Wednesday, September 22, 2010

Barajiwa tak mampu menjawab

Jusoh Kepala Bukit bertanya tentang bujet.


Saya Jusoh.  Orang panggil saya Jusoh Kepala Bukit.  Sdr Azizi Abdullah tahu di mana letaknya tempat ini.  Satu ketika, ada orang yang namanya Barajiwa (rupanya ada juga orang yang namanya pelik-pelik begini.  Saya cuma tahu ‘lipan bara’ saja) datang bertemu saya,  lalu bertanyakan tentang bujet.

Apakah yang namanya bujet itu?

Lalu orang ini pun bersyarah sakan kepada saya ― begini:

Setiap tahun pada satu hari Jumaat,  sama ada dalam bulan September atau pun Oktober, Menteri Kewangan kita akan membentangkan bujet@belanjawan tahunan kerajaan.  Kita rakyat jelata biasanya nanti-nantikan habuan (goodies),  misalnya adakah cukai pendapatan tahun depan dikurangi atau adakah subsidi akan diteruskan?  Kita juga ingin tahu,  adakah perubahan bayaran cukai jalan motosikal kapcai, misalnya?

Yang perlu kita sentiasa ingat ialah bahawa semua ‘habuan’ ini diperolehi daripada cukai yang telah dipungut oleh Kerajaan.  Ya, dalam kehidupan ini bermacam-macam cukai yang perlu kita bayar  mulai dari secawan kopi di Mc Donald sehinggalah kepada kereta Myv baru yang tuan baru beli― di mana saja, ada saja cukainya iaitu sumber kewangan kerajaan.   

Apakah perkara-perkara penting yang perlu kita ingat?

Mungkin inilah aspek-aspek pentingnya:

i) Belanjawan itu teater untuk Kerajaan dan media pengampunya

Hari belanjawan kita tak ubah seperti hari Menteri Kewangan dan media berlakon dan berteater.  Ikutilah teks ucapannya dalam Dewan Rakyat dan komen oleh media esoknya.  “Bujet yang mesra rakyat”,  “Bujet untuk kembangkan ekonomi negara”, “Bujet 1Malaysia demi sejahteraan rakyat  yang melarat” bla...bla...


ii)  Sejak tahun 1998, perbelanjaan kita melebihi pendapatan.  Ini bermakna untuk berbelanja negara kita terus menerus meminjam.    


iii) Bujet kerajaan tak ada bezanya dengan wang ringgit yang kita miliki.  Jika kita berbelanja RM 8.90 untuk sebungkus rokok, kita telah kehilangan RM 8.90 untuk membeli susu anak kita.


iv) Berbelanja dengan menggunakan kad kredit untuk membeli telefon bimbit terbaru, kasut sukan jenama paling ‘top’ yang harganya mencecah ratusan ringgit adalah contoh perangai anak-anak muda (dan juga tak ketinggalan juga orang-orang tua) yang tak sedar diri.  

Adakah perangai kerajaan kita juga seperti anak-anak muda (dan juga orang-orang tua) yang tak sedar diri ― meminjam untuk membuat sesuatu yang TIDAK memberikan manfaat kepada rakyat jelata?

Anak Sami, Ah Chong dan Dollah yang pandai jika diberikan peluang untuk mendapat pendidikan dan latihan yang bagus akan mendapat pekerjaan yang bagus pula.  Pendidikan ialah cara yang paling cepat dan berkesan untuk perbaiki masa depan rakyat jelata.

Setiap kali kerajaan memutuskan untuk membeli belah peralatan perang misalnya, berapa orang Sami, Ah Chong dan Dollahkah yang hilang peluang untuk menyekolahkan anak-anak mereka dengan sempurna? 

Atau berapa lamakah seorang pesakit buah pinggang perlu bayar setiap kali mencuci buah pinggangnya?

Saya Jusoh Kepala Bukit juga ingin tahu, lalu bertanyakan Barajiwa soalan-soalan berikut:


iv) Adakah wang hasil petroleum kita memberikan kesejahteraan kepada kita, rakyat jelata?

vi)  Kenapa harga kereta di negara kita sangatlah mahal?  Apakah itu AP dan siapakah para penerima anugerahnya?

vii)  Berapa besarkah bujet Jabatan Perdana Menteri jika dibandingkan dengan kementerian-kementerian yang lain?

viii)  Kenapakah Jabatan Perdana Menteri perlu mengurus perolehan pengangkutan di Pulau Pinang?

ix)  Berapa besarkah hutang bertokok (kumulatif) negara kita?

x)  Jika kerajaan-kerajaan negeri diberikan kebebasan yang lebih untuk mengurus pembangunannya (kaedah decentralisation misalnya), apakah itu tidak baik untuk kita, rakyat jelata?

xi)  Bagaimanakah GLC telah membantu rakyat jelata?

xii)  Berapa besarkah pendapatan dari segi tukaran asing yang telah dijana, sejak negara ini menubuhkan universiti swasta?  Siapakah para pemilik/pemegang saham IPTS-IPTS ini?

xiii)  Apakah tidak mungkin pihak PBT menjadi lebih efisien, telus dan bertanggungjawab jika pilihan raya ‘local council’ dihidupkan semula?

xiv)  Bagaimanakah pelbagai dasar dan undang-undang kita dalam bidang pengangkutan membantu menurunkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya?

xv)  Bagaimanakah pesuruh jaya sumpah itu dilantik?  Berapa besarkah pendapatan yang dijana oleh Kerajaan dalam sektor ini?

xvi)  Kenapakah sistem lalu lintas dalam bandar kita seperti tidak dirancang dan diurus sehingga menyebabkan kesesakan yang berpanjangan?  Siapakah yang mengurus aspek lalu lintas dalam bandar ini?

xvii)  Kenapakah sesetengah bandar itu agak bersih, sementara yang lainnya sangat kotor?


Barajiwa hanya diam.  Ternyata Barajiwa hanya tinggal baranya.  Lama-lama jadi abu...Dia tidak dapat menjawab.  Dia hanya buat senarai soalan saja.

Saya Jusoh,  Kepala Bukit juga tidak tahu apa itu manfaatnya syarahan Menteri Kewangan pada hari Jumaat itu. 

Apakah Sdr. Azizi di CAP, lebih ketahui hal-hal bujet ini?




1 comment:

Anonymous said...

Barajiwa,
Yang dok bubuh gambarc aku ni kenapa?
Jusuh kepala bukit memang aku tau, tapi tak kenal.
Aku sedang menulis cerpen SEBATANG TUBUH TANPA AURA.cerita Melayu surinam nak jadi melayu malaysia kerana dia dapat tahu melayu malaysia hebat.tapi akhirnya melayu surinam gantung diri sebab sesal kerana melayu malaysia banyak jadi penyanyak, penipu, perasuah dan perampas, pembunuh.
haaa...haaaa
azizi abdullah