Sunday, June 6, 2010

Goh agen halal

‘Kita bankrap 9 bulan lagi’

Demikian kata ayah kami, satu malam di meja makan, sebelum kami semua selesai makan. Along tersedak. Betul-betul tersedak, mungkin tersedak-sedak kerana terlalu terkejut dengan pengisytiharan ayah malam itu. Jika dibandingkan kami anak beranak, Alonglah yang paling banyak mendapat bantuan ayah dan ibu. Mungkin Along tersedak kerana itu. Mungkin. Dan ayah juga nampak murung, ya luarannya memang nampak murung sekali. Entahlah dalamnya ayah mungkin tidak semurung itu.

Ada ceritanya kenapa aku was-was dan tertanya-tanya dengan kemurungan ayah ini. Aku masih ingat dengan telatah ayah semasa mesyuarat pemilihan Bahagian. Dalam mesyuarat pemilihan Bahagian Umco itu, semua orang menangis apabila ayah bercakap tentang nasib Melayu yang tidak lagi terbela. Tentang Melayu yang amat dikasihinya tertinggal dan terpinggir. Tentang banyak lagi yang perlu Umco buat untuk Melayu. Majlis betul-betul sayu jadinya. Khabarnya berkotak-kotak kertas tisu diedarkan. Ayah juga tidak dapat menghabiskan ucapannya kerana terlalu, ya keterlaluan sedu sedannya. Habis seluruh lengan baju Melayu sedondonnya dibasahi hingus berlendir. Ada yang berjela-jela memasuki mulutnya. Gambar itu, ya gambar hingus meleleh itu terpampang di ruang tamu rumah kami. Luar biasa!


Kata ayah dia sudah penat menyara anak-anaknya. Sejak muda lagi ayah bergolok bergadai untuk membesarkan anak-anak. Sekarang anak-anak pada besar panjang dan pada dewasa semua.


Segala bantuan yang ayah berikan selama ini mestilah dikurangi supaya anak-anak dapat berdikari sepenuhnya. ‘Anak-anak ayah mesti gagah’ dan untuk menggagahkan anak-anaknya segala bentuk bantuan yang dinikmati selama ini perlu ditarik sikit demi sedikit. Begitulah hujah ayah.


Sebenarnya aku kurang yakin bahawa semua itu benar belaka. Bayangkan kutipan rumah sewa yang ditinggalkan datukku pun tak mungkin habis walaupun dimakan oleh anak dan cucunya. Pada kiraanku seumur hidup kutipan sewa rumah saja sudah mencukupi untuk menyara kami semua. Begitulah banyaknya harta yang nenek tinggalkan. Itu baru rumah sewa. Belum lagi dikira permit itu, permit ini, kuari itu, kuari ini, balak di situ, balak di sini, stesen minyak itu, stesen minyak ini...


Aku melihat bahawa ayah mahu lebih jauh ke depan. Tak cukup jika dia kekal sebagai Ketua Bahagian. Untuk kekalkan Ketua Bahagian pun ayah perlu melabur dengan banyak sekali.

Kata ayah, “Mereka bukan memilih pemimpin yang terbaik. Mereka hanya undi siapa saja yang berikan wang yang paling banyak.”


Maka setiap calon ada tukang bekal dananya. Dan untuk ayah, Gohlah yang membantunya. Goh yang saban waktu, diam-diam menjual nombor ekor di kampung kami. Aku dengar ceritanya dari Muniandy penghuni rumah haram di hujung kampung kami dan menyara keluarganya dengan membawa lori hantu milik Goh. Kata Muniandy, Lebai Haji Masun pun beli juga.


“Kau jangan buat fitnah!!” aku betul-betul marah.


“Ya, betul bang, sumpah! Saya yang tolong belikan. Hari itu ada lori langgar, Haji Masun cepat-cepat ambil nombornya.”


Sekarang Goh ingin sekali ‘naik taraf’ dengan menjadi agen halal. Mahu jadi agen loteri bola.


‘Dia minta ayah kamu rekomen kuat-kuat...’demikian Muniandy.


‘Sebelum itu, kita semua mesti beritau semua orang bahawa duit sudah tak cukup lagi untuk subsidi.’ Itu hujah adikku yang tak pernah senang dengan segala apa yang Umco buat. Dia pembangkang kental dalam rumah kami, rumah Haji Kassim, Ketua Bahagian Umco Laut Biru, yang kini sangat bercita-cita mahu jadi menteri ― biarpun via jalan belakang pun tak apa. Biarlah begitu. Ayah frust kenapa dia tidak dijadikan senator sedangkan dia juga cukup berbakti.


Dan ayahku mulai bercakap perihal subsidi untuk anak-anaknya.


Subsidi yang membebankan kehidupan ayah ― Ketua Bahagian dan penyokong kental sampai ke liang lahat, Satu Umco.






No comments: