Wawancara Harakah dengan Sabri Yunus pada 4 April 2010, jam 9.00 10.30 malam di Ampang.
(Sebahagian daripada wawancara ini telah disiarkan dalam Harakah bilangan 1536)
Pada 26 Mac 2010, sudah setahun teater “Menunggu Kata Dari Tuhan”, MKDT hasil karya Dinsman dengan lakonan Sabri Yunus dan Sani Sudin dipersembahkan di merata-rata tempat di seluruh Semenanjung Malaysia. Satu peristiwa yang agak luar biasa dalam sejarah teater tanah air kita.
Sempena perisitiwa yang unik untuk dunia teater tanah air, maka pada 4 April 2010, jam 9.00 10.30 malam di Ampang, Harakah telah berpeluang untuk menemubual Sabri Yunus, SY.
Di samping itu kita juga ingin tahu bagaimana kerjaya ini bermula dan di mana kedudukan teater ini dalam kerjaya Sabri.
SY: Terima kasih, bang. Saya bermula dengan teater seriuslah.
KM: Bermula dengan teater serius..
SY: Ya, tahun 1984 saya mula dengan teater yang serius. Pernah mewakili Malaysia dalam festival teater di Manila, Filipina. Kalau tak salah “Asean Theatre Festival” tahun 1988 dalam cerita “Selampit” karya almarhum Nor Arai dengan Zakaria Ariffin dan Johan Jaafar sebagai pengarah ― separuh diarah oleh Johan Jaafar, separuh lagi oleh Zakaria Ariffin. Waktu itu umur saya dalam 20an dan watak yang saya bawa ialah watak yang serius ― seorang tua, Tok Selampit.
Memang pada dasarnya saya cenderung kepada yang serius, watak-watak yang berat, yang heavy. Malah sekarang pun, jika menonton saya suka nonton filem-filem yang serius dengan watak-watak yang heavy.
Apa pun komedi ini mungkin sudah ada dalam diri agaknya dan menjadi sebahagian daripada diri saya. Sejak kecil lagi saya minat lukisan, minat seni, minat sastera dan dalam masa yang sama saya minat juga komedi. Namun dalam diri aspek komedinya tetap wujud dalam diri, jadi saya bawa kedua-duanya sekali. Saya tak tinggalkan yang mana satu pun. Sebenarnya yang serius ini juga sukar ditinggalkan, misalnya dalam komedi pun saya membawa watak-watak yang serius.
Sebenarnya komedi ini datangnya bila saya terlibat dengan sitkom ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’, PMPMTT . Saya agak bernasib baik kerana dalam PMPMTT semuanya kawan-kawan yang saya kenal dalam teater. Dan ketika itu PMPMTT memang sudah besar dan kerana kawan-kawan sekeliling yang saya kenal, saya menonjol di situ walaupun masuk di pertengahannya.
Di Malaysia ini masalah kita ialah orang sering melabelkan kita, misalnya kalau seorang pelakon itu mula berlakon menjadi datuk, dia akan datuk jadi datuk sampai bila-bila. Umumnya pengarah tidak mahu memberikan watak-watak yang berbeza. Itulah sebabnya sesekali saya akan kembali juga ke teater untuk mendapat peluang memegang watak-watak yang berlainan juga.
KM: Kita kembali kepada MKDT. Teaternya kira-kira 45 minit dan dalam tempoh yang singkat itu Sabri perlu melakonkan pelbagai perubahan gelojak emosi dan dilema untuk bercakap benar. Itu cukup mencabar. Dari seorang yang santai, relaks tapi yakin diri berpindah menjadi seorang manusia yang menyesal, marah pada diri sendiri, kecewa, sedih, rasa bersalah, berdosa sampailah ke kemuncak sesalan yang amat sangat lalu memohon ampun dan bertaubat. Boleh ceritakan pelbagai aspek pengalaman itu sejak setahun yang lalu...
