Saturday, May 1, 2010

Maka genaplah setahun Barajiwa


Maka genaplah setahun usianya.


I) Ulang tahun Barajiwa, 1 Mei.



“Abang jangan tunggu-tunggu lagi, saya minta anak saya mulakan.”


Ya, hari ini setahun lalu, Pyanhabib adalah manusia yang bertanggungjawab sehingga memungkinkan nota maya dengan alamat http://barabarajiwa.blogspot.com ini lahir .


Ya, saya bercakap tentang blog Barajiwa yang lahir setahun tatkala seluruh umat pekerja merayakan hari yang dikhaskan kepada mereka. Hari ini khabarnya tiga orang telah ditahan kerana membawa sepanduk semasa merayakan hari untuk mereka (sumber berita: Malaysiakini, pagi 1 Mei 2010).


Sekali lagi, terima kasih Pyan kerana bantuanmu. Terima kasih. Blog ini tidak bertambah canggih namun bagi saya yang lebih afdhal ialah isinya. Semuga ia bertambah baik ― baik dari segi apa sekali pun.


Kepada teman-teman yang diam-diam mengikuti nota dan coretan, terima kasih yang tidak terhingga. Dengan terlalu banyak bahan yang ada di bumi ini dan kita juga semakin kekurangan masa untuk berbuat segala yang lebih utama, membaca sesuatu di laman maya mungkin saja cukup menderakan.


Untuk itu saya ucapkan jutaan terima kasih.



II) Untuk apa memblog?



Untuk apa memblog? Sejak memulakannya, niatnya tidak pernah berubah dan harapannya masih jua tetap sama. Ini bukanlah sekadar kerja suka-suka untuk menghabiskan masa atau mengisi masa yang lapang.



Harapan yang paling utama: Segala yang direkod memberikan manfaat tatkala kita semua kembali menemui Maha Pencipta. Semuga di hadapanNya kelak, kita sama-sama mampu berkata, “Ya, Rabb inilah yang terdaya yang telah kami lakukan.”



III) Resahnya terus membara



Ya, kalaulah diikutkan gelojak rasa, mahu rasanya disimbah seluruh laman maya ini dengan sumpah seranah dan segala maki hamun kerana terlalu marah dengan pelbagai peristiwa yang begitu mengejutkan minda waras kita.



Minggu lalu, misalnya Hulu Selangor memperlihatkan wajah kita sebagai satu bangsa merdeka yang belum kenal makna sebenar kemerdekaan. Dan kita semua telah mengikuti semuanya ― perilaku para pelakon utamanya Umno, EC, Polis, media dan segala yang berkaitan dengannya.



Ada yang melihat bagaimana musuh politik mereka diancam, dengan kekerasan supaya jangan sama sekali memasuki premis yang mereka kuasai. Demikianlah bimbangnya manusia dengan hujah. Hujah tidak lagi mampu diperdengarkan apatah mahu dijawab dengan otak yang waras. Ada yang sudah begitu selesa sekali memilih jalan keluar yang mudah ― ancaman dan kekerasan.



Soalannya: Inikah martabat kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka?



Belum lagi tragedi matinya seorang remaja di tangan wewenang yang telah kita amanahkan menjaga keselamatan kita di negara ini. Betapa anehnya dunia kita ini, tatkala kita sedang berduka dengan peristiwa-peristiwa begini yang seperti tidak berkesudahannya, dan ketika tindakan mereka terus disoal gencar oleh rakyat, ada yang seolah-olah mengancam mahu meninggalkan saja kerja-kerja yang diamanahkan ini! Betapa anehnya.



Kata Dinsman: “Boleh, tapi jangan ambil gaji dan segala ganjarannya!”



Lain pula dengan Alinor yang berduka dengan Hulu Selangor: “Saya mahu berkabung selama dua hari.”



Ya, Hulu Selangor mempamerkan wajah kita, namun pengadilnya masih tetap berhujah bahawa tak ada apa-apa yang pelik yang telah berlaku di sana!!?


Mahu kita apakah dengan segala yang berlaku ini?


Mahu diapakan?


Menjadi penonton abadi?




No comments: