Selepas dua BPMS, apakah tanggapan awal seorang
wartawan?
Teman lama
saya sejak 1976 ― ketika itu kami sama-sama di Jalan Daud, Kampong Baru, Kuala
Lumpur ― saudara Mohsin Abdullah seorang wartawan ampuh@seasoned , sekarang ini
dia bersama the Edge dan the Malaysian Insider, telah saya tanyai pandangannya
tentang BPMS, Baca Puisi Madrasah Seni anjuran Paksi, Seniman Paksi Rakyat dan
Madrasah Seni Kampong Banda Dalam.
Pertanyaannya berbunyi begini:
“ Berdasarkan
dua BPSM yang lalu apakah yang jelas kelihatan? Apakah impak yang jelas
kelihatan? Terus terang, apakah yang kelihatan?
Apakah ia memberi dan membawa sebarang manfaat? Mohon pandangan ikhlas saudara.”
Maka
berkatalah Sdr Mohsin:
Impak BPSM untuk
memastikan seni budaya, khususnya puisi, akan terus berjalan dan insyallah terus
berkembang. Tak syak lagi BPMS kini menjadi
wadah untuk para seniman beraksi. Lihatlah
bagaimana ia mudah dicapai, dan tak ada peraturan yang mengikat atau karenah rasmi
yang bukan-bukan. Tak kurang pentingnya ia menjadi tempat seseorang itu
meluahkan yang terbuku di hatinya tanpa halangan.
Sebenarnya
masih banyak yang perlu dilakukan misalnya untuk menghebahkan BPMS ini secara
meluas supaya lebih ramai khalayak, lebih-lebih lagi, anak-anak muda yang
hadir. Dan jangan lupa untuk menarik minat
bukan hanya orang-orang seni tapi juga mereka yang bukan orang-orang seni. Ini termasuklah yang bukan-Melayu. Dan mereka juga boleh dan turut membaca
puisi.
Pada
pandanganku sekarang ini BPMS itu hanya berlegar dalam kumpulan saudara saja.
Yang hadir pun mereka yang pro pembangkang dan para penduduk Kampong Banda
Dalam. Pendek kata, saudara perlu bawa
lebih ramai untuk hadiri acara BPMS ini atau saudara sendiri perlu pergi
menemui khalayak dan ajak mereka untuk hadir bersama.
2.0 Maklum
balas adalah petunjuk
Pandangan Sdr
Mohsin Abdullah telah dipaparkan mengikut kefahaman dan tanggapan saya sebagai si
tukang lapor. Dalam laporan di atas itu terdapat emosi, mesej, pandangan dan tidak
kurang nadanya. Ini bermakna bagaimana mesej
ini disampaikan seratus peratus bergantung kepada cara bagaimana si tukang
lapor itu melaporkan. Tukang laporlah
yang memilih sudut pandangan dan apa yang mahu ditekankan. Dan sekiranya saya salin semula seluruh teks
yang Sdr Mohsin Abdullah sampaikan kepada saya itu tanpa sebarang suntingan, mungkin
rumusan pembaca akan berbeda dengan teks saya di atas.
Jadi apakah
yang mahu saya sampaikan?
Apakah kita (sebagai
pembaca) pernah ambil peduli dan berikan
perhatian kepada sudut pandangan seorang tukang lapor? Atau kita selalu saja telan
saja bulat-bulat segala muntah si tukang lapor?
Mohon renungi sudut dan aspek ini.
Jangan telan tanpa peduli untuk mencabar. Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment