasanya seseorang akan menyedari
yang kita ada makna “paling baik” yang amat berbeza dan yang memerlukan
matematik yang berbeza. Bahkan “paling baik” dalam kebudayaan Melayu ialah
“berpada-pada” (buat baik tidak dinasihatkan supaya seoptimum mungkin) dan apabila dihayati nilai
islam pula maka “yang terbaik” ialah “yang wusta” sehingga memerlukan matematik
baharu yang layak dinamai matematik pewustaan bagi menggantikan matematik
pengoptimuman itu.
Begitulah juga halnya istilah
“pembangunan” dengan developmentyang
selama ini kita dikelabui dengan kebenaran teori pembangunan yang berasaskan
kepada konsep development, bukannya
pembangunan dalam pengertian sebenar istilah dalam Bahasa Melayu yang berasal
daripada “bangun” itu dan adanya sejarah dasar pembangunan kita yang asli pada
zaman Sriwijaya yang bermatlamatkan subahagia,
bukannya bermatalamatkan kebendaan atau kejasmanian secara dominannya.
Penilaian ilmu menerusi aspek lainnya mungkin lebih sukar lagi, tetapi
tetap perlu diterokai, iaitu menerusi pemeriksaan
falsafah sesebuah ilmu yang besar kemungkinannya akan menerbitkan falsafah
ilmu kita yang berhulukan sungai Thames itu betentangan dengan falsafah
keagamaan kita seperti falsafah dalam fizik teori ialah ateisme, deisisme
(tuhan tak relevan) atau apedulisme (falsafah tak peduli apa agama pun) atau
peduli agama bukan Islam seperti Hinduisme dalam sebuah teori mekanik quantum.
Penilaian yang juga sukar caranya tetapi masih juga perlu dilakukan ialah penilaian aksiom sesebuah teori seperti
aksiom teori kejadian alam semesta ini (terkenalnya teori deguman besar itu)
beraksiomkan “dari ada kepada ada” sedangkan aksiom yang kejadian mengikut
Islam ialah “dari tiada kepada ada”.
Penilaian atau kritikan ilmu juga amat berpotensi dapat dilakukan menerusi penggalian khazanah ilmu kita sendiri
sejak abad ke-5 M dahulu, iaitu yang ditulis dalam Bahasa Melayu di batu-batu
bersurat (dalam huruf Palawa dari India) dan manuskrip Melayu sejak abad ke-13
M (dalam huruf Jawi dari Arab). Penyelidikan etnoilmu dalam Bahasa Melayu ini
sekaligus membantu kita mengurangkan rasa rendah diri kita berbanding dengan
Eropah (Inggeris terutamanya) dan memupuk rasa pertriotisme yang lebih tinggi kerana
ketiadaan pengetahuan adanya ilmu kita sendiri dalam Bahasa Melayu ) sejak abad
ke-5 Masihi menyebabkan ilmu yang kita ajar sekarang amat berpusatkan Eropah
(kalau pun bukan Inggeris) yang memudahkan lagi pengenyahan kebudayaan kita
sendiri.
Penilaian ilmu menerusi falsafah dan aksiom ilmu serta warisan ilmu sendiri
memerlukan keinsafan kepada kemuliaan
sistem nilai dan sistem kepercayaan kita sendiri serta sebahagian daripada
pencapaian tamadun kita sendiri berbanding dengan hak orang lain. Lagi
sekali saya bukan sahaja berhasrat menyemarakkan bidang kritikan ilmu ini malah sangguplah diperhambakan diri ini
dalam pemupukan keinsafan ini di muara bidang saya nanti, jika peluang dan
ruang diberikan nanti, insya Allah.
Y.Amat Bhg Tun Procanselor, para pemimpin UKM yang dihormati, dan para
hadirin yang bersabar sekalian) demikian sedikit cetusan rasa yang tidak sepertinya ini untuk renungan para
hadirin sekalian terutamanya rakan-rakan kesebidangan saya, dan para graduan
semuanya, demi gambaran wawasan dan impian bersama kita tentang wajah ilmu kita
nanti bagi memajukan dan mengindahkan lagi parlak keilmuwan khususnya di UKM ini
atas landasan asal kewujudan universiti ini.
Akhir kata, lagi sekali, terima kasih tak tepermanainya kepada semua peringkat
kepemimpinan Universiti.
Shaharir bin Mohamad Zain
No comments:
Post a Comment