1.0 Mukadimah
Rancangan asalnya ialah untuk mengumpulkan orang-orang muda sekitar ibu negeri Cik Siti Wan Kembang dalam satu pertemuan bersama Budayawan Bertindak (BB). Orang-orang muda yang aktif berteater, tekun berseni foto dan sangat berminat untuk terjun dalam pelbagai kegiatan seni, budaya dan keilmuan. Ada yang guru, ada mencari rezeki sebagai pensyarah dan ada juga yang berdagang buku-buku serius lewat pasaran maya.
Yang dirancang rupa-rupanya tidak menjadi kenyataan kerana kami, (BB) diminta oleh YB Fatah Mahmood agar berkerjsama dengan Asasi, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah dan PPK, Persatuan Penulis Kelantan untuk menjayakan program bicara karya. Maka hasrat BB dan juga anak-anak muda untuk bersama-sama dalam kelompok yang kecil tidak menjadi kenyataan ― ia tertangguh. Yang pasti mereka sedikit kecewa. “Tak mengapa, kita ulangi dalam kesempatan yang lain, insyallah” demikianlah harapan Dinsman.
“Saya mahu mengajak sahabat-sahabat penulis kita berani bercakap benar!” kata saya pada Dinsman.
“Sungguh kebetulan, saya juga mahu bercakap sekitar tajuk itu,” kata Anbakri semasa kami bertemu di Kota Bharu.
Rupa-rupanya mesej utama Kaab bin Malik dalam teater “Menunggu Kata dari Tuhan”, MKDT sudah mulai menular ke mana-mana. Syukurlah begitu kerana sesungguhnya ummah dan negara kita sememangnya sedang tenat dan sekiranya kita jujur kepada diri, tentulah kita dapat amati bagaimana pelbagai institusi dan nilai-nilai yang kita pegangi selama ini telah runtuh ― satu persatu.
Maka dalam nota untuk renungan para sahabat penulis itu, antara lain telah kita lontarkan keresahan ini:
“Untuk kemajuan sesebuah bangsa, pandangan yang berbeza yang jujur mestilah dihormati, digalakkan dan dibiarkan bercambah. Sebaliknya sikap mengampu pula menggambarkan kekerdilan jiwa sang pengampu, sementara sikap bermuka-muka hanya merosakkan mereka yang diampu. Kenapa? Yang diampu tidak memperolehi nikmat ‘kata benar’nya orang yang berkata-kata. Kalaulah yang diampu itu orang-orang yang berkuasa, kesannya sangatlah buruk. Tukang ampu menghimpun dosa kerana tidak menyatakan perkara yang benar dan mungkin kerananya seseorang pemerintah itu menjadi penzalim!”
Dinsman telah mengupas lebih lanjut aspek ini dalam kolumn Wacana Budayanya, WB dan persoalan ini dijawab oleh Rahman Shaari dengan mengaitkan intipati persoalan ‘kebenaran adalah kebenaran’ ini dengan pemerintahan dan kepimpinan politik kerana ada peserta yang bertanya, “Apakah yang akan jadi dengan kebenaran yang kita ungkapkan jika pemerintah telah berbuah?”
Terus terang saya agak terkejut dengan reaksi Rahman Shaari. Pertama, soalan yang timbul di dalam benak ialah: Sejak bila kebenaran itu bergerak@menganjak? Paling aneh, yang namanya kebenaran itu rupa-rupanya bergerak mengikut siapa yang memerintah!
Dalam asuhan dan didikan agama yang kita lalui, kebenaran TIDAK menjadi benar dek kekuatan, (might is right). Pada kita, peraturan yang membenarkan ‘siapa besar dialah yang betul’ adalah hukum hakam penghuni rimba@non-manusia. Kenapa? Manusia memiliki kod kemuliaan rohani yang namanya agama.
Jadi apabila kita yang yakin dan percaya bahawa ‘yang hak tetap hak dan kebatilan tetap kebatilan’, maka ajakan asal, ‘ Marilah kita berkata benar’ itu cukup lurus, mudah dan jelas. Ini bermakna kita tidak akan temui, cerita dan hujah untuk keseronokan senaman minda (mental exercise) yang tidak menguntungkan dalam menterjemahkannya menjadi tindakan nyata. Cuba kita perhatikan apa yang telah dibangkitkan oleh Rahman Shaari dalam artikel pertamannya:
2.0 Meneliti premis hujah Rahman Shaari
Berdasarkan artikel pertama dalam Sinar Harian, bertarikh 18 Mei 2010 (selepas ini SH18) yang bertajuk “Kebenaran politik: Baca fikiran Dinsman”, maka antara lain kita temui dan petik premis hujah Rahman Shaari seperti yang berikut:
2.1 Kebenaran, pemerintah dan reaksi Rahman terhadap pandangan Dinsman
SH18(1) Kebenaran, kata Dinsman lagi, tidak ada hubungan dengan kerajaan yang memerintah
SH18(2) Terlalu banyak perkara yang timbul daripada truisme (sila rujuk pengertiannya dalam nota kaki tulisan ini – penulis ) yang dikemukakan oleh Dinsman.
SH18(3) Memang kata-katanya betul, tetapi apabila dikaitkan dengan kerajaan atau pemerintah, kebenaran akan dicalitkan dengan pelbagai janji dan propoganda.
SH18(4) Apabila dikaitkan dengan pembangkang pula, kebenaran akan dibisingkan dengan janji-janji lain pula.
SH18(5) Kita tidak membicarakan kebenaran mutlak di peringkat tinggi (faham agama), kerana cetusan soalan di majlis Dinsman itu bukannya bertolak daripada bicara religious.
SH18(6) Saya teringat akan kata-kata seorang sasterawan negara: Idea dan penulisan penulis mestilah bercanggah dengan pemerintah! Saya tidak terpegun,..
SH18(7) Saya tidak cenderung berbahas dengannya, kerana di Indonesia WS Rendra yang terkenal itu tidak sejalan dengan pemerintah dan di Malaysia Kassim Ahmad, menjadi hebat kerana sikap yang sama.
SH18(8) Ertinya ada kebenaran pada kenyataan kebenaran figuratif sasterawan negara itu dan kenyataan figuratif tidak mungkin memuatkan kebenaran hakiki.
2.2 Kebenaran, Anwar Ibrahim dan pemerintah
SH18(9) Jika seseorang penulis karya sastera sentiasa menghasilkan karya sastera yang sejalan dengan pemerintah, karyanya akan dianggap karya bodek (bootlick)
SH18(10) Penyair itu memilih menjauhi Anwar mendahului tindakan intelektual Dr Chandra Muzaffar
SH18(11) Contoh yang saya kemukakan di atas membuktikan bahawa kebenaran dilihat sebagai ‘makhluk abstrak’ yang selalu mengikut kedudukan, sama ada di pihak pembangkang atau pun pemerintah.
2.3 Sikap takut para pensyarah dan Anwar Ibrahim
SH18(12) Ketika Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan BN, beliau tidak menggalakkan pensyarah dan mahasiswa melaksanakan kegiatan menentang kerajaan
SH18(13) Akibat daripada sikap sentiasa pasif yang ditunjukkan oleh Anwar ketika itu, mahasiswa progresif kehilangan arah, lalu mengambil perjuangan halal-haram!
2.4 Kebenaran, kitaran jatuh bangun pemerintah-pembangkang, kebosanan sebagai hakikat hidup, dan manusia sebenarnya hidup dalam alam absurd.
SH18(14) Pembangkang berjanji akan membela rakyat jika mereka memerintah, tetapi ingat, ketika kerajaan yang jatuh menjadi pembangkang, lalu mengatakan kerajaan baru itu menindas rakyat
SH18(15) Perkara ini berulang-ulang, dan kita akan berasa bosan melainkan kita sedar bahawa kebosanan ialah hakikat hidup.
SH18(16) Mujurlah Dinsman membaca Myth of Sysiphus dan Waiting for Godot.
Artikel kedua juga dalam Sinar Harian, Selasa bertarikh 25 Mei 2010 (setelah ini SH25) yang bertajuk “Tentang kebenaran: Telah berbicarakah Dinsman”, Rahman Shaari antara lain telah mengutarakan hujah berikut:
2.5 Dinsman, kebenaran dan pemerintah
SH25(1) Dinsman telah berkata sesuatu, tetapi jika itu saja yang dikatakannya, saya menganggap dia tidak berkata apa-apa
SH25 (2) Perkaitan antara pemerintah dengan kebenaran ialah satu yang sinikal.
SH25(3) Jawapan sinikal yang sesuai untuk menyatakan hal tersebut ialah begini: Kau benar; kerana kau besar!
SH25(4) Dinsman menjawab persoalan itu dengan mengemukakan frasa klise: Kebenaran ialah kebenaran.
SH25(5) Sebenarnya saya bersimpati kepada kepada Dinsman, kerana saya tahu sukar sekali untuk seseorang mendefinasikan kebenaran jika tidak ditetapkan pendekatannya. Oleh itu, Dinsman terpaksa berkata ‘kebenaran itu kebenaran’
SH25(6) Kita tahu, bahawa kebenaran atau hal yang berkaitan dengan kebenaran telah dikupas bertele-tele dalam sejarah kesusasteraan, sejarah kritik sastera, sejarah budaya kebudayaan, dan sejarah diskusi peradaban kita.
SH25(7) Dinsman hanya mengulangi keluhan silam yang sia-sia, dan akan bermulalah buat ke sekian kali kebiasaan mencari kelemahan, tanpa melihat bahawa segala yang kita temui ialah produk (hasilan), padahal yang penting ialah punca dan proses penjelmaan produk itu.
2.6 Anwar Ibrahim, Muhammad Naquib Al-Atas, Mahathir dan kebenaran
SH25(8) Dalam tulisan saya yang lepas, nama Anwar Ibrahim muncul dengan tegas. Saya perlu menyebut nama tokoh itu, kerana bagi saya dia hampir sepenting Muhammad Naquib Al-Attas.
SH25(9) Kita tahu, apabila Anwar menyertai UMNO dan kerajaan, beliau berguru dengan Mahathir pula.
SH25(10) Oleh sebab kebenaran Imam Abu Hanifah berbeza daripada kebenaran Aristotle (baca: Sebenarnya Socrates), maka kita perlu segera merumuskan makna kebenaran yang kita maksudkan, jangan sekadar berkata: Kebenaran itu kebenaran.
SH25(11) Kebenaran ialah aforisme yang tidak berkesudahan.
SH25(12) Tanpa definisi kebenaran yang kita kehendaki, kita mungkin akan kian percaya bahawa dalam diri lelaki sentiasa ada kompleks Oedipus, manakala perempuan mengandung kompleks Electra.
SH25(13) Saya selaku pemegang kukuh teori anjakan makna, mempunyai pandangan bahawa dalam fikiran manusia, segala yang kita fahami pasti beranjak. Anjakan berlaku apabila perspektif berubah.
3.0 Pemerhatian dan ulasan kita
Setelah membaca kedua-dua artikelnya Rahman Shaari di atas, maka saya temui perkara-perkara berikut:
3.1 Rahman Shaari kelihatannya nyaman berlindung di bawah premis sekular. Dia mahu bergusti dengan peraturan, gelanggang dan pengadilnya sendiri.
a) Isu kebenaran perlu berada di luar gelanggang agama. Sila lihat hujah: SH18(5).
b) Kebenaran berganjak mengikut pagar definisi yang kita bina. Contohnya kematian kerana meminum atau dipaksa meminum racun dalam kes Socrates dan Imam Abu Hanifah. Sila lihat hujah: SH25(10).
c) Kebenaran itu ‘makhluk abstrak’. Sila rujuk SH18(11).
d) Kebenaran figuratif tidak mungkin memuatkan kebenaran hakiki. Sila rujuk SH18(8).
3.2 Rahman Shaari percaya bahawa ‘kebenaran’ itu jelas dalam batang tubuh dan perjalanan hidupnya Anwar Ibrahim
Oleh sebab soalan yang dibangkitkan dalam sesi perbincangan itu bersangkut paut dengan kebenaran dan pemerintah, maka kita dapati bahawa Rahman Shaari telah merumuskan atau menemui rumus matematik seperti berikut:
K = f (P)
K ialah kebenaran, dan
P adalah pemerintah
Dan mengikut mantik@logiknya Rahman Shaari lagi, pemerintahan pula tidak boleh, ya, sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada batang tubuh yang namanya Anwar Ibrahim. (Hah, alangkah bertuahnya kamu wahai Anwar Ibrahim, sehinggakan seluruh kehidupan di Malaysia ini, hatta kebenaran yang hakiki itu pun sudah menjadi milikmu! Betapa luar biasanya tuan.)
P = f (DSAI, xg, xo)
P itu pemerintah
DSAI ialah Anwar Ibrahim
xg = angkubah semasa DSAI bersama Pemerintah
xo = angkubah setelah DSAI menjadi Pembangkang
Sementara itu ada lagi aspek-aspek lain yang lebih menarik, misalnya:
3.3 Rahman Shaari sangat teruja dengan karya dan teori sastera Barat
3.4 Rahman Shaari mencari kebenaran hidup ini lewat teori anjakan maknanya
Sesungguhnya, Rahman Shaari sangat percaya bahawa ‘kebenaran’ itu anjal dan akan ‘anjak’ maknanya mengikut masa, tempat dan keadaan.
4.0 Penutup
Sekali lagi, kita mohon agar para penulis tanah air tercinta ini supaya bangun dan jadilah kehidupan yang singkat bermakna sebelum kita mati. Yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini terlalu banyak untuk dibutakan mata hati kita. Oleh sebab itu segala silat teori dan silat kata tak mampu menutup masalah yang cukup tenat ini. Tak perlulah kita senaraikan kerana pasti ada yang cepat bangun dan bertempik, “Hah, itu politik!”
Mari kita lihat satu contoh nyata:
Sikap seorang bekas orang besar akhbar terhadap kematian remaja Amirulrasyid, di Shah Alam di tangan pihak polis cukup menarik untuk direnungi:
Penulis besar ini mempersoalkan kenapakah ibu bapa sampai membenarkan anaknya yang tidak memiliki lesen memandu, berbuat demikian. Lebih teruk lagi, kita dimaklumkan dengan contoh bahawa dia, sang penulis besar ini, tak pernah berbuat demikian, tatkala mendidik anak-anaknya.
Begitulah contohnya tingkah entah-apakah-sikapnya bekas orang besar media kita ini, kecuali kalau bukan berpura-pura, berpekak badak dan berlembu kenyang bila bercakap tentang yang haq dan kebathilan! Perhatikan bagaimana mudahnya penulis besar seperti ini mencari jalan keluar untuk Sang Penguasanya. Begitu mudah sekali.
Apakah kita redha semua penulis kita menjadi demikian?
Dan kita menghalalkan semua yang berlaku di sekeliling kita ini dengan hanya berpura-pura?
Itulah persoalan utama kita dalam sesi bersama teman-teman penulis itu.
Wallahuklam.
Nota kaki:
Satu:
Truism: A statement that is obviously true, especially one that does not say anything important, eg. Nothing lasts for ever. (Oxford Advanced Learner’s Dictionary, Fifth Edition, A S Hornby page 1280). Maknanya kira-kira begini: Satu kenyataan yang jelas tepat, lebih-lebih lagi yang tidak mengutarakan sesuatu yang penting, contohnya ‘Tidak ada yang kekal selama-lamanya’
Dua:
Figurative: Used in an imaginative or metaphorical way that is different from the usual or basic meaning: He exploded with rage shows a figurative use of the verb ‘explode’ (Oxford Advanced Learner’s Dictionary, Fifth Edition, A S Hornby page 433). Maknanya kira-kira begini: Digunakan secara imaginatif atau sebagai metafora iaitu berbeza daripada kaedah biasa atau normal.
Tiga:
Kini, ‘Marilah kita berkata benar’ sudah menjadi polemik yang cukup menarik. Abdul Shukur Harun yang memberikan respons dalam kolumnnya, “Cetusanidea” dalam Harakah antara lain menyebut “Malah dalam sejarah klasik Yunani, ahli falsahah Greek, Aristotle sanggup meminum racun seperti yang diperintahkan raja untuk mempertahankan apa yang dinggapnya benar.
Walaupun ‘kebenaran’ yang diperjuangkan oleh Aristotle itu tentunya tidak dalam konteks Islam, tetapi ahli falsafah itu mempunyai prinsip yang sangat tegas dalam mempertahankan apa yang difikirkannya benar. Ini menunjukkan bahawa kebenaran itu – dari pandangan semua pihak - adalah nilai yang sangat tinggi bagi manusia.” (Rasanya ahli falsafah Greek yang terlibat ialah Socrates bukannya Aristotle – penulis).
Empat:
Sementara Sutung Umar RS dalam Sinar Harian 26 Mei, 2010 menutup respons yang bertajuk “Seniman bercakap tentang kebenaran” dengan berkata “ Rahman dan Dinsman tentulah pada fikiran saya memahami betapa pun kecil dan daifnya seniman itu, sepanjang sejarah mereka telah memberikan banyak sekali ucapan bermanfaat untuk kemanusiaan.”
Lima:
The 1st Century BC Epicurean philosopher Lucretius intreprets the myth of Sisyphus as personifying politicians aspiring for political office who are constantly defeated, with the quest for power, in itself an “empty thing,” being likened to rolling boulder up the hill. (De Renum Natura III)
Enam:
RPK: No honest politicians
Quite cynically, Raja Petra underscored, “There is no such thing as an honest politician. All politicians can be corrupted, it may not be money, but it can be cronyism, nepotism. The only way to keep them honest is to remove the arrogance by removing the power.”
His underlying argument was that different people could be broken or corrupted in different ways.
In response to Raja Petra's assertion, Marie Tan from Penang, who currently works at a charity organisation, begged to differ, “I think that there are well-meaning politicians out there.”
In a surreal interjection during question-and-answer time, a member of the audience and a law student, who claimed to be a good 15 years older than Raja Petra, stood up and saluted him with a long dramatic speech.
(Laporan laman web tentang tantangan RPK terhadap pemerintah Malaysia, di London beberapa hari yang lalu)
3 comments:
aduh...berat2...kenapalah sampai mcm gini Pak Kasim.
menyeleweng pecah amanah rasuah itu salah - mestilah benar!
membunuh menyiksa itu salah - mestilah benar!
memenjara tanpa bicara itu salah- mestilah benar!
mahkamah tidak adil itu salah -
mestilah benar!
kenapa susah sangat...
Sdr Rahmat,
Ini sudah lebih teruk.
Apakah kita sudah betul-betul TIDAK ADA harapan lagi?
Apakah kita juga mesti anuti kefahaman, "Kalau tak menang bertarung, lebih afdhal kita bergabung dengan mereka saja?" Begitu?
Atau apakah kita perlu segera kembali kepada yang paling asas, bahawa hitam adalah hitam, sementara putih itu jelas putihnya.
Kelabu? Nanti dulu. Mari kita bersekolah tentang hitam-putih dulu.
Begitu?
Post a Comment