Sunday, November 7, 2010

Banjir, seperti alam - tidak pernah lupa


Saliran: Penting apabila wujud masalah.


Sesiapa yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS faham benar masalahnya setiap kali dia berurusan dengan proses pengambilan balik tanah.

Ini lebih ketara lagi untuk projek  meningkatkan sistem tersier pengairan (irrigation) dan saliran (drainage) sesebuah blok pengairan.  Di Kawasan MADA, orang ramai menyebutnya sebagai projek parit gila(1).  


Kalau boleh, ramai yang tidak mahu tanah mereka terlibat dengan pengambilan tanah kerana ‘tanah pak cik sudahlah kecil, kalau diambil sikitlah yang tinggal...”  Ya, rata-rata semua tidak percaya dengan manfaat taliair (untuk mengairi sawah) apatah lagi parit (untuk menyalirkan air yang berlebihan) dari petak-petak sawah.

Ramai yang tidak yakin bahawa prasarana yang baik jika dikendalikan dengan sempurna dapat meningkatkan hasil ladang.


ii.

Apakah mesej yang mahu disampaikan dengan mukadimah di atas?

Mesejnya: Rata-rata, orang tidak pernah peduli apatah lagi yakin bahawa prasarana untuk mengurus air itu adalah sesuatu yang penting dan semestinya diberikan perhatian yang amat serius.

Sikap tidak peduli kita itu terpancar dalam sikap dan tingkah laku kita (umumnya) terhadap parit dan longkang, waima yang di depan dan di belakang rumah ― sedangkan longkang itu adalah unit yang paling asas untuk mengurus alam sekitar dan kebersihan/kesihatan diri dan masyarakat.

Kenapakah begitu jadinya?  Mungkin orang selalu beranggapan bahawa parit dan longkang itu tong sampah busuk yang merosakkan keindahan halaman rumah(2).  Agaknya, orang meluat untuk hidup bersama dengan parit dan longkang dan sisa buangan yang diciptanya sendiri.  Oleh sebab itu,  orang lupa (meluat?) untuk mengurus parit dan longkang dengan baik. 


iii.


Sikap tidak peduli ini terbawa-bawa sehinggakan projek yang teramat mega, seperti rel berkembar sekalipun seolah-olah terlupa bahawa air itu adalah sebahagian daripada alam yang mesti diurus dengan penuh rasa hormat.    

Mereka mungkin lupa bahawa ‘alam’ itu bukanlah manusia. Manusia, mungkin kerana nafsunya,  kadang-kadang menjadi pelupa dan mudah pula dibohongi, termasuk dibohongi oleh dirinya sendiri. 

Alam bukanlah pelupa, sehinggakan  manusia boleh semberono terhadapnya.

Peristiwa wujudnya kesan takungan yang meluas-memanjang dan halangan terhadap gerakan air semula jadi berbentuk ‘sheet flow(3) kerana wujudnya ban buatan seperti ban kereta api adalah pengalaman yang benar lagi nyata tapi - malangnya kerap tidak dipedulikan.  

Kenapakah begitu jadinya?  Mungkin orang tidak begitu gemar dengan sistem saliran kerana di sana tidak ada glamournya.  Siapakah yang gemar dengan parit, longkang dan sungai - tempat kita membuang sampah sarap?

Dan, seperti biasa ― orang teringat kepada JPS apabila terjadi bencana, lebih-lebih lagi banjir.

Selamat berjuang teman-temanku di JPS!

‘Timah Tasoh’ apa khabar kamu sekarang, dan bila lagi akan dibina terusan lencongan itu?



_______________________________________________________________
(1) Digelar demikian kerana jajaran taliair dan parit tersier yang berbengkang bengkok (lantas, diberikan gelaran ‘gila’) kerana ‘terpaksa’ mengikuti sempadan lot-lot tanah sedia ada.  Salah satu kriteria rekabentuk yang mesti dipatuhi ialah perancang sistem taliair tersier tidak dibenarkan memecahkan lot-lot tanah, KECUALI jika tidak ada pilihan lain.  

(2).  Di taman taman perumahan, terdapat jiran di hilir yang menutup parit di depan rumahnya kerana meluat/tidak tahan lagi dengan air kumbahan, sisa dan kuah mi yang saban hari disimbah oleh jirannya di hulu, ke dalam longkang.  Jiran di hulu itu berniaga mi. 


(3)Landasan berkembar punca banjir besar (sumber: Bernama/harakahdaily.net)

Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir
di Wisma Darulaman hari ini.




No comments: