Yang sesat dan yang bidaah
Yang menekan: (Akta mesin cetak) dan
Yang tercicir: (Pejuang yang dilupakan)
1. Latar yang mewarnai suasana mutakhir politik kita
Pilihan raya semakin hampir, kata mereka
Kita tidak tahu entah apa agendanya.
Ya betul, kita hanya boleh menebak dan meneka-neka. Ada yang berkata bahawa ini salah satu petunjuknya pilihan raya sudah begitu hampir, malah ada yang menyebut September ini. Maka semua ini diperlukan. Namun kata MCA, kerabat terdekat Umno, September ternyata terlalu dekat, maka MCA tidak bersedia.
Lalu bagaimana dan apa pula bentuk nasihat yang diberikan oleh Tuan Penasihat? (Tuan Penasihat dalam Tiga Abdulnya P. Ramlee mendapat 10%). Ya, kita tidak tahu berapa persenkah yang para penasihat ini perolehi dengan nasihat profesional mereka demi untuk menjinakkan kesan dan limpahan peristiwa-peristiwa seperti ini.
Apakah peristiwa-peristiwanya itu?
Menarik juga jika kita teliti rentetan peristiwanya. Peristiwa-peristiwa berikut:
Akhbar pembangkang, khususnya ‘Suara Keadilan’ menyiarkan berita bahawa Felda bakal muflis ― angkara parti pemerintah, demikian dakwa SK.
Maka marah-marahlah pihak yang memerintah kerana akhbar pembangkang ‘bedaah-ah’ bila menyatakan Felda akan muflis. Lalu ‘Suara Keadilan’, akhbar sang penyebar berita ‘songsang’ diambillah tindakan: DiGantung saja!
Itu belum mencukupi. ‘Harakah’ juga perlu menerima nasib yang sama. Khabarnya para pengendali akhbar milik Pas ini perlu menunggu surat tunjuk sebab. Surat ini perlu diperolehi, sebelum mereka ketahui apakah sebabnya mereka juga diambil akan tindakan.
Reaksi Sasterawan Negara, Pak Samad
Datuk A. Samad Said, Pak Samad dalam berita muka belakang ‘Harakah’ bilangan 1555 menggesakan supaya “Mansuhkan Akta Penerbitan”. Jika perlu ― rakyat perlu bangkit seperti bangkitnya rakyat dalam isu bahasa (PPSMI) dan Judi. Rakyat memerlukan GMP dan GMJ untuk mendapatkan hak dan kebebasan bersuara mereka. Itu janji dan ikrar termaktub dalam
perlembagaan.
‘Pas sesat’ kata pahlawan pemerintah
Sementara itu, salah seorang pahlawan pemerintah, dengan lantangnya menuduh ‘Pas sesat’. Sekarang ini tembak menembak hujah, cabar mencabar untuk menentukan ‘siapakah yang sebenarnya sesat’ sedang dilepaskan dalam akhbar.
Jika akhbar pembangkang sudah tidak ada lagi, apakah yang hendak dihujahkan misalnya oleh Dato Mahfuz Omar? Apakah seruan supaya rakyat, khususnya para penyokong Pas supaya beramai-ramai membaca Yasin dapat disebarkan?
Ya, apakah orang yang dikontotkan lidahnya bakal beralih menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan maksudnya ― setidak-tidaknya untuk berhujah kenapa ia tidak sesat?
Mungkin.
2. Siapakah yang benar kata-katanya?
Tuduhan bahawa seseorang atau sesuatu institusi itu ‘sesat’ boleh dileraikan dengan duduk berhujah. Untuk hujah-hujah kedua-dua belah pihak sampai ke dalam lubuk hati khalayak, media diperlukan. Dalam suasana kontot yang ada sekarang, apakah mungkin semua ini berlaku?
Suasana kontot?
(Untuk melihat betapa kontotnya sistem kita, cuba teliti “Isu dalam Kartun” Vol 3 oleh Zunar dan para konconya. Sila teliti karya bertajuk “Penipuan Pilihanraya’ karya Ronasina di halaman 44. Di sana disenaraikan kekontotan SPR sebagai pengendali pilihan raya kita. Maaf, melencong sedikit).
Dalam konteks ini, maka teringatlah kita kepada sahabatnya Dinsman yang bangun berhujah dengan pelbagai teorinya tentang ‘kebenaran’ dan perihal ‘berkata benar’. Dalam konteks ini, agaknya apakah hujah saudara kita tentang ‘kebenaran’ dan ‘berkata benar itu’ itu? Adakah ini juga salah satu lagi daripada kes anjakan makna? Semacam versi barunya.
Oh, ya ada satu lagi kaedah untuk meleraikan isu ‘sesat’ dll ini. Ini kaedah yang paling popular. Gunalah taring kuasa yang ada. Semua pasti beres dengan kuasa yang ada. Agaknya.
3.0 Seorang insan bernama Abdullah Hashim
‘Siasah’ bilangan 0207 bertarikh 4 – 10 Julai 2010 halaman 28, iaitu di ruangan ‘dalam negeri’ dipaparkan tulisan bertajuk “ Abdulah pejuang yang dilupakan’ oleh Khairil Abdul Rahim.
Siapakah Abdullah Hashim, 77, yang oleh penulisnya dikatakan ‘pejuang yang dilupakan’ itu?
Tulis Khairil, memetik kata-kata Abdullah:
“Masa darurat diisytiharkan (1948) saya ketika itu berusia 18 tahun. Rakan-rakan seusia saya ada yang mengambil keputusan untuk ke Singapura atau ke Kuala Lumpur untuk menjadi anak wayang atau mencari pekerjaan, saya memilih untuk masuk hutan,” kata bekas anggota Rejimen ke – 10 Tentera Pembebasan Malaya, PKM itu ketika ditemui di terataknya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh baru-baru ini.”
“Apabila Rejimen Ke – 10 pimpinan Abdullah CD memilih untuk “berundur” ke sempadan Siam, anak kedua dari empat beradik ini turut menyertai perjalanan panjang itu menempuh belantara. Turut serta dalam gerombolan ialah Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Ahmad dan beberapa tokoh lain.”
“Apabila termetrai perjanjian perdamaian tiga pihak antara Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thailand di Haadyai pada 2 Disember 1989, bapa kepada seorang anak ini memilih untuk kembali ke Temerloh, tanah tumpah darahnya.”
Dalam para yang terakhir, Khairil merayu:
“Kepada sesiapa atau mana-mana para dermawan yang ingin memberikan sedikit sumbangan kepada Abdullah, amat dialu-alukan dan boleh berhubung dengan Tajudin Ramli, di nombor hp: 019-9887111”.
Oh ya, mengikut makalah ini, Abdullah kini terlantar kerana keuzuran dan masalah jantung.
4.0 Yang mana satu ‘benar’?
Semua rencah peristiwa di atas ada sisi-sisinya yang menarik:
Benarkah semua itu?
Kalau tak benar, kenapa dan mengapa? Dan dari sudut pandangan siapa?
Atau teori manakah yang membuktikna bahawa ‘yang itu benar’ dan ‘yang ini’ tidak benar?
Atau semua ini hanyalah subjek optional untuk pelajar tahun satu, sesetengah fakulti sains kemanusiaan? Dan ini semua ini sekadar nasi tambah pada skrip jawapan dalam tugasan untuk mendapatkan segulung kertas?
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment