Dinsman (Artikel 164, 21/5)
Dalam Wacana Budaya seminggu lalu (Harakah 14 Mei), saya menulis tentang kebenaran dan berkata benar, ekoran daripada soalan yang ditimbulkan oleh seorang penulis dalam suatu majlis diskusi buku di Kota Bharu.
Kata saya, seorang penulis telah bertanya: “Kalau kita berkata yang benar dengan pihak pemerintah hari ini, bagaimana pula nantinya kalau pemerintah bertukar? Apakah kebenaran juga perlu bertukar?”
Dan dalam tulisan minggu lalu itu saya mengatakan: “Lihatlah bagaimana ‘kebenaran’ dan ‘berkata benar’ telah dihubungkan dengan kerajaan yang memerintah. Ini adalah satu kekeliruan. Tetapi kekeliruan ini (oleh sebab disokong oleh pelbagai faktor) telah begitu lama terjadi dan telah mencair dan bersebati dengan amalan harian, hingga tidak terasa lagi ia suatu kekeliruan (bagi golongan tertentu).
“Dan aneh serta tragisnya, golongan penulis dan sasterawan juga terperangkap dalam kekeliruan itu, tanpa mereka sedari.
“Maka saya menyatakan dengan tegas dalam majlis itu bahawa kebenaran adalah kebenaran. Ia tidak ada hubungan dengan kerajaan yang memerintah. Siapa pun yang memerintah, kebenaran adalah sama, dan tidak berubah. Yang pentingnya kita harus kenal dan tahu apakah itu kebenaran. Kita harus kenal dan tahu yang mana yang benar dan yang mana yang salah (tidak benar).”
Hari ini, 18 Mei, sahabat saya Rahman Shaari (Profesor) melalui kolumnya dalam Sinar Harian, menulis dengan judul “Kebenaran politik: Baca fikiran Dinsman”. Antara lain, katanya, “Jadi, soalan pada majlis Dinsman itu ada kekuatannya, bukan satu soalan yang terhasil daripada kekeliruan!”.
Rumusannya, saya mengatakan “penulis dan sasterawan juga terperangkap dalam kekeliruan itu”, tetapi Rahman Shaari mengatakan tidak, penulis dan sasterawan serta intelektual kita tidak keliru. Dan setelah membaca hujah-hujah yang dikemukakan oleh Rahman Shaari dalam tulisannya itu, saya berpendapat Rahman sebenarnya telah membuktikan melalui cara dia berhujah itu, bahawa dia sendiri adalah contoh dan mewakili golongan penulis, sasterawan dan intelektual yang keliru (mengenai kebenaran dan berkata benar) itu.
Mengapa saya membuat rumusan demikian? Oleh sebab ruang saya yang terhad ini, biarlah saya memilih untuk melihat (secara analisis) pada contoh-contoh penting yang dibawa oleh Rahman.
Rahman memilih contoh Anwar Ibrahim. Katanya, “ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan menteri, persembahan puisi yang menyebelahi kerajaan diterima baik.” Dan tambahnya lagi, “Apabila Anwar berada di luar kerajaan, iaitu apabila beliau menjadi pembangkang, beliau sampai hati menyebutkan kata-kata begini: Our academics write poetry to bootlick.”
Dan dia terus bercerita: “Penyair daripada kalangan ahli akademik itu telah tawar hati, biarpun tidak sakit hati. Dahulu diberi tahniah, kini dianggap kaki bootlick, padahal sajak yang dideklamasikan lebih kurang sama saja. Penyair itu memilih menjauhi Anwar…”
Perhatikanlah bagaimana Rahman mengaitkan peristiwa yang dijadikannya contoh itu, dengan apa yang saya maksudkan dengan ‘kebenaran’ dan ‘berkata benar’ dalam tulisan saya yang melaporkan majlis diskusi buku (atau wacana budaya) di kalangan penulis dan budayawan di Kota Bharu itu.
“Kebenaran adalah kebenaran,” kata saya. (Biar saya ulang lagi sekali). “Ia tidak ada hubungan dengan kerajaan yang memerintah. Siapa pun yang memerintah, kebenaran adalah sama, dan tidak berubah. Yang pentingnya kita harus kenal dan tahu apakah itu kebenaran. Kita harus kenal dan tahu yang mana yang benar dan yang mana yang salah (tidak benar).”
Dalam contoh yang dibawa oleh Rahman di atas itu,
Persoalan saya ialah – biar saya ulang sekali lagi apa yang telah saya ulang tadi, iaitu bahawa “yang pentingnya kita harus kenal dan tahu apakah itu kebenaran. Kita harus kenal dan tahu yang mana yang benar dan yang mana yang salah (tidak benar).” Bukannya seseorang yang menjadi tokoh politik seperti Anwar Ibrahim atau sesiapa saja (samada sewaktu dia penguasa atau sewaktu dia pembangkang). Kita sendiri – penulis, sasterawan, intelektual, budayawan – kitalah yang menentukan ‘kebenaran’, dan kitalah yang mesti ‘berkata benar’.
Hujah Rahman itu jelas menunjukkan betapa “lemah dan malangnya” kebanyakan penulis, sasterawan dan intelektual kita hari ini. Betapa kelirunya mereka terhadap nilai-nilai kebenaran dan kemanusiaan, yang sekaligus menunjukkan (dan ini amat tragis dan menyedihkan) betapa goyahnya pemahaman dan penghayatan mereka terhadap aqidah Islam (kerana yang kita bicarakan ini ialah mengenai penulis, sasterawan dan intelektual yang Islam).
Perhatikan – Rahman tidak berasa perlu pun untuk menyatakan puisi apakah yang dibacakan oleh penyair-pensyarah yang diceritakannya sebagai contohnya tadi. Apakah puisi yang dibacakan itu membawa mesej yang memihak kepada kebenaran dan keadilan, atau apa kandungannya? Sama sekali tidak penting pada Rahman, walaupun dia membawa contoh itu dalam konteks berhujah mengenai kebenaran dan ‘berkata benar’.
Seolah-olah bagi Rahman, yang menentukan apa benar dan apa tidak benar itu bukan kita – penulis, sasterawan, intelektual, budayawan. Yang harus menentukan apa benar dan apa tidak benar itu ialah tokoh-tokoh pimpinan politik.
Inilah yang saya maksudkan bahawa penulis, sasterawan dan intelektual kita hari ini terperangkap dalam kekeliruan yangt tanpa mereka sedari. Dan perkara inilah yang selalu saya bahaskan apabila saya berbicara mengenai “keazaman budaya” (Cultural Will) dan “keazaman politik” (Political Will). Bahawa budayawan kita sudah sekian lama (selepas generasi Zaaba, Syed Sheikh Al-Hadi dan Ishak Hj Muhammad) menyerahkan “kuasa budaya” yang ada pada mereka, kepada orang-orang politik dan orang-orang niaga.
Biar orang lain yang menentukan apa yang benar dan apa yang tidak benar. Orang sastera-budaya tak perlu berada dalam posisi itu. Hah, hakikat yang sekaligus menafikan tanggungjawab seorang manusia muslim.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
No comments:
Post a Comment