Wednesday, April 28, 2010

Buat teman-teman LLG: Mari kita urus segala perbezaan


Lidah yang serba mampu


Ada juga ‘ikhtiar-ikhtiar’ dalam kehidupan ini agak mudah dilaksanakan. Salah satu daripadanya ialah dengan menggunakan lidah. (Luqman Hakim banyak mengajar kita tentang baik buruk lidah itu kepada manusia). Ya, lidah untuk bercakap, untuk berhujah, untuk berbincang atau proses-proses lain yang dilaksanakan via lidah.

Sebilah lidah kerap dimanfaatkan dan mungkin juga kerana terlalu kerapnya ia di(salah)gunakan maka lahirlah ungkapan seperti ‘cakap tak serupa bikin’ yang oleh Pak Samad diungkapkan sebagai ‘catakserukin’.

Demikian buruknya pengaruh menyalahgunaan lidah ini, hatta retorik dan seni gaya bahasa juga diberikan konotasi yang jelek. Seni bercakap yang menjadi modal utama politikawan turut menempah nama yang buruk kerana silat-silat lidah yang tidak bertanggungjawab.


Bagaimana kalau kita berbeza pandangan?


Maka tatkala kita berbeza pandangan, perbezaan ini kadang-kadang jelas diungkapkan atau mungkin juga secara tidak sedar dipaparkan lewat bahasa badan@body language penuturnya. Yang jelas isi hati penuturnya adalah milik peribadinya. Oleh yang demikian usahlah kita terlalu risau dengan hal-hal yang tidak diungkapkan.

Kenapa? Bukankah matlamat kita ke depan, sementara masa lalu adalah sejarah yang mesti dipelajari buat menyuluh jalan?

Saya sangat berharap teman-teman kita dalam LLG dapat menerima hakikat kenapa terdapat dalam kalangan kita yang tidak mahu ‘mengiakan’ segala hujah yang telah mereka kemukakan. Namun ada beberapa perkara yang begitu jelas dalam perbincangan tersebut. Dan yang inilah yang sewajarnya kita ladeni@perhatikan:

i) Sebagai manusia yang masih ‘sane’@waras kita semua amat membenci sifat-sifat dan tingkah laku perkauman.

ii) Kita mengutuk sekeras-kerasnya segala telatah dan tindakan perkauman yang terus menerus dijadikan hantu raya ― begitu ghairah menternak ketakutan.

Marilah kita ke depan dengan langkah yang tegas dan berani dan sekiranya dalam perjalanan yang cukup jauh itu kita masih lagi tersandung, usahlah kita terlalu gusar. Kenapa? Kita masih ada rakan-rakan yang amat yakin dengan perjalanan ini.


No comments: