Wednesday, November 10, 2010

Apanya yang diurus?


Mengurus ‘Belanja Mengurus’


Kalaulah Jusoh Kepala Bukit, Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, Kedah mengetahui berapa banyak peruntukan yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk mengurus perjalanan Kerajaan, mungkin dia akan bertanya, “Apakah yang diurus sehingga begitu banyak sekali duit yang digunakan?”

Kalaulah Leha, bini Maidin penjual mi rebus Taman Wira, Sungai Petani, Kedah ketahui bahawa ada Ketua Jabatan yang menukarkan@mengubahsuai bilik yang baru ditempatinya minggu lalu, walaupun bilik itu telahpun diubahsuai tiga bulan lalu oleh Ketua Jabatan sebelumnya, Leha tentu terkejut besar, “Huuuiss, baguihhlah kalau carpet baru tu depa bagi dekat cik.”

Kalaulah Maniam tahu bahawa kos untuk selenggara armada kenderaan sebuah Pejabat orang besar-besar itu, boleh menyelesaikan masalahnya yang sudah bertahun-tahun menumpang di rumah mertua, tentu dia akan bertanya, “Kenapa buang duit macam itu?  Lebih bagus kalau lebih banyak rumah yang mampu dimiliki dibina?”


ii.


Ada Jabatan-Agensi yang diwujudkan/wujud demi untuk memperbaiki kumpulan sasarannya, (katakanlah para pencari kerang, petai dan genuak, buah getah, atau batu-batu jalanan),  namun bukanlah luar biasa jika kita dapati bagaimana ketua-ketua dan orang besar-besar Jabatan-Agensi ini lebih kerap bercekcok sesama sendiri kerana hal-hal yang sangat remeh ― seperti berebut-rebut tempat letak kereta, daripada melihat bagaimanakah para penulis boleh hidup dengan bermaruah sebagai seorang penulis....

Apakah semua ini terjadi secara natural@semula jadi saja atau ada sebab-sebab lain yang mempengaruhi semua ini? 

Ada orang bertamsil tentang pemimpin dan gaya kencingnya sementara ada pula yang bercakap tentang air di hulu yang tidak pernah jernih-jernih.

Baguslah Tuan Mahfuz, kalau soalan-soalan begini lebih kerap lagi Tuan tanyakan.  Kami sudah sangat penat diulu-cangkulkan oleh para cukong.  


________________________________________________________________

(Sumber: HarakahDaily - http://www.harakahdaily.net)

“KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.”





No comments: