1.0 Takrif:
‘Kebenaran’ itu sesuatu yang ‘haq’ dan agama dijadikan panduannya. Ini bermakna di sana ada unsur ‘religiusnya’ yang sangat nyaring. Namun ada orang yang mahu melihat kebenaran dari sudut falsafah. Atau bagi yang atheis, dia juga memiliki sistem rujukannya sendiri dalam melihat dan menilai ‘kebenaran.’ Itulah sebabnya ada orang yang berpendapat bahawa perkahwinan dalam kalangan gay tidak menjadi masalah kerana ia benar dari sudut hak asasi manusia yang dicanang Barat.
‘Kuasa’ adalah zat memabukkan yang ‘sentiasa’ bersama dengan sang peguasa. Di negara kita sekarang ini pemegang kuasa yang kerap kali kemabukan ialah Umno/BN.
‘Penulis’ itu siapa saja yang ‘menulis.’ Saya memilih tidak menyebut ‘sasterawan’ kerana di luar sana ramai ‘penulis’ yang berpendapat bahawa mereka belum lagi mencapai taraf sasterawan. Namun begitu ini tidak pula bermakna bahawa seorang penulis itu tidak memiliki idea-pemikiran yang baik dan bernas. Al-marhum Ahmad Boestaman berpendapat dia hanya seorang penulis walaupun rata-rata ramai yang tidak bersetuju dengan pernyataan itu.
2.0 Kenapakah isu kebenaran dan berkata benar itu penting kepada penulis?
Sebenarnya ajakan ‘marilah kita berkata benar’ itu satu ajakan yang sangat asas ― sangat basic. Kalau dalam kejuruteraan istilahnya ialah ‘kembali ke meja lukisan’ (back to the drawing board). Sepertimana yang kita sedia maklum segala konsep, idea dan bayangan tentang sesebuah struktur yang mahu dibangunkan itu, mestilah dituang ke dalam lukisan kejuruteraan. Pemborong akan menentukan harga dan kemudiannya membina berdasarkan lukisan yang telah disediakan.
Penulis menjadi penting kerana dianugerahi kebolehan istimewa untuk memindahkan idea, buah fikiran, emosi dan tanggapannya ke dalam bentuk yang boleh dibaca berulang-ulang oleh orang lain. Dalam Budayawan Bertindak, ada seorang teman yang saya panggil Nordin Kaab yang bagi saya sangat bijak berhujah dan kerap juga sengaja ‘menyakitkan hati’ semasa berhujah. Itu dilakukan dengan sengaja untuk mempertajamkan buah fikiran di samping mendapatkan buah-buah fikiran baru. Sayangnya Kaab tidak mahu menulis!
Ini bermakna sesiapa saja yang berkemampuan untuk menuangkan idea-ideanya yang bernas lagi diredhai itu ke dalam bentuk yang dapat dinikmati orang lain ― bagi saya, adalah penulis. Dan sebagai penulis dia juga memiliki tanggungjawab di atas apa yang ditulisnya sehinggalah dia kembali menghadap Maha Penciptanya.
Ini bererti menulis itu bukan lagi sekadar untuk bersuka-suka ― apatah lagi untuk menfitnah.
3.0 Penulis mestilah memihak kepada kebenaran
Dengan pengaruh yang sedemikian besar, apa lagi pilihan yang ada kepada semua penulis?
Apakah mahu disia-siakan saja kebolehan itu? Bagaimana menjawabnya di depan Maha Penciptanya kelak?
Ertinya penulis yang yakin dan percaya bahawa dia akan kembali untuk menjawab segala soalan yang bersangkut paut dengan tulisannya di dunia ini semestinya menulis hal-hal yang benar: Dia mestilah bercakap benar!
Kalaulah (maaf, Dinsman...) semua penulis berkata benar, kita pasti akan mendapat pemerintah yang jauh lebih baik― pemerintah yang percaya bahawa dia juga pasti akan disoal tentang pemerintahannya.
Kenapa, di mana, bagaimana sikap para penulis kita dalam hal-hal yang amat besar ? Contohnya terlalu banyak ....
Misalnya, apakah para penulis kita buat dengan hal-hal seperti inI:
Apakah orang yang bercakap benar tidak mahu ceritakan perkara yang benar kepada anak-anak buah yang melantiknya menjadi ketua? Bagaimana sampai terjadi sang pemimpin, misalnya begitu mudah memberikan dua buah telaga minyak milik cucu cicit kepada orang lain?
Bagaimana kita menggadaikan stesen Keretapi kepada pajak gadai?
Bagaimana pemimpin yang bakal mati boleh membenarkan judi yang merosakkan kesejahteraan rakyat itu menjadi asas yang paling penting untuk memperolehi dana. Dana untuk apa dan siapa?
4.0 Logik bahawa kebenaran sentiasa berpihak kepada pemerintah adalah pemikiran yang tragis sekali
Dalam posting untuk menjawab Rahman Shaari, rumus ini dipaparkan:
K = F (P)
Ayat matematik ini dibaca begini, “ Kebenaran itu satu fungsi yang bergantung kepada pemerintah”
“F” ialah notasi yang menunjukkan bahawa nilai ‘K’ iaitu ‘kebenaran’ itu berubah-ubah berdasarkan selera ‘P’ pemerintah. Jika nilai ‘P’ berubah, maka ‘K’ juga akan berubah!
Di manakah kewarasan logik seperti ini? Di mana?
5.0 Penutup: Bila lagi para penulis kita mahu kembalikan martabat mereka?
Segalanya, satu persatu telah punah...mafti, mais, jais sebagai contoh diam dan sunyi sepi dalam isu judi bola.
Apakah penulis juga mahu menjadi seperti semua institusi itu?
Ingatlah kepada cucu cicit ― zuriat keturunan kita anak manusia. Mereka akan membaca sikap kita hari ini.
Marilah kita berkata benar!
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment