https://www.facebook.com/wanji.attaaduddi/posts/1015856028440574?fref=nf&pnref=story
SIAPA YANG PALING BENAR?
Aku percaya bahawa hakikat kebenaran itu semestinya ada. Namun, aku tetap
akui bahawa setiap manusia tidak sama dalam mencapai kebenaran. Keadaan ini
berlaku kerana, manusia itu diciptakan tuhan dalam keadaan lemah. Ini bukan
sekadar pengakuan manusia, malahan ia disebut oleh Allah dalam surah al-Nisa’,
ayat 28.
وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا
Manusia melihat, tidak semestinya apa yang dia fahami itu sama dengan
manusia lain yang melihat. Seorang ahli agama melihat nas wahyu, tidak sama
dengan ahli psikologi melihat nas wahyu yang sama. Pengalaman dan pembacaan
ahli agama dan ahli psikologi, memberi pengaruh terhadap kefahaman dalam
membaca nas wahyu tersebut. Bukan sekadar ahli agama dan ahli psikologi sahaja,
berlaku juga pada ahli-ahli yang lain, termasuk mereka dari kalangan ahli PAS
dan ahli UMNO, sama juga Ahli PKR, DAP dan sebagainya.
Untuk mengatakan ahli agama mesti benar, ia juga tidak tepat. Ini kerana,
pernah dahulu seorang ahli agama menghukumkan murtad dan kufur terhadap mereka
yang mengatakan bumi bulat. Padanya, al-Quran menggambarkan bahawa bumi itu
terhampar. Fatwa tersebut mendapat kritikan hebat, sehinggakan dia menarik
balik fatwa tersebut dan mengakui bahawa bumi itu adalah bulat.
Jika ahli agama mesti benar juga, mengapa di kalangan sesama ahli agama
sendiri berlaku kekhilafan. Kekhilafan, bukan dalam perkara fiqh sahaja,
malahan berlaku juga dalam perkara aqidah, kepercayaan dan keimanan.
Dalam ruangan aliran ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sahaja, sudah terdapat
kekhilafan dalam membahaskan tentang hakikat Allah; ada aliran dikenali sebagai
salafi, ada dikenali sebagai Asya’irah dan ada pula dikenali sebagai
Maturidiyyah. Itu tidak dimasukkan lagi debat di kalangan ilmuan-ilmuan syiah
lagi. Lebih parah lagi, jika dilihat kekhilafan antara sunni dan syiah.
Kekhilafan itu sendiri, bukan bersumberkan dari sesuatu yang ilusi dan fantasi,
sebaliknya merujuk kepada satu sumber yang sakral, iaitu al-Quran.
Kita semua akui bahawa al-Quran punyai bahasa yang indah. Bagi mereka yang
memahami bahasa arab, bukan sekadar nahu dan sorof, malahan berkemampuan dalam
balaghah, badi’ dan Ma’ani, sudah pasti dapat merasakan betapa “best” ungkapan
al-Quran. Keadaan ini pasti berlaku dalam al-Quran, kerana al-Quran adalah satu
kitab yang cukup hebat. Makanya, kehebatan al-Quran itu, dipamerkan dalam
bahasa yang hebat.
Apabila itulah sifat al-Quran, tidak hairan kekhilafan berlaku dalam
memahami al-Quran. Memandangkan al-Quran menyatakan kebenaran, menjadikan
sastera al-Quran melahirkan kekhilafan dalam memahami kebenaran.
Itu tidak cerita lagi, jika kebenaran itu mahu dirungkai menerusi hadis
yang punyai problem yang lebih rumit. Ini kerana, sumber dari hadis itu sendiri
terikat dengan konsep zanni subut atau sampainya riwayat itu secara sangkaan
yang kuat, bukan yakin. Ekoran itu, wujud beberapa istilah yang disebut sebagai
hadis saheh, doif, maudu’, hasan dan sebagainya.
Jelas di sini, tidak ada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka dan geng
mereka sahaja yang paling benar. Kebenaran hakiki hanya ada pada Allah yang
maha berkuasa.
Ia bukan bermakna kebenaran itu tidak ada. Tetapi, yang terjadi adalah
susah untuk menentukan siapa yang berjaya mempamerkan kebenaran yang sebenar
kepada manusia.
Wallahu ‘alam.
10 Nov 2014 – 1.04 pagi
No comments:
Post a Comment