Friday, July 9, 2010

Perjelaskan konsep dan bentuk hiburan cara Islam

Dinsman (Artikel 175, 9/7)
Perjelaskan konsep dan bentuk hiburan cara Islam

Membaca tulisan Azizi Hj Abdullah dalam “kolumtepi”nya (Harakah 5 Julai), “Budaya hiburan: Apa untungnya?”, saya terdorong untuk menyambutnya dan melanjutkan perbincangan itu. Memang maudhuk perbincangannya itu sudah lama juga bergayut dalam kepala saya. Jadi marilah kita berwacana mengenainya.

Seperti biasa – ada pandangan Azizi itu yang saya setuju dan ada yang saya tak setuju. Tak mengapa. Itu bukan soalnya. Azizi mempersoalkan kegemaran masyarakat kita terhadap konsert muzik, dan ketidakpedulian pemimpin masyarakat terhadap budaya konsert hiburan yang melampau.

Persoalan yang lama bergayut dalam kepala saya pula ialah: apakah sebenarnya alternatif kita dalam hiburan? Maksudnya, apakah sebenarnya konsep dan bentuk hiburan yang kita mahu? Kalau yang selalu dibuat dan dikerumuni oleh anak-anak muda itu kita tak suka, yang macamana yang kita suka?

Kata Azizi: “Mungkin itu dianggap sebagai satu kejayaan dalam menghimpun pengunjung muda dengan acara menghinggut-hinggut, mengedik meloncat di atas pentas. Tapi dari segi moral dan memoralkan anak Malaysia yang muda-muda barangkali boleh dipersoalkan.”

Memang boleh dipersoalkan. Saya setuju. Tapi jangan kita tersalah hadapkan soalan kita ini. Jangan kita hadapkan kepada anak-anak muda itu, atau kepada orang-orang seperti Datuk Farid Ridzuan, yang memang soal “moral dan memoralkan” itu tidak pernah hadir pun dalam kepala mereka.

Bagi golongan berkenaan itu hiburan adalah hiburan, muzik adalah muzik. Jangan bercakap soal moral apabila bercakap mengenai hiburan dan muzik. Jangan campur adukkan dua perkara yang (bagi mereka) tak ada kena mengena itu. (Seperti kata sahabat kita Rahman Shaari: Kita tidak bicara soal kebenaran dari segi religius).

Anak-anak muda yang mengedik, meloncat dan menghinggut-hinggut itu memang suka begitu apabila terdapat peluang untuk buat begitu. Mereka tak fikir pun soal moral. Mereka hanya tahu nak berseronok saja. (They ‘just wanna have fun’ kata penyanyi rock Tina Turner). Dan orang seperti Farid Ridzuan pula akan melihat peluang itu untuk mengaut keuntungan bisnes. Jadi, pertimbangan moral tidak pernah wujud di situ.

Yang mewujudkan pertimbangan moral ialah kita. Maka marilah kita memikirkannya, bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini.

Soalan pertama, dan soalan asasnya ialah – apakah yang kita buat (yang ada kena mengena dengan perkara tersebut)? Ini penting. Kita mesti ada buat sesuatu dalam hal tersebut. “Hey, kamu jangan buat itu?” kita kata kepada anak-anak muda itu. “Hey, apa kami nak buat?” jerit mereka balas. Maka apa jawapan kita?

Apa yang kita mahu anak-anak muda kita buat bagi mengisi “masa lapang” mereka, atau bagi memenuhi tuntutan naluri hiburan mereka? Di sinilah saya suka menimbulkan soalan mengenai konsep dan bentuk hiburan itu. Apakah sebenarnya maksud ‘hiburan’ yang diperlukan oleh naluri manusia? Apakah hiburan itu bermakna muzik?

Dalam konteks ini juga saya dan kawan-kawan telah berkali-kali menimbulkan soalan: Sekiranya PAS berjaya mengambilalih pemerintahan Malaysia, apakah yang akan kita isikan televisyen kita? Hendak kita tutup sahajakah kebanyakan salurannya, dan hanya tinggalkan satu saluran sahaja, iaiatu saluran Oasis?

Tentulah itu bukan jawapannya. Namun jawapannya memang tidak pernah disediakan. Ertinya para pimpinan kita pun tidak pernah mahu pedulikan soal memberi jawapan kepada satu soalan yang sangat diperlukan, khasnya untuk golongan anak-anak muda kita itu. (Ini tentulah sama sekali bukan salah Farid Ridzuan atau anak-anak muda yang suka mengedik meloncat dan menghinggut-hinggut itu).

Dalam hal ini secara diam-diam memang ada sedikit sebanyak benda yang boleh kita perhatikan dan pelajari dari pentadbiran di Negeri Kelantan. Di sana hiburan dalam bentuk konsert muzik yang ‘lagho’ (melalaikan) dan melampau itu memang tidak dibenarkan. Maka apakah alternatifnya? Ke manakah anak-anak mudanya mendapatkan hiburan yang dituntut oleh naluri semula jadi mereka?

Saya pun tak yakin saya ada jawapan memuaskan untuk soalan terakhir itu, walaupun sudah lama juga perkara ini menjadi pemerhatian saya. Namun saya perhatikan golongan orang dewasanya, mereka telah berjaya mendapatkan satu alternatif ‘hiburan’ yang mereka perlukan.


Tidak ada segala macam saluran hiburan seperti kelab malam, live band di hotel-hotel dan pub, karaoke, pusat snooker, lorong ‘lampu merah’ dan sebagainya, tidak pun menjejaskan “kehidupan malam” serta perniagaan hotel di bandar Kota Bharu. Didikan dan asuhan agama oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz nampaknya telah berjaya memberikan alternatif itu – dalam bentuk tazkirah, kuliah, ceramah, usrah dan sebagainya.

Maka saya berpendapat bahawa ‘hiburan’ itu tidak semestinya seperti yang didefinasi dan dipromosi oleh media-media massa kita selama ini, yang di belakangnya adalah orang-orang sekular yang berfikir di bawah pengaruh media Barat.

Saya teringat sebuah filem yang menunjukkan orang-orang di zaman dulu berhibur. Mereka berkumpul di stadium untuk melihat bagaimana manusia bertarung dengan binatang buas (harimau) dan akan bergembira di saat menonton binatang buas itu membaham manusia. (Tak ingat nama filem itu). Betapa peliknya manusia berhibur. Mereka tidak dihidangkan dengan muzik pun. Ertinya ‘hiburan’ itu boleh apa saja yang dibentuk dan ditentukan terlebih dahulu oleh otak manusa dan persekitarannya.

Sekarang ini orang di seluruh dunia sanggup meninggalkan pelbagai aktiviti lain untuk menonton bola. Sanggup tidak tidur malam. Tentulah perlawanan bola itu satu hiburan yang hebat, ‘kan! Di waktu lain pula orang sanggup menunggu berjam-jam (berdiri beratur sejak sebelum subuh) semata-mata untuk membeli novel Harry Potter. Ertinya membaca novel juga tidak kalah hiburannya berbanding muzik.


Dan saya teringat Siti Fatimah, pelajar terbaik Malaysia peringkat SPM 2006. Apabila ditanya mengenai hiburan, jawapannya bderbeza sekali. Begini jawapannya:

“Saya pun kurang pasti bab-bab hiburan ni. Mungkin dengan menonton TV dan bermain badminton saya boleh mengurangkan tekanan. Tetapi sebenarnya bagi saya nikmat ketenangan tertinggi adalah dengan mendengar alunan ayat suci al-Quran, lebih-lebih lagi oleh imam-imam muktabar – Syeikh Ab Rahman Sudais, Syeikh Saad al-Ghamidi dan lain-lain. Hati dan fikiran saya akan tenang, dan itulah nikmat hiburan yang sebenar bagi saya.” (Rujuk buku Siti Fatimah (18A): Watak Remaja Zaman Ini, 2007, hlm 40).

Kita kena perjelas dan pertegaskan perkara ini. Apa definisi hiburan yang nak kita asuh dan tanamkan ke dalam minda anak-anak muda kita. Kita kena buat ini! Mungkin Lajnah Seni dan Budaya PAS perlu pelopori kempen ini.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

No comments: