Sunday, September 5, 2010

Lagi menteri Umno risaukan Melayu

Bila menteri berucap


1.0 Cakap menteri bukanlah sebarang cakap



“Ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pilihan raya umum akan datang amat penting bagi orang Melayu kerana ia akan menentukan kelangsungan mereka.” Demikianlah yang dilaporkan oleh Malaysiakini, 5 September 2010 versi bahasa Melayu.


Di samping itu, dinyatakan oleh Pak Menteri itu betapa pentingnya peranan guru-guru untuk menawan semula Kelantan.


Ucapan para pemimpin politik, lebih-lebih lagi mereka yang memerintah sentiasa diberikan perhatian. Bobot ucapan menteri tentunya berkait langsung dengan tinggi rendahnya posisi sang menteri dalam hiraki pemerintahan. Lebih besar kedudukan menterinya, maka tentulah lebih besar pula kesan ucapannya.


KJ John dalam tulisannya untuk Malaysiakini, misalnya memetik dan membincang dengan panjang lebar kata-kata menteri yang mengistiharkan kepada seluruh rakyat bahawa sesungguhnya “Aku Melayu dulu, kemudian barulah Malaysian.”


Masihkah ingat bagaimana orang mendongengkan keperkasaan seorang menteri kewangan kita satu ketika dulu? Bahawa jika menteri kewangan yang perkasa (agaknya mungkin kerana kehebatan ilmunya) itu bersin, KLSE akan dijangkiti selesmanya. Demikianlah besarnya makna kata-kata mereka yang berkuasa.



2.0 Bagaimanakah kita membaca ucapan menteri tentang masa depan Melayu jika ditakdirkan Umno tidak kembali berkuasa?



Di sini kita boleh melihatnya, (ucapan menteri itu) sebagai cermin yang pandai mengejek. Ini bermakna segala tutur kata yang diluahkan sang menteri adalah bayang-bayang ― bayang-bayang songsang yang dipantulkan oleh sesebuah cermin. Bayang-bayang itu sentiasa saja songsang, ‘literally inverted’ dan juga ‘laterally perverted’?



Contohnya begini: Kalaulah kita mengangkat tangan kanan, cermin mengangkat tangan kirinya dan kalaulah kita memegang telinga kiri, cemin pula memegang telinganya yang kanan.



Bagaimana kalau kita terapkan teori ini dalam berita di atas?


“Melayu akan punah jika Umno tidak kembali berkuasa.”

(Bayang-bayang mengejeknya ialah: Para pemimpin Melayu dalam Umno akan punah jika Umno tidak berkuasa semula di Kelantan)



“Para guru penting untuk menjayakan misi Umno menawan Kelantan”

(Bayang-bayang mengejek yang pertama: Selama ini guru-guru tidak penting sebagai alat politik Umno)


(Bayang-bayang mengejek yang kedua: Peranan guru-guru yang ternyata sangat penting dalam menentukan kelangsungan kuasa politik Umno telah sekian lama diabaikan oleh Umno. Tempatnya telah diambilalih oleh pemborong dan cukong. Oleh sebab itu Umno mestilah kembali ke pangkuan para guru)



3.0 Cermin yang mengejek di Kedah



Ejekan cermin seperti ini mengingatkan kita bagaimana seorang mantan PM berucap di Kedah, di ambang pencalonan dalam salah satu PRU. Kata mantan itu, kira-kira begini:


“Dalam Umno ini, orang yang tidak mahu menjadi calon pilihan raya sangatlah banyak. Mereka hanya mahu berjuang. Oleh itu ada yang menangis-nangis kerana tidak mahu dicalonkan!”

(Bayang-bayang di cermin ialah: Dalam Umno sekarang ini, yang mahu menjadi calon sangatlah banyak ― kalau ada yang tak dicalonkan mereka akan meraung-raung separuh mati)



4.0 Umno yang bimbang ― bukannya orang-orang Melayu biasa



Umno bimbang ― keterlaluan bimbangnya jika seluruh orang Melayu lari meninggalkannya. Seperti kata Pak Samad sekarang ini dalam konteks kuasa politik, para bangsawan dan birokrat penguasa Melayulah yang sebenarnya takut. Mereka sangat takut kerana selama ini merekalah penguasa mutlak yang sentiasa saja disokong (dengan menggunakan pelbagai kaedah dan cara tipu dan muslihat) oleh orang-orang Melayu.


Oleh itu mereka sangat gerun jika ditinggalkan oleh orang-orang Melayu.


Percayalah Umnolah yang akan kehilangan kuasa, bukannya orang-orang Melayu yang nelayan, yang buruh, kerani, pemandu teksi, para guru dan atau para profesional dalam jabatan kerajaan yang akan kehilangan kuasanya jika Umno tidak lagi dipilih.


Ertinya: Segala yang Melayu yang tidak tergolong dan tidak diraup ke dalam kelompok elit Melayu yang istimewa ini tidak akan kehilangan apa-apa. Mereka kekal sebagai orang-orang Melayu biasa dan menjadi sebahagian besar daripada massa yang paling kerap sekali dimangsai (saman ekor, insurans kereta berusia emas, peneroka felda sekadar contoh.)



5.0 Umno perlu sentiasa mendampingi cermin



Umno, cermin dan kuasa adalah kisah yang boleh kita pelajari. Terlalu banyak pelajaran dan pengajaran dalam ilmu ini. Paling tidak, kita dapat merenungi dan menyelami dengan lebih mendalam silat politik Umno dalam usahanya untuk terus merengkuh kuasa.


Mulai sekarang perhatikan apa saja yang keluar dari mulut-mulut penguasa Umno. Perhatikan baik-baik. Paling tidak kita dapat belajar ilmu silat mereka...




No comments: