Apakah benar isunya bau badan?
1.0 Mencari sebab sebenar
Ini berita yang dipos oleh seorang ‘forumer’ laman Detikdaily beberapa hari lalu. Kalau kita perhatikan, sumber beritanya bukanlah yang mutakhir ― sudah hampir-hampir setahun lalu. Namun jangka masa yang agak ‘silam’ itu untuk sesebuah ‘berita semasa’ tidaklah mempengaruhi ‘kerelevanan dan kebenaran’ isu yang dibangkitkan itu. Rasanya begitulah.
Sebelum itu ada satu dua soalan yang menarik perhatian kita:
Sejak Kerajaan Terengganu mengambil inisiatif-inisiatif tertentu (misalnya ‘melumur’ pasangan dengan bau-bauan perangsang, baju tidur pembangkit syahwat atau ritual mandi bersama) sebagai tindakan penambahbaikannya, apakah kecenderungan kadar perceraian di negeri penyu itu kian menurun?
Atau apakah tempoh yang diukur itu terlalu pendek untuk diketahui keberkesanannya?
Dalam konteks ini, kita berpendapat pandangan salah seorang peserta forum laman maya tersebut cukup relevan: Bahawa kos sara hidup yang tinggi di Terengganulah yang membuat pasangan-pasangan muda menjadi tertekan. Dan faktor inilah yang mempengaruhi kadar perceraian. Pandangan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Bukankah kesejahteraan sesebuah rumah tangga itu amat dipengaruhi oleh kedudukan ekonomi para pasangannya? Bukankah begitu?
2.0 Sentiasa terkenang pandangan Tuan SM Idris, Presiden CAP
Dalam pertemuan team Paksi dengan CAP tidak berapa lama dulu, kita sempat bertanyakan satu soalan yang mengikut pandangan Azizi Abdullah, sangat dan begitu diambil berat oleh Presiden CAP, Tuan SM Idris:
Kenapakah kita begitu boros dalam merayakan pesta ‘Raja Sehari’ sehinggkan kita sanggup lakukan apa saja demi untuk menonjolkan acara peribadi ini?
Kepada SM Idris saya mengemukakan pandangan balas, kira-kira begini: “Bukankah itu hanya sekali seumur hidup, maka sewajarnya peristiwa itu dirai’kan dengan sebaik-baiknya.”
“ Macam mana tahu hanya sekali seumur hidup? Apakah mesti habiskan wang, pinjam sana pinjam sini bikin kenduri kahwin? Kadang-kadang anak sudah besar tapi hutang kahwin belum juga habis bayar!”
“Serius betul bos Ustaz Azizi ini.” Saya berbisik kepada Sdr Azizi.
“Ya, dia selalu kritik perangai boros kita dalam hal ini. Dia selalu tanya: Tak boleh simpan wang untuk baiki ekonomikah?”
3.0 Kecenderungan untuk menunjuk-nunjuk, akhirnya berboros-boros...
Lihatlah di antara senarai yang perlu dibereskan oleh pasangan, lebih-lebih pengantin lelaki sehingga dan sebelum sampai saatnya untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah:
i) Jumlah hantaran mestilah tinggi dan tidak kurang daripada harga pasaran. Ada artis, selebriti, orang-orang kenamaan yang ‘kos’nya itu mencapai puluhan ribu. (Kita tidak tahu apakah komponen-komponen kosnya. Apalah itu kos total batang tubuhnya; alat kelaminnya, organ peranakannya, jiwanya, hati budinya, kelulusannya, grednya, gelarannya, asetnya dan hartanya, keturunannya... atau apa sebenarnya yang membuat kosnya sehingga sedemikian tinggi?)
Ini belum dihitung barang-barang yang bakal mengiringi tuan tubuhnya: Cincin, perhiasan, persalinan dll
ii) Pakaian untuk hari-hari yang berkaitan: Pertunangan, pernikahan dan harinya perkahwinan dan segala kelengkapan yang berkaitan dengannya. Ini antara lain termasuklah: Butik, Mak Andam, make-up, juru kamera dan lain-lainnya
iii) Proses dan kerja sebelum, semasa dan sesudah hari perkahwinan: Perencana perkahwinan @sang wedding planner, dewan/hotel, jamuan, senarai tetamu jemputan dll.
Untuk mereka yang sangat berada, perkahwinan itu sendiri mungkin bolehlah ibaratkan sebagai iklan bisnes mereka yang terlibat. Kenapa? Mungkin dari sudut ekonomi kapitalisnya, semua kerja di atas adalah wajar kerana itu adalah publisiti yang tidak boleh diisukan. Mungkin. Namun bagi mereka yang hanya ada sedikit wang simpanannya dan oleh kerana itu terpaksa mencipta hutang untuk memenuhi kehendak-kehendak di atas, apakah rasionalnya ‘pesta bunuh diri’ yang sehari ini?
Bukankah ini di antara sebab paling utama yang menyebabkan perceraian? Pasangan yang kesempitan wang terikut-ikut, mau mempamerkan kehebatan hari “Raja Seharinya”, akhirnya dihimpit oleh beban hutang.
Maknanya suami isteri bercerai bukan dek bau gelama masin sang suami atau bau nafas sang isteri?
Rasanya sudut ini sangat ‘cantik’ untuk dikaji-terokai oleh Jabatan-Jabatan yang berkaitan. Segala usaha mulia untuk menyejahterakan kehidupan pasangan-pasangan muda yang baru menempuh gelora hidup berumah tangga ini tentunya jauh lebih baik, mulia dan bermakna kepada ummah daripada bersusah payah menghalang orang-orang bukan Islam memasuki masjid dan surau...
Bukankah begitu?
Wallahuaklam.
Lampiran: Petikan berita
“Isnin November 2, 2009
Bau badan dan pakaian malam yang membosankan punca keretakan rumahtangga di Terengganu
Oleh R.S.N. MURALI
KUALA TERENGGANU: Memang sukar untuk dipercayai tetapi kini percayalah - bau badan (body odour), adegan seks dan baju tidur yang membosankan (boring pyjamas) telah dikenalpasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri ini.
Untuk itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin di antara suami-isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin.
Paling utama dalam senarai inisiatif baru ini ialah untuk menjemput syarikat-syarikat kosmetik untuk memperkenalkan bau-bauan yang eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah.
Malah kerajaan negeri juga ingin mencadangkan supaya pasangan suami-isteri lebih kerap bermandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra mereka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh percaya, langkah ini akan mampu mengurangkan kadar perceraian di kalangan masyarakat Islam di negeri ini khususnya di kalangan pasangan muda.
Bercakap kepada akhbar The Star semalam, beliau mendedahkan bahawa apa yang membimbangkan sekarang ialah setiap tiga dari 10 perkahwinan di negeri ini berakhir dengan perceraian.
Beliau menambah, perpisahan kini menjadi satu trend yang sangat ketara di kalangan pasangan yang berusia di antara 25 hingga 30 tahun.

...”
No comments:
Post a Comment