Monday, November 8, 2010

Sebelum


Untanya dibaham APCO

Dalam ceramah Pulut Kuning Pas,  Kampong Bandar Dalam, Parlimen Batu pada malam 7 November 2010 yang lalu, salah seorang penceramah menghimbau ingatan para hadirin tentang kisah para pejuang di zaman Khalifah Ar-Rashidin yang “bersembahyang dan menangis pada malamnya― insaf dengan kekerdilan diri,  tetapi menjadi singa yang lapar di medan perang pada siangnya.  Mereka yang tidak pernah lupa bersembahyang malam” telah menunjukkan jalan bahawa ada kuasa yang lebih menentukan.

Sementara itu ada pemimpin besar Pakatan yang bersyarah ke seluruh dunia tentang demokrasi dan kebesaran Islam ― bagaimana Islam itu sebenarnya rahmat kepada seluruh kemanusiaan dan Islam itu tidak wajar ditakuti.  Begitulah kira-kira tempias bunyi bahasa dari rostrumnya.

Itulah bentuk-bentuk ucapan yang bagus-bagus yang kerap kita dengar.          

Bagi kita itu adalah idealisme dan masa lalu yang sangat sedap dan bagus didengar di dalam bilik kuliah berhawa dingin atau dalam kursus-kursus motivasi.  Sama seperti ‘nikmat menyampahnya’ setiap kali kita mendengar “Rakyat didahulukan” di segala macam media sekarang ini.  

Untuk lebih ‘real@nyata’ elok juga kita kembali ke bumi yang nyata. Segala  yang bagus-bagus dan muluk-muluk itu, rasanya lebih elok,  jika kita tinggalkan/tangguhkan/simpan dulu di dalam laci rostrum atau di bilik-bilik media kerana yang lebih nyata adalah belantara yang kita diami sekarang ini. 

Belentara,  tempat harimau dan singa yang sangat lapar,  lari terbirit-birit apabila melihat manusia yang sangat kekenyangan.
   
Itulah tempat yang kita diami sekarang ini.


ii.

Kemenangan PRU12 lalu itu dilihat seakan-akan titik keloknya, the turning point ― sesuatu yang sekian lama ditunggu-tunggu dan begitu diharap-harapkan oleh rakyat jelata.  Kenapa begitu jadinya?  Rakyat yang letih dan muak sangat mengharapkan satu perubahan yang bermakna.  Mungkin kerana terlalu teruja,   mungkin kerana terlalu optimis, maka begitu ramai sekali yang ghairah sekali menulis, bercakap, sehinggakan ― seperti tidak mahu berhenti lagi bercakap-menulis tentang talkin dan pusaranya Umno.  Bukan main lagi,  para pahlawan pakatan ini.

Demikianlah, bersemangatnya kumpulan pakatan ini mahu mara, katanya ke Putrajaya.   

Anehnya mereka juga terus bercakap dengan penuh bimbang tentang APCO, SPR, Pendaftaran Negara, PDRM dan segala aparat yang lain, segala senjata berbisa yang digunakan untuk mematikan mereka di medan perang.  Belum lagi dengan projek IC yang sangat tersohor itu.  Belum lagi dengan sekian banyaknya pendatang dari pelbagai pelosok alam di negara kita sekarang ini. 

Dan pada waktu yang sama,  ada juga yang masih sangat merindui idea perpaduan,  walaupun dengan berbisik-bisik.. 

iii.

Sementara yang kira-kira diangkat sebagai ketua itu,  terus menerus diasak dengan fitnah yang berpanjangan.  Dalam serangan fitnah pertama dulu ada yang tanpa ragu-ragu bangun dengan garangnya ― menentang.  Sayangnya tubuh dan semangat Fadzil Noor sudah tidak ada lagi.  Ia seolah-olah telah dibawa pergi bersama-sama jasadnya al-marhum itu.  Yang tertinggal hanyalah pemerhati di luar garisan kerana mungkin ‘itu adalah urusanmu’ dan bukan lagi fitnah keji lagi zalim yang mesti ditentang habis-habisan.  

Atau ada sebab lain yang lebih besar (yang tidak kita ketahui) yang mesti didahulukan dan diurus sebaik-baiknya?   

Mereka yang berbