Monday, May 17, 2010

Satu petang di Gua Musang



Gua Musang yang sekian kali kita lewati tatkala dalam perjalanan dari Kuala Lumpur – ke Kota Bharu ialah bandar terbesar di selatan Kelantan sangat berbeza; kini.


Itulah perbandingan mereka yang sering berulang-alik dahulu dan sekarang. ‘Dulu’ itu kira-kira lima tahun yang lalu. Itulah pandangan mereka yang mengalami dua masa lalu ― dulu dan sekarang.


Kami sama-sama menghitung-hitung berapa buah hotel yang sudah dan sedang dibina. Begitu juga bilangan banknya, kedai bukunya, warung, masjid, suraunya dan manusianya yang lalu lalang.


Apakah yang sangat memikat di Gua Musang? Bukit kapur yang sentiasa mengamati dan menjadi saksi entah berapa kali kereta api datang dan pergi dan bila.


Sementara kedai makan di stesen kereta api itu sentiasa saja mendongak untuk dilindungi bukit kapur yang gagah itu.


Ada lagi? Ya, anak-anak gadisnya yang tidak pernah tidak tersenyum ketika meladeni para tetamu di warung-warung mereka. Sehingga malam ini...terkejut juga semasa tidak dilayani seperti selalunya. Ya, memang betul dalam kehidupan ini, tentunya ....ada kekecualiannya untuk segala peristiwa.


Ada lagi yang begitu mempesonakan...


Saya terpesona sekali melihat telatah anak kecil, bertatih-tatih ke dalam warung, lalu terus menuju ruang dapur. Begitu si pelayan warung menggendongnya keluar, si anak kecil meronta-ronta. Rupa-rupanya telah protes dia kerana digendong keluar dari dapur. Menyedari protesnya tidak dipedulikan, maka si kecil pun sudah siap ― meraung-raung!


“Ya...ya...” pujuk si pelayan sambil kembali menggendong si kecil dan terus kembali menuju ke dapur. Dari dalam tong ungu cerah itu dicapainya lalu si kecil disuapinya seketul air batu.


“Sedap?”


Si kecil tersenyum lebar...sambil berlari-lari menuju bapanya yang lagi meriah berbicara tentang pilihan raya Sibu.


“ Swee Lan...” acah pelayan dari dalam dapur.


Tatkala itu yang namanya masa depan itu tiba-tiba saja menerjah fikiranku.


Apakah anak gadis ini, bila besar nanti masih ingat bahawa semasa kecil dulu dia pernah berlari-lari, bermain-main dan digendong Mak Cik Bedah?


Apakah persekitaran hari-hari mukanya tidak tepu dengan racun perkauman yang maha berbisa itu? Apakah ini semua bakal mengubah persepsi Swee Lan bahawa seluruh umat manusia sesungguhnya sangat mampu melebarkan kasih sayangnya walaupun berlainan kulit?


Lalu kenapakah masih ramai pemimpin politik (termasuk yang mantan) seolah-olah tidak mampu berbicara dari hati nuraninya apabila berbicara politik?


Bagaimanakah pemimpin yang sentiasa berpura-pura tentang kesejahteraan manusia dan kemanusiaan itu bisa lolos saringan ujian kepemimpinan luhur untuk rakyat jelata sehingga berjaya ‘dianya’ menjadi pemimpin besar negara kita? Pada hal kerja asalnya dan kerja sebenarnya sejak dulu kala lagi ialah membenihkan perasaan takut sesama manusia ― demi untuk mengekalkan kuasa.


Bagaimanakah kita boleh dan telah memilih orang-orang seperti ini menjadi pemimpin kita?


Kenapa?

dan

Mengapa sampai terjadi sedemikian?


Aku terfikirkan masa depan Swee Lan di Gua Musang dan anakku yang bakal membesar di negara ini.



No comments: