Bila-bila saja dan percaya pada yang ghaib
Bila tiba saatnya, ― ertinya bila saja tempoh yang diperuntukkan itu tamat, kita tidak lagi berada di alam ini. Kita berpindah ke zon yang lain. Bagi yang mempercayainya, perjalanan yang menanti bukan saja abadi malah sukar. Yang menentukan ialah apa yang kita telah lakukan di alam ini tatkala di sini.
Mengikut perspektif Islam, masa depan itu diceritakan sebagai masa lalu (past tense) ― sebagai sesuatu yang sudah pun kita ketahui akibatnya. Ertinya kita telahpun dimaklumkan tentang keberuntungan nasib kita berdasarkan taraf iman, ketaqwaan dan amalan kita. Semua ini tidak kelihatan oleh mata kasar kerana ini adalah alam ghaib.
2.0 Pengaruh kepercayaan kepada yang ghaib
Tebal nipisnya pengaruh kepercayaan kepada yang ghaib ini sangat mempengaruhi tingkah laku seseorang insan itu. Mereka yang sangat besar dan kental kepercayaannya bahawa hidup ini satu pertanggungjawaban yang bakal dipersoalkan kelak, maka baginya dunia ini ternyata tersangat kecil maknanya.
Oleh sebab besarnya pengaruh kepercayaan yang ghaib ini, seseorang insan itu hidup dan bertingkah tanpa perlu dikawal oleh sesiapa ― kecuali Maha Penciptanya.
Kenapa berkhutbah begini?
Sejak terlibat dengan Dinsman dan para pentadbir di PMBK, singkatan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, untuk menerbitkan majalah korporatnya, Qiadah kami berdua kerap bertemu dengan pelbagai amalan akibat kepercayaan kepada alam ghaib ini. Untuk Dinsman yang lama terlibat di tanah serendah sekebun bunga atau Serambi Mekah ini, pengalaman ini bukanlah baru. Kita pernah membaca pengalaman Dinsman dan teman-teman lain dalam dokumentari “Wanita Kelantan” dan “Sehari Dalam kehidupan Tok Guru Nik Aziz.”
Bagi saya inilah kali pertamanya.
Walaupun pertama kali, banyak yang boleh dikutip, diperhatikan, direnungi dan tentunya untuk dicontohi. Inilah yang sangat sukar ― sebagai contoh untuk diamalkan. Ya, segala yang dilihat dan dialami boleh dijadikan dorongan/motivasi diri. Siapa saja yang memerhatikan, mengetahuinya dapat menjadikannya sebagai dorongan.
Kisah pertama:
Tentang elaun yang tidak diambilnya bukanlah sesuatu yang baru. Ini sudah diceritakan oleh ramai termasuk Dinsman. Dalam wawancara kami dengan salah seorang pemimpin Kelantan baru-baru ini, jumlah yang berbentuk elaun yang menjadi haknya yang sah sememangnya besar. Bayangkan jumlah satu bulan dikalikan dengan 20 tahun (20x12= 240). Jika sesuatu elaun itu RM 3,000 (tiga ribu) sebulan, bukankah ia sudah menjadi RM 720, 000 (tujuh ratus dua puluh ribu). Itu baru satu elaun. Berapa jenis dan banyak elaunkah yang menjadi hak seseorang Menteri Besar?
Satu ketika diketahui bahawa ada juga elaun yang tidak dipotong. Maknanya ia dimasukkan ke dalam gajinya.
“Kita bayar balik. Potong dari gaji ambo...”
“Ketika itu nak potong apa lagi,” ujar pemimpin ini, “Akaunnya selalu merah. Begitulah keadaannya.”
Kisah kedua:
Konsep ‘apa yang ada itu adalah untuk disedekahkan’ sangat kuat menguasai amalan dalam kehidupan. Terbaru kami temui seorang guru yang kerap memaklumkan bahawa rezekinya syukur sangat murah.
“Kita lepaskan saja. Mula-mula takut dan bimbang juga. Sekarang ini sudah tak ada masalah lagi.”
Kisah ketiga:
Seorang CEO salah sebuah anak syarikat juga menceritakan perihal ‘menjaga diri ini’. Kata anak muda ini mula-mula dulu, kadang-kadang terasa juga kalau ada yang memanggil nama saya tanpa mendahulinya dengan gelar (akademik, darjat dll).
“Kenapakah sampai saya terasa bila orang tidak mendahului nama dengan gelaran yang ada? Ini sudah tak betul. Sejak itu semua kita buang saja.” Ini termasuklah buku yang ditulisnya untuk kegunaan Jabatan.
Kenapakah semua ini wujud?
Rasanya inilah contoh keberkatan kepimpinan. Pemimpin yang percaya bahawa yang ghaib itu lebih bermakna.
Bolehkah kita tiru ― walaupun sedikit?
Wallahuakalam.
No comments:
Post a Comment