Malaysians4Change.mp4
Seorang rakan telah mempelawa saya menonton youtube ini:
Naratifnya dalam bahasa Inggeris. Kalau kita terjemahkan idea-idea penting, video sepuluh minit yang lengkap dengan rajah dan ilustrasi yang menarik itu, isi ceritanya kira-kira begini:
Saya adalah seorang daripada berjuta-juta rakyat Malaysia yang sangat prihatin dengan arah dan halatuju negara kita, Malaysia. Segala-galanya kelihatan tidak begitu betul, begitu bercelaru sekali.
Mungkin juga saudara sentiasa berfikir-fikir tentang persoalan ini. Itulah sebabnya saudara menerima video ini. Atau secara kebetulan saudara menemuinya di Internet. Apa pun, saya ingin mengambil sedikit masa saudara untuk menjelaskan tentang negara kita dan masa depan saudara sendiri.
Saya ingin mengajak saudara menyertai saya dalam ‘Projek Selamatkan Malaysia Demi Anak-Anak Kita’. Boleh jadi saudara belum pun berumah tangga, namun begitu tentu ada saudara mara terdekat yang sangat saudara kasihi. Bagaimanakah saudara melihat masa depan mereka. Cerah atau pun suram?
Kita senaraikan di sini 12 item yang begitu penting kepada saudara. Dalam tahun 1990, Dr. Mahathir telah menjanjikan kepada kita “Wawasan 2020”. Apabila Mahathir berundur dan Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri “Wawasan 20202 telah digantikan dengan “Islam Hadhari” , slogan yang dibuang kemudiannya apabila Najib menjadi Perdana Menteri. Kita pun disuguh dengan slogan terbaru “1Malaysia.”
Sampai di sini kita ingin bertanya: Adakah kita menukar slogan ― setiap kali kita bertukar Perdana Menteri?
Jika kita tinjau dengan lebih mendalam, melepasi retorik slogan-slogan, adakah Umno/BN itu jawapan kepada masa depan kita atau apakah Umno/BN itulah sebenarnya masalah kita?
2.0 Kenaikan harga barang-barang.
Mari kita teliti bagaimanakah trend harga barang-barang telah berubah. Baru-baru ini, sebahagian daripada subsidi telah ditarik balik/dikurangi. Bagaimanakah tindakan ini mempengaruhi kita? Dalam tempoh melebihi 40 tahun, kita telah dimaklumkan bahawa kadar inflasi kita telah berubah/naik di antara 2% - 4%. Adakah tepat angka-angka ini?
Bukankah ia meningkat sebanyak 5% setiap tahun? Lihatlah hakikat ini: Suatu barang yang harganya 60 sen dalam tahun 1969, kini terpaksa dibayar lebih daripada RM 4.00. Dan teh Cina jauh lebih mahal.
Apakah akan terjadi jika GST dilaksanakan sepenuhnya dan subsidi dihapuskan sama sekali? Ambillah satu contoh: Kereta.
Kereta:
Harganya dua kali lebih mahal daripada apa yang dibayar oleh rakyat Amerika. Kenapakah hal ini terjadi? Jawabnya: Kita terpaksa membayar lebih demi untuk melindungi Proton dan untuk memberikan anugerah AP kepada para kroni. Dan harga kereta ini terus juga meningkat sebanyak 7% setiap tahun.
Ironisnya gaji rakyat Amerika lapan kali ganda lebih besar daripada gaji kita.
Rumah:
Setiap orang bermimpi untuk memiliki rumah. Dalam tahun 1970, seorang graduan yang baru tamat pengajiannya, dapat membeli rumah dengan gajinya selama 4 tahun. Hari ini, rumah yang sama hanya dapat dilunasinya semuanya dalam tempoh 28 tahun! Bukan itu saja, ibu bapa kita terpaksa membayar wang pendahuluannya (down payment), sementara kita terpaksa membayarnya sepanjang hayat kita bekerja.
40 tahun telahpun berlalu ― kenapakah kehidupan kita semakin perit? Kenapa?
Itulah sebahagian kecil daripada terjemahan bebas kandungan video di atas. Silalah layari dan perhatikan seruannya:
“Selamatkan Malaysia Yang Tercinta”
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment