Tuesday, June 1, 2010

Rosly Dhoby



“Ya, pernah dengan Usman Awang dalam projek Rosly Dhoby” demikian Dinsman.

Soalan saya ialah: Dinsman pernah ke Sarawak? Tatkala itu Sibu, Sarawak bagaikan digodok (rebus) sepanas-panasnya oleh bahang kempen PRK. Dan kami pula dalam perjalanan ke Kota Bharu, singgah sebentar (?) di sebuah kedai buku di Gua Musang.

Mungkin, sudah menjadi rezeki, saya temui buku ‘Rosly Dhoby Rukun Berdarah’ karya fiksyen sejarah oleh Abg Saifuddin Abg Bohari, PTS One Sdn Bhd, Cetakan pertama 2005. Sungguh, itu rezeki saya.


Cuba amati petikan di bawah ini:


“ Dalam pada itu dia sempat menyoal saksi sehingga menimbulkan keresahan pihak Inggeris. Katanya dia tidak membunuh gabenor kerana tidak ada cap jarinya pada badik ‘tumbuh lada’ itu sebaliknya hanya ada cap jari polis Benggali yang menahannya.

Mahkamah menjadi riuh.

Kemudian, dia menyoal pula Dr. Wallace yang membedah Duncan Steward. Semasa dibawa ke hospital gabenor masih hidup. Hanya selepas pembedahan gabenor mati. Jadi bukan mati ditikam tetapi dibedah! Mati di tangan Dr. Wallace.

Sekali lagi mahkamah menjadi riuh. Hujahnya masuk akal.

Namun dia kesal, Inggeris memperdaya ibunya. Mendesak dirinya mengakui kesalahan itu. Sebagai balasan, hukuman ringan diberikan. Itu janji Inggeris kepada ibunya.

Melihat air mata ibunya, rasa belas mengatasi segala-galanya, lalu dia beralah. Mengakui perbuatan itu.

Akhirnya, masih terngiang-ngiang, suara Hakim Lascelles menjatuhkan hukuman. Wajah hakim itu tegang, penuh kebencian.

“Kamu boleh berharap memperoleh nama dan kamu membuat begitu. Nama-nama kamu tercacat sebagai pengkhianat negara. Orang-orang Melayu Sarawak memperoleh satu catatan perkhidmatan dan taat setia yang baik dan saya tetap percaya semua orang Melayu yang baik-baik menyifatkan perbuatan kamu sebagai titik hitam di atas catatan itu. Nama-nama kamu disifatkan oleh keturunan-keturunan pada masa akan datang sebagai penderhaka kepada kerajaan Inggeris dan dengan itu kamu disabitkan kesalahan membunuh dengan niat ke atas Gabenor Sarawak Duncan Steward. Dengan ini kamu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.”

‘Rosly Dhoby Rukun Berdarah’ karya fiksyen sejarah Abg Saifuddin Abg Bohari, PTS One Sdn Bhd, Cetakan pertama 2005 (hal 158-159)’


Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah sejarah ini?


i) Modus operandi penguasa (baca: penjajah) sentiasa saja sama. Yang membedakan hanyalah tempat, masa dan siapakah para pelakunya. Tipu muslihat dengan mencari kelemahan para penentangnya adalah kaedah yang paling kerap digunakan. Orang yang lemah bakal gugur apabila diuji dengan ― wang ringgit, pangkat, gelar dan kemewahan hidup atau janji, ugutan terhadap orang yang terdekat.

Apa yang berlaku di Palestine cukup menarik untuk direnungi. Para pemimpin Palestine yang siang harinya berpura-pura bersama-sama rakyat marhaen yang telah dirogol nusa bangsanya, akan bertemu tuan-tuan mereka, Yahudi penceroboh untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

Demikianlah sosok para pengkhianat bangsa. Bacalah Pramoedya atau Putu Wijaya dan amatilah bagaimana ‘sang-sang’ pengkhianat ini kemudiannya disanjungi sebagai wira. Alangkah tragisnya kehidupan ini. Orang yang paling cekap memposisikan dirinya tatkala bergambar, selalu saja terpampang mukannya di akhbar. Sementara para pejuang tulen tertinggal dan diilupakan. Mungkin itulah sebabnya Shakespeare menyifatkan bahawa kehidupan ini adalah panggung yang maha luas.

ii) Bagaimanakah pula caranya kita berlawan dengan musuh yang tidur dalam selimut kita? Atau soalan yang paling afdhal ialah: Apakah bencana ini tidak berlaku kepada kita sekarang ini?

iii) Apakah benar orang-orang Melayu masih belum benar-benar kenal siapakah musuh dan siapa pula sahabat mereka?

Akhir sekali:

Mengikut biodata yang terdapat dalam karya fiksyen ini, Abg Saifuddin Abg Bohari, anak kelahiran Lingga, Bahagian Seri Aman adalah lulusan sarjana sastera, Universiti Malaya dan bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves Selangor.

Masih di sinikah Cikgu Abg Saifuddin? Tak inginkah cikgu sertai Budayawan Bertindak?



1 comment:

saifulbukhari said...

salam perjuangan barajiwa. terima kasih kerana menatap karya kecil dari kelompok orang-orang kecil dari daerah terpencil. Rosli Dhoby seorang pejuang Melayu tulen yang boleh dijadikan ilham oleh para pejuang yang mengangkat kalamnya yang lebih dahsyat dari gugurnya seorang penjajah.Begitu yang dimahukan juga oleh Rosli Dhoby. salam abg saifuddin abg bohari(IPG KAMPUS BATU LINTANG, KUCHING SARAWAK( jaylingga6402@yahoo.com) terdetik juga jiwa ini menyertai seruan tuan.