SY: Saya lebih beruntung sebab MKDT tidak mati, ia terus hidup dan bergerak. Jadi saya sebagai pelakon yang...Okey sebelum itu, ada beberapa jenis pelakon. Ada pelakon yang apabila mendapat skrip, dalam masa lima hari misalnya dia dah hayati wataknya dan itulah yang dia pegang. Jadi mainlah seratus kali pun dia telah pegang watak tersebut. Katakan latihannya dua bulan, setiap malam itulah yang dia lakonkan, dia maintain dengan watak yang dia sudah pegang.
Pendekatan saya berbeza sikit. Kalaulah latihannya dua puluh hari, setiap malam saya akan mencuba yang terbaru. Saya terus bereksperimen sehingga ke saat-saat akhir. Ada beberapa teater yang saya berlakon, sebagai contoh “Pentas Opera” watak komodi bangsawan, Osman Pompei hampir setiap malam saya bereksperimen dengan wataknya. Alasannya begini, saya sentiasa menggali dan mendalami beberapa aspek watak, contohnya kenapakah watak ini jadi begini?
Maksudnya begini: Saya tidak berpegang secara kekal sesuatu watak itu mestinya begini dan bukannya begitu. Bagi saya ada proses mencari-cari yang berterusan. Dorongan dalam proses mencari-cari itu terus berlaku setiap kali saya berlakon dan inilah yang saya lakukan untuk setiap lakonan.
Itulah juga yang berlaku dengan MKDT. Waktu permulaannya dulu ia masih samar-samar dan latihannya juga agak kurang tapi keadaan ini berubah dari semasa ke semasa.
KM: Dari dua tiga tempat yang saya pernah ikuti, perbezaannya memang nampak.
SY: Saya beruntung kerana MKDT ini menumpukan kepada satu watak saja jadi peluang untuk saya mencuba sesuatu yang baru dapat saya laksanakan. Dan ini juga disebabkan oleh peranan Dinsman sebagai pengarah yang sentiasa memberikan kebebasan sepenuhnya untuk saya dan Sani mencuba. Pendekatan ini membolehkan kami sebagai pelakon terus berkembang dalam lakonan kita. Tapi kalau wataknya ramai, pengarah yang sentiasa tengok keseluruhan persembahan lebih memahami keadaannya, jadi dia akan membetulkan keadaan sepertimana yang dia mahu. Itulah kelebihan MKDT, ia memberikan ruang yang luas untuk berkarya walaupun kadang-kadang saya bimbang juga dengan stail relaks arahan Dinsman....
KM: Ya, saya pernah dengar pandangannya bahawa ada pelakon yang mati lakonannya kerana terlalu mengharapkan kepada pengarah. Itu yang Dinsman cuba elak..
SY: Ada pengarah yang akan teliti para ke para dailog dalam lakonan. Semua detail-detail ini diberikan tumpuan. Ada baik dan ada juga buruknya dengan pendekatan begini, tapi walau apa pun MKDT telah memberikan peluang kepada kami berdua untuk berkembang.
Ada satu perkara yang jarang disebut orang. SM Zakir sebut perkara ini: Bahawa Sanilah yang bercerita. Saya pun memang lebih suka kalau Sani lebih banyak berdialog di samping bermain muzik seperti sekarang ini.
Apa pun yang hendak kita lakukan, saya rasa semua orang faham bahawa mengenali siapakah khalayak kita itu sangat penting. Oleh itu lebih elok kita ketahui dan berikan perhatian siapakah audiens kita. Itulah sebabnya berlakon dalam masjid tak akan sama dengan berlakon di The Store atau di Muzium Shah Alam, misalnya. Khalayak di Store ingin melihat aspek teaternya yang lebih, sementara yang di masjid umumnya ingin mendengar hadithnya. Khalayak di masjid ingin mendengar hadithnya daripada melihat unsur teaternya.
KM: Apakah pengajaran yang diperolehi daripada MKDT?
SY: Untuk diri saya sendiri, MKDT ini bukan saja ceritanya, wataknya tapi proses perjalanan kita dalam membuat persembahan banyak memberikan pengajaran kepada kita. Perkara yang paling ketara kepada diri saya ialah saya lebih banyak bersabar daripada dulu.
KM: Apakah teater itu sendiri atau proses bergerak untuk mempersembahkan teater itu sendiri yang menyebabkan ini terjadi?
SY: Rasanya berkaitlah, watak Kaab yang hendak saya bawa dan suasana yang perlu kita tempuhi semasa mementaskan teater itu sendiri yang mungkin membuat saya begitu. Abang tentu tahu kadang-kadang bagaimana keadaannya tempat-tempat pementasan yang hendak kita gunakan itu; bermacam-macam keadaan dan masalahnya. Dan ini banyak menuntut saya lebih bersabar. Rasanya ini sudah terbawa-bawa dalam kehidupan saya, saya jauh lebih bersabar kerananya!
KM: Untuk pemahaman penonton yang umum, tidakkah cerita berbentuk monolog ini satu cabaran kepada pelakon? Tentunya Sabri ada kaedahnya sendiri untuk mengatasi aspek ini.
SY: MKDT ini satu skrip yang lurus, straight ― tak ada apa-apa liku-likunya, tak ada flash back. Jika ia bermula dari A, ia akan bergerak ke B dan terus ke Z. Jadi kalau kita baca skrip itu begitu saja tanpa lakonan pun, penonton akan faham ceritanya.
Namun begitu ada aspek-aspek menarik tentang teater ini. Pertamanya, bagaimana seluruh peristiwa itu diceritakan dari sudut masa lalu dan tidak seperti sebuah laporan sebuah insiden (laporan pandangan mata) yang sedang berlaku. Ini membuat saya sebagai Kaab lebih relaks dalam berlakon. Saya tak perlu terteken lepas ini, apa dan lepas itu apa pula. Satu lagi seperti yang disebut awal tadi, tak ramai yang menyedari sebenarnya Sanilah yang bercerita.
KM: Melihat kepada apa yang Sabri lakukan sebagai Kaab, saya dapat bayangkan bahawa tidak mudah untuk berpindah dari satu mood kepada mood yang lain dengan begitu dalam masa yang begitu singkat. Ada teknik-teknik tertentu untuk membuat semua ini?
SY: Saya percaya bang, lakonan ini tidak boleh dibuat-buat. Lakonan itu adalah rasa yang perolehi dengan memegang watak-watak tertentu. Dan saya percaya semua sekolah teater ada kaedahnya sendiri mengajar tekniknya. Aswara misalnya mengajar subjek ini. Ada macam-macam kaedah untuk mencapai rasa ini.
Contohnya yang asas saya hendak abang lalui proses ‘rasa’ ini, saya meminta abang berjalan berkaki ayam kelilingi kompleks ini selama dua puluh minit dan kemudai ceritakan semuanya kepada saya. Itu satu contohlah latihan asas.
KM: Ada juga yang suka dan kerap menyebut bahawa MKDT itu sebagai teater Islamik. Dinsman selalu menyebut MKDT ‘teater dari hadith Nabi’. Dia juga pernah menyebut delima Kaab sama seperti delimanya Hamlet dalam “Hamlet” Shakespeare dengan kata-kata yang tersohor itu “to be or not to be”. Pada pandangan Sabri apakah perlu kita letakkan tag atau tanda tertentu seperti ini untuk teater kita?
SY: Kita boleh tengok ‘lagu puisi’ sebagai satu contoh. Saya tak begitu gemar label lagu puisi sebab lirik lagu itu sendiri haruslah puisi, bukan? Sebabnya dengan label lagu puisi hanya peminat puisi saja yang akan membeli album itu, yang tidak berminat tidak akan membelinya. Kita boleh tengok lagu-lagu Ebiet G. Ade sebagai contoh. Dia tak pernah labelkan lagu-lagunya sebagai lagu-lagu puisi dan albumnya meluas. Dan kita di sini terima dia sebagai lagu puisi tapi dia tak melabelkan sebagai lagu-lagu puisi. Bila tak label lagi luaslah.
Secara peribadi, saya tidak begitu gemar label-label begini. Kita boleh tengok contoh-contoh drama kita. Kalau ada watak-watak orang-orang beragama, pakaiannya dan juga lakonannya juga menjadi lain ― semacam orang berceramah sehinggakan salamnya pun menjadi macam salam dalam ceramah.
MKDT elok tidak berlabel dan ia tidak sewajarnya tertumpu ke dalam masjid dan surau saja. Masanya sudah sampai untuk MKDT keluar lebih jauh. Saya berharap Dinsman dapat membawa teater ini lebih jauh dengan penglibatan sektor korporat misalnya. Semua ini tentunya memerlukan pendekatan pengurusan yang lebih mantap. Bayangkan KFC atau PNB mislnya.
KM: Kalau kita masih ingat, Azizi Abdullah semasa menjadi pengerusi persembahan MKDT di Masjid Batu pernah berkata bahawa inilah kali dalam sejarah dunia sebuah teater dilakonkan dalam sebuah masjid. Dan ini adalah satu peristiwa yang tidak boleh kita biarkan begitu saja tanpa berusaha untuk merekodkannya. Sabri melihatnya bagaimana?
SY: Pertamanya Dinsman kena mementaskan sekali lagi di masjid dengan menghadirkan pegawai Malaysia Book of Records misalnya untuk sama-sama menonton teater ini. Ini bukan untuk merekodkan peristiwa persembahan teater dalam masjid semata-mata tetapi juga kerana MKDT adalah sebuah teater yang paling banyak dipentaskan setidak-tidaknya di Malaysia, di tempat lain entahlah.
Di Indonesia misalnya kita ada Wali Songo yang menyebarkan dakwah Islam melalui wayang kulit. Itu kita perlu semak semula. Tapi di Malaysia memang tak ada masalah. Ini memang satu usaha yang bagus sebagai daya tarikan untuk khalayak untuk lebih terlibat dan juga sebagai rekod yang bersejarah tentunya.
KM: Harapan Sabri kepada dunia teater tanah air.
SY: Saya bukanlah orang teater yang besar kerana di luar sana masih ramai lagi yang hebat-hebat yang terlibat dalam bidang ini. Sekarang ini terdapat begitu ramai sekali penggiat di tanah air kita, tapi sayangnya kita kekurangan tempatnya untuk para penggiat ini. Ada di kalangan penggiat ini yang tak mendapat apa-apa imbuhan pun dari kegiatan mereka. Kalaulah diwujudkan dana dan tempat untuk mereka alangkah baiknya. Itulah di antara impian saya.
Sayangkan, kita memiliki pusat pengajian tinggi seperti Aswara tapi ke manakah lulusan ini bergiat? Sayangkan. Kita ada sekolah, kita ada pembangunan...
KM: Prasarana seni yang tidak menyeluruh..
SY: Saya pernah pergi ke satu festival teater di Findland, Tampere, sebuah bandar lama selama 12 hari. Sebuah bandar kecil kuno penuh dengan persembahan teater dan kita boleh berjalan dan satu pentas ke pentas yang lain untuk menonton pelbagai teater. Bayangkan satu bandar kecil untuk kegiatan teater. Di Kuala Lumpur ini kita ada berapa tempat yang seperti itu?
Sebenarnya prasarana teater ini tidak memerlukan prasarana yang mewah-mewah dan yang berlebihan; kilang yang lama, bangunan yang lama pun sudah mencukupi. Hanya ada lightingnya saja.
KM: Kita doakan semuga pendekatan penguasa dalam menyediakan peruntukan untuk mengurus projek-projek santapan rohani seperti teater ini akan berubah satu hari nanti, mudah-mudahan. Terima kasih kerana sudi untuk ditemubual.
SY: Sama-sama.
No comments:
Post a Comment