Monday, May 3, 2010

Penulis: Marilah kita berkata benar!



(Teks yang disediakan dalam pertemuan dengan para sahabat penulis dari ASASI dan PPK pada 1 Mei 2010, di DBP, Kota Bharu)



1.0 Mukadimah: Lain ulu lain parang


Marilah kita teliti tiga senario berikut:

Senario pertama:

Dalam tahun-tahun 6oan kelulusan OSC/MCE (Oversea School Cetificate/Malaysian Certificate of Education) walaupun dengan pangkat dua sudah dikira satu pencapaian yang cukup besar. Anak Lebai Lazim Sungai Derhaka yang menjejakkan kakinya ke menara gading walaupun berbekalkan HSC/STP dua prinsipal yang tercorot sudah mencipta sejarah yang sangat luar biasa untuk seluruh mukim. Dalam tempoh tiga tahun, anak imam itu mampu menjawat jawatan penting di salah sebuah kementerian di Kuala Lumpur. Di hujung kerjayanya anak ini pencen sebagai KSU salah sebuah kementerian yang agak kanan.

Senario kedua:

Dalam sesebuah masyarakat Melayu Malaysia, terdapat beberapa jawatan@profesion yang sentiasa diberikan status dan kedudukan yang bertaraf ‘institusi’ yang istimewa dalam masyarakat. Maka mereka yang memegang jawatan-jawatan seperti ini selalunya dipandang tinggi dan disanjungi oleh seluruh masyarakat. Mereka menjadi orang-orang yang masam kepala yang berpengaruh dan sering menjadi rujukan masyarakat ― dikasihi kerana kewibawaan ilmunya dan dihormati kerana tingkah mereka yang mengharumkan institusi-institusi yang mereka dukungi.

Mereka adalah tok-tok guru, alim ulamak dan kadhi. Di luar kelompok lingkaran para agamawan pula terdapat juga penjawat awam yang diberikan status sosial yang tinggi, iaitu para guru. Seorang guru dalam kalangan masyarakat kerap dijadikan pakar rujuk masyarakat dalam banyak hal.


Dan yang ketiga...

Dalam abad ke 21 ini, keadaannya telah banyak berubah. Cerdik pandai atau ‘intelektual’ (digelar demikian mungkin kerana berijazah) yang lulus dari menara gading belum tentu disanjung oleh masyarakatnya. Kita pernah mendengar insiden bagaimana graduan yang balik ke kampung disoroti telatahnya dengan penuh curiga. Ada yang tertanya-tanya, tanah penduduk kampung yang mana satukah yang bakal dimangsinya kali ini!

Tiga set latar seperti di atas memberikan gambaran bagaimana ‘keadaan’ telah banyak berubah: Lain ulu lain parangnya. Dengan contoh latar seperti ini, kita tertanya-tanya bagaimana agaknya kedudukan para penulis kita, dahulu dan sekarang?


2.0 Kepimpinan adalah lokomotif pengheret gerabak



Para penulis itu pemimpin dalam sesebuah masyarakat. Kenapa? Penulis dengan segala kekuatan buah fikirannya adalah enjin yang mendorong masyarakat untuk bergerak dan berubah. Mereka adalah lokomotif perkasa sesebuah gerabak yang bernama masyarakat.


Kita boleh melihat kereta api dengan kepelbagaian lambangnya. Kepalanya atau lokomotifnya adalah enjin yang menggerak dan mendorong seluruh gerabak untuk memacu atau pun mundur. Rel pula laluan yang ditetapkan dan itulah laluan yang bakal membawa seluruh kereta api ke destinasinya. Jika kita mahu membuat perbandingannya, sesebuah organisasi juga tidak banyak bezanya dengan lokomotif. Dan seperti kereta api, gerabak boleh dimodenkan dengan pendekatan dan gaya yang lebih moden.

Dalam senario seperti ini, di manakah lokomotifnya para sasterawan, budayawa dan cendiakawan kita, dahulu dan sekarang? Di manakah enjinnya para penulis zaman silam kita, dan di mana dan bagaimanakah pula kedudukan para pelapis mereka di abad ke 21 ini?

Jika kita kembali ke masa lalu, tentunya kita teringat akan ASAS 50 dan deretan nama besar yang berjuang bersamanya. Kita ingat bagaimana para penulis besar dulu menyuntik semangat perjuangan menuntut kemerdekaan sebuah bangsa. A Samad Said yang bertapak di Singapura, misalnya terpaksa mengharungi zaman getir Perang Dunia Kedua yang amat memerihkan.

“Sungai Mengalir Lesu” memperlihatkan bagaimana tikus itu boleh menjadi sumber mengisi perut dan susu badan boleh ditukar ganti dengan susu binatang. Untuk itu para sasterawaan zaman 50an misalnya tidak perlu berlakon sebagai pejuang demi untuk mengotakan ketajaman mata pena mereka. Mereka hidup dan menulis berdasarkan kehidupan getir yang terpaksa mereka lalui. Jadi apabila mereka menulis, pena mereka sememangnya menjadi lebih tajam daripada mata pedang. Mereka menulis sedemikian rupa kerana pelbagai sebab dan rasanya sebab yang paling utama tentunya kerana iltizam kental mahu merdekakan bangsanya yang terjajah.

Sekarang ini setelah negara ini merdeka lebih setengah abad, kita memiliki payung-payung besar institusi-institusi penaung bahasa, sastera dan budaya yang antara lain katanya bertujuan memperkasakan bahasa dan sastera kita. Institusi-institusi ini wujud/diwujudkan untuk melindungi para sasterawan dan para kerabatnya dari segala bentuk taufan dan hujan ribut yang sering melanda rumah bahasa dan budaya kita tatkala mereka berjuang. Itulah peranan Gapena, DBP dan seluruh kerabat dan sepupu sepapatnya. Segala kerabat ini diiktiraf dan diberikan dana secukupnya untuk membawa bahasa dan budaya kita ke depan. Kenapa? Sasterawan zaman pasacamerdeka adalah sasterawan pengisi kemerdekaan bangsa.


3.0 Apakah bisnes para sasterawan?


Bisnes utama sasaterawan ialah menegakkan yang haq dengan berkata dan berbuat yang benar. Sasterawan tulen sebagai insan yang paling peka(tanpa ‘k’) dengan persekitarannya menentang segala bentuk kebathilan. Mereka menulis yang benar, baik untuk lawan maupun kawan. Itulah sebabnya lahirnya ungkapan yang tersohor bahawa ‘pena itu lebih tajam daripada mata pedang’. Mata pena yang menyumbunyikan dan ogah@liat dan ragu-ragu untuk bercakap benar adalah golok kayu yang baik sebagai kayu api.

Sasterawan menjadi istimewa kerana mampu berkarya lewat medium bernama bahasa. Mereka menjadi besar dan agung kerana karya yang tepu nilai seninya ― mereka telah berupaya menmanfaatkan nuraninya yang tajam. Maka jika ada ‘sasterawan’ yang memilih memperdagangkan keupayaan mereka untuk kelompok yang mereka senangi dan untuk itu diberikan upah yang setimpal, ‘sasterawan’ ini jelas telah menjadi pedagang tulen. Ada manusia yang terpaksa menjual tubuhnya untuk menyekolahkan anak atau untuk sesuap nasi, dan ada juga sasterawan yang menjual hati nurani mereka untuk mendapatkan keuntungan kebendaan. Mungkin ‘hati nurani’ itu terlalu besar untuk orang-orang seperti ini.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang mengampu dan oleh kerana kita berhasil membereskan projek ampu ini dengan baik, kita mungkin juga menerima habuan material, pangkat atau gelaran yang setimpal. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tanpa ragu-ragu melontarkan kritikan yang telus-tulus lagi tajam dan untuk itu kita dibenci, dicemuh dan diperlekehkan. Yang dibenci kerana menyatakan kebenaran tidaklah perlu gusar kerana itu bukanlah masalah. Ini bukan masalah kerana setiap insan merdeka tentu saja memiliki pandangan dan pendirian merdeka masing-masing dan pandangan-pandangan ini boleh saja berbeza.

Untuk kemajuan sesebuah bangsa, pandangan yang berbeza yang jujur mestilah dihormati, digalakkan dan dibiarkan bercambah. Sebaliknya sikap mengampu pula menggambarkan kekerdilan jiwa sang pengampu, sementara sikap bermuka-muka hanya merosakkan mereka yang diampu. Kenapa? Yang diampu tidak memperolehi nikmat kata benarnya orang yang berkata-kata. Kalaulah yang diampu itu orang-orang yang berkuasa, kesannya sangatlah buruk. Tukang ampu menghimpun dosa basah di bahunya kerana tidak menyatakan perkara yang benar dan mungkin kerananya seseorang pemerintah itu mungkin menjadi penzalim!


Lalu di manakah kedudukan kita sebagai sasterawan? Tentunya kita boleh menyemak keadaannya.



4.0 Sasterawan yang mahu tidak terlibat dengan membisu


Adalah tidak adil jika kita menuding jari sambil menuduh bahawa rata-rata sasterawan kita hari ini telah hilang jati dirinya sebagai sasterawan. Namun begitu kita juga tidak selesa malah selalunya cukup resah melihat para sasterawan kita seakan-akan memilih untuk membisu dalam segala isu ketidakadilan@kezaliman.

Kenapa? Ramai yang seolah-olah begitu yakin bahawa membisu adalah ‘mode’@pendirian yang paling selamat kerana mungkin mereka berpendapat bahawa dengan berbuat demikian mereka telah berkecuali. Sasterawan memilih untuk berkeculi@membisu melihat kezaliman kerana pada pandangan mereka inilah jalan paling selamat. Ketidakterlibatan itu disamakan dengan sikap yang berkecuali yang juga disamakan dengan jalan yang paling selamat.


Tentunya kita yakin bahawa pendirian ini sebenarnya salah dan amat membahayakan masa depan anak cucu cicit kita. Kenapa? Berdiam diri melihat kezaliman di depan mata samalah dengan merestui perbuatan si zalim.


5.0 Kenapakah sasterawan kita membisu terhadap kezaliman?


Ada sebuah cereka rakyat yang berbunyi, “Bangau, oh bangau..” Ia diceritakan dengan siri soalan dan jawapan seperti berikut:

Soalan 1: Bangau, oh bangau, kenapakah kau termenung?

Jawapan 1: Macam mana aku tak termenung, ikan tak mahu timbul.

Soalan 2: Ikan oh ikan, kenapakah kau termenung?



Untuk mendapatkan jawapan kepada soalan “Kenapakah sasterawan kita membisu terhadap kezaliman?” ini teknik analisa yang dinamakan Analisa Kenapa-Kenapa (The Why-Why Analysis) ini boleh kita terapkan.


Jika kita senaraikan senarai soalan dan jawapan “Kenapakah sasterawan kita membisu terhadap kezaliman?” mungkin inilah yang kita temui:



Soalan 1: Kenapakah sasterawan kita membisu terhadap kezaliman?

Jawapan 1: Sasterawan kita takut menjadi mangsa dan dihukum


Soalan 2 : Kenapakah sasterawan kita takut menjadi mangsa dan dihukum?

Jawapan 2: Sasterawan kita takut hilang sumber pendapatan/kekayaan/pangkat


Soalan 3: Kenapakah sasterawan kita takut hilang sumber pendapatan/kekayaan/pangkat?

Jawapan 3: Sasterawan kita takut hilang sumber rezeki

Soalan 4 : Kenapakah sasterwan kita hilang sumber rezeki?

Jawapan 4 : Kerana pemerintah telah murka

Soalan 4: Kenapakah pemerintah telah murka?

Jawapan 4: Pemerintah telah murka kerana para sasterawan kita telah berkata benar


Soalan 5: Kenapakah para sasterawan kita telah berkata benar?

Jawapan 5: Para sasterawan kita telah berkata benar kerana mereka menentang kezaliman


Soalan 6: Kenapakah para sasterawan kita menentang kezaliman?

Jawapan 6: Para sasterawan kita menentang kezaliman kerana itulah suruhan Tuhannya



Soalan 7: Kenapakah itu suruhan Tuhannya?



6.0 Kesimpulan: Apakah yang mahu kita simpulkan?


Sebagai manusia yang pasti bertemu kembali dengan Maha Penciptanya, kita perlulah yakin bahawa hidup tidak berakhir di sini saja ― di pentas dunia saja. Kita menyeru demikian oleh kerana kita amat yakin bahawa tidak ada dalam kalangan kita di sini yang tidak mengaku kewujudan akhirat. Dan untuk kembali ke sana, kita mestilah bertindak sebagai orang yang bersedia untuk kembali ke sana. Salah satu daripada keperluan untuk kembali ke sana dengan tenang ialah: Kita sentiasa berkata benar dalam segala hal.

Dan untuk para sasterawan, tidak ada yang lebih utama kepada mereka selain daripada menulis yang benar dalam karya-karya mereka!


Wallahuaklam.


No comments: