Saturday, September 11, 2010

Basah kuyup Hujan Pagi


Dalam blognya 'Hujan Pagi' di bawah coretan “Mengisi Usia Di Hari Raya”
yang diposnya pada 9 September 2010, Pak Samad antara lain menulis:

“TIBA-TIBA sudah 75 tahun hari rayaku”  dan...


...

“Sepanjang 75 tahun menghayati Ramadan dalam pelbagai bentuk meranumkan diri dengan segala keinsafan. Rezeki alhamdulillah sederhana, dengan sesekali disimbahi royalti yang tidak terfikir. Betapapun, terkadang—ada juga “kemalangan” yang tidak tersangka.

“Ya, apa lagi yang Pak Samad mahu?” tanya sang menteri. Terima kasihlah dengan bahasa yang sangat santun itu. Malah terima kasih juga kerana memberitahu dunia bahawa kementerian tertentu telah “memberi” saya RM485,000, dan memberitahu buana betapa saya turut menjadi semacam “gedebeh” mendobrak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rupa-rupanya begitulah tafsiran mudah kebanyakan kuasawan jika orang seni coba menuntut keadilan.

Tapi, dunia dan nasib biasanya mempunyai rahsia keajaibannya sendiri. Sama-samalah kita menyaksikan kerana kita tidak berhak meramalkan. Kita cuma mengisi usia dengan sebaik khidmat bagi diri dan bagi masyarakat dengan sentiasa beringat bahawa “kita datang ini kosong tangan kosong dada…bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.”


2.0  Reaksi: Satu tanggapan

Demikianlah curahan nurani yang terluka...  

Ada beberapa juzuk yang terlintas dalam benak ini tatkala mengikuti coretan di atas. Kalau mahu dibincang dengan panjang lebar, banyak sisi yang boleh kita sentuhi.  Namun bukan semua yang terlintas itu, lebih-lebih lagi pelbagai sisi gelojak rasanya, bermanfaat jika dibicarakan. Biarlah kita tumpukan kepada dua persoalan yang utama:

i) Sikap kita (baca: sebagai satu bangsa) terhadap soal-soal yang dapat dilihat oleh mata kasar dibandingkan dengan persoalan yang tidak kelihatan@abstrak seperti seni dan budaya.

ii) Kenapakah sikap seperti ini 'berleluasa' dan kelihatan biasa atau normal?


Jawapan kepada persoalan i)


Teman saya Hasni Abas ada satu jawapan yang ringkas: Kita (baca: bangsa kita) ini adalah dari kelompok yang rendah budayanya.  Satu pandangan yang agak kasar namun berterus terang sekali.  Apakah ini pandangan yang emosional dan oleh sebab itu ia tidak benar? 

Untuk menjelaskan secara mudah, mungkin kita boleh teliti satu dua contoh peristiwa semasa. 

Apabila seorang pegawai tinggi sebuah institusi awam, seorang IGP yang menjadi tunggak keamanan dan juga keadilan negara kita, melenting dan marah-marah sehari selepas bersara, apakah mesej yang dapat kita baca?

Ya, kita boleh berhujah bahawa mantan pegawai tinggi kerajaan tersebut berbuat demikian kerana tidak begitu berpuas hati dengan cara kontraknya diurus.  Atau mungkin cara kontraknya ditamatkan/umumkan.  

Seperti biasa,  rentetan peristiwa yang menyusul (untuk membedaki mana yang comot, herot petot dan hodoh @ usaha ‘damage control’nya) telahpun kita saksikan pementsannya. 

Bukankah itu wajahnya kita (baca: bangsa kita). 

Bagaimana akhbar milik pemerintah dan NGO tajaannya memainkan isu kaum dan agama demi untuk terus mengekalkan kuasa adalah satu lagi contoh sebenar wajah kita. 

Tidak?  Siapakah yang mahu kita kelabui? 

Kita jangan lupa pula lakonan susulannya apabila strategi itu didapati sangat memudharatkan pemerintah sendiri.

Bukankah itu semua menunjukkan ‘itulah kita?’ (baca: bangsa kita)

Itulah gambaran tentang ketinggian budaya kita (baca: bangsa kita, bangsa Malaysia, jika itu sudahpun wujud).

Oleh sebab itu, saya juga cenderung  bersetuju bahawa kita adalah satu bangsa yang rendah budayanya.

Apakah bangsa yang rendah budayanya dapat melihat hal-hal yang abstrak, seperti seni dan budaya?


Jawapan kepada persoalan ii)

  
Kenapakah ini terjadi?


Harun Yahya dalam bukunya, “Crude Understanding of Disbelief ”  (Goodwork Books, India, 2004, halaman 15) misalnya menyatakan bahawa tujuan semua masyarakat mengekalkan kelangsungan kehidupan yang dipenuhi “kejahilan” sentiasa sama dan satu ― keuntungan dunia.    

Malang sekali buat negara kita.  Malang kerana mereka yang tanggungjawab hakikinya untuk memelihara negara dan segala institusinya - juga turut tenggelam di dalam lubuk ‘kejahilan’ ini.

Hatta ‘mereka’ yang sewajarnya lebih arif akan bahaya dan bencana yang bakal menimpa sekiranya bangsa kita  mengutamakan dunia semata-mata ― tanpa segan silu turut terlibat. 

Pada hal ‘mereka’ inilah yang sepatutnya dan sentiasa kita harapkan untuk mengepalai segala usaha  mengeluarkan masyarakat kita daripada lubuk  ‘kejahilan’ itu.  

Mereka yang kita maksudkan ini termasuklah para ulamak, para pentadbir ugama dan tak tentunya tidak ketinggalan semua para sasterawan dan penulis.

Dalam konteks ini, kita masih dan sentiasa mengharapkan para sasterawan dan penulis kita berkata benar.  Mereka perlu berkata benar demi untuk mengeluarkan masyarakat kita dari ‘kejahilan’. 

Kenapa?

Sebabnya ialah: Hanya ‘si jahil’ yang sangat-sangat mencintai dunia ini.

Bukankah ‘kejahilan’ inilah yang  membuat segala institusi besar sastera dan budaya kita, termasuk segala persatuan penulis itu,  sunyi dan sepi di atas  perlakuan seorang menteri (baca: seorang ahli politik) terhadap seorang sasterawan besar bangsanya sendiri? 

Apakah kita, sebagai sasterawan dan penulis tidak terasa apa-apa? Tidak ada yang songsang yang telah berlaku?

Apakah ini bukan kerana dunia yang kita cintai itu sehinggakan kita takut untuk berkata benar?  

Maka, sekali lagi, kita bertanya : Apakah kita ini bangsa yang berbudaya?

Wallahuaklam.




No comments: