Thursday, May 13, 2010
Kalau ada 50 Masjid Batu..
Dinsman (Artikel 159, 30/4)
Kalaulah ada 50 masjid seperti Masjid Batu
Sekali lagi. Masjid Batu yang terletak dalam daerah Permatang Pauh, Pulau Pinang, sekali lagi mencatat rekod apabila ia mengadakan majlis pelancaran dan pengenalan buku, pada 23 April lalu. Majlis berlangsung sebaik sahaja selesai solat Maghrib dan solat sunat selepas Maghrib. Novelis Azizi Hj Abdullah menjadi pengacara majlis tersebut.
Apakah rekod yang dicatatnya? Rekodnya ialah belum pernah sebelum ini sebuah masjid di negara kita mengadakan majlis pelancaran buku, yang bukan kitab agama, dalam ruang solatnya, mengambil tempat yang biasanya diadakan Tazkirah agama selepas solat Maghrib.
Dulu, akhir Mei 2009 masjid ini pecah rekod menjadi masjid pertama di dunia mementaskan teater dalam ruang solatnya, apabila teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dipersem-bahkan di situ. Kali ini mereka buat pelancaran buku pula, dan buku yang dilancarkan ialah “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak – menyokong perjuangan A Samad Said” (KEBB).
Itu sahaja tidaklah akan menyebabkan saya jadi terharu. Tetapi sesampai saya bersama Hasni, Kassim dan Razali di masjid itu petangnya, Anuar Asmadi yang menyambut kami lalu menunjukkan sepanduk yang dipasang di depan masjid. Terasa ia seperti suatu majlis yang penting. Dan kata Anuar, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP), selaku penganjur bersama majlis itu, pihak Masjid Batu telahpun mula membuat promosi majlis ini sejak sebulan yang lalu.
Ertinya mereka bukan sekadar membuatnya, tetapi mereka mempromosinya secara bersungguh-sungguh, dengan memasang sepanduk dan menyebar poster dan risalah. (Hal yang sama juga dilakukan oleh Surau An-Nur sewaktu mereka hendak mementaskan MKDT 17 April lalu). Maka hasilnya sangatlah memuaskan dan mengharukan.
Yang mengharukan saya ialah sikap yang ditunjukkan oleh pihak pentadbiran Masjid Batu itu sendiri, dan sambutan ahli-ahli qariahnya. Masjid yang boleh mengisi seribu jemaah itu hampir penuh. Maka sewaktu menyampaikan sedikit ucapan di akhir majlis, saya menyatakan rasa terharu saya kepada pihak masjid, khasnya Pengerusinya yang masih muda, Cikgu Khairuddin.
Rasa terharu bukan sahaja kerana melihat ramainya jemaah yang hadir, tetapi juga kerana menyedari bahawa sudah empat kali saya terlibat dalam aktiviti masjid ini. Pertama, membaca puisi bersama A Samad Said sewaktu majlis mengenai bantahan PPSMI, anjuran bersama dengan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Yang kedua kerana persembahan teater MKDT. Yang ketiga kerana majlis “Puisi di Ambang Sore” anjuran bersama dengan 2PNP dan Budayawan Bertindak, menyatakan sokongan kepada perjuangan A.Samad Said. Dan yang keempat pelancaran buku ini.
Keterharuan saya juga adalah kerana mendengar ceramah yang disampaikan oleh Azmi Abdul Hamid (Presiden Teras Pengupayaan Melayu), yang membicarakan isi kandungan dan mesej buku itu, sebelum melancarkannya.
Saya sendiri, sebagai penyusun buku itu bersama Hasni Abas dan Kassim Muhamad, tidak menyangka yang buku itu mengandungi mesej dan bicara yang sepenting itu. Memang esei Azmi Abdul Hamid sendiri pun ada di dalam buku itu. Tetapi mendengar ucapan yang disampaikannya malam itu, bagaimana beliau meletakkan buku itu dalam situasi krisis sosio-politik negara kita hari ini, dan bagaimana beliau melihat Budayawan Bertindak (BB) sebagai satu gerakan yang penting hari ini, itu menyebabkan saya jadi begitu terharu.
Maka saya membayangkan – kalaulah ada 50 buah masjid seperti Masjid Batu itu di Malaysia, barangkali gejala negatif sosio-politik di Malaysia tidaklah akan menjadi seburuk dan seteruk hari ini.
Apa yang boleh dibuat oleh masjid seperti Masjid Batu itu? Atau apa yang kita boleh harapkan daripada masjid yang seperti Masjid Batu itu?
Pertama, seperti yang telah dibuatnya – ia menganjurkan persembahan kesenian yang sesuai dengan tuntutan syari’at, seperti persembahan teater MKDT dan bacaan puisi-puisi yang positif kepada kemanusiaan dan kebenaran Islam.
Kedua, juga seperti yang telah dibuatnya – menganjurkan bicara buku dan wacana intelektual, yang dapat membuka minda para jemaah, yang tidak semestinya berdasarkan kitab agama.
Kalau faktor agama dan politik boleh menyebabkan orang menjadi taksub dan minda menjadi tertutup, maka kita (khasnya BB) mengharapkan wacana seni dan budaya boleh membantu untuk memberi keseimbangan kepada ketaksuban tersebut. Dan masjid yang seperti Masjid Batu itu dapat membantu ke arah mempermudahkan perlaksanaan wawasan dan gagasan (visi dan misi), atau idea “keazaman budaya” (cultural will) ini.
Dan saya pun menjadi tambah terharu lagi selepas solat Isya’ itu, apabila melihat orang ramai seperti berebut-rebut hendak membeli buku KEBB yang dijual dengan harga istimewa RM25 pada malam itu. Anda bayangkanlah – dalam majlis yang seperti itu, di Permatang Pauh, dalam masjid, selepas solat Maghrib, apabila sebuah buku budaya yang serius seperti KEBB itu dijual dengan harga RM25, berapa buah yang mungkin terjual?
Empat puluh tujuh buah. Ia sama sekali di luar jangkaan kami.
Pertamanya, kalau dibandingkan dengan majlis bicara buku yang selalu dibuat di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, berapa ramaikah yang akan hadir? Bolehkah kita mengharapkan 700 orang seperti yang hadir di Masjid Batu itu? Tak mungkin. Tak terfikir pun oleh orang-orang budaya yang selalu menganjurkan majlis bicara buku atau seminar pemikiran penulis-penulis besar kita.
Itulah dia makanya saya terbayang dan terfikir – kalaulah ada 50 buah masjid yang seperti Masjid Batu itu! Atau tak usah sampai 50-lah, sepuluh buah saja pun sudah memadai untuk peringkat permulaan ini.
Ini suatu pemikiran yang di luar politik (non-political), bertujuan untuk memberi keseimbangan sikap dan pemikiran di kalangan umat kita, supaya tidak terlalu sangat berpolitik. Suburkan minat dan kefahaman terhadap kebudayaan, dan kurangkan berfikir politik yang keterlaluan. Insya Allah!
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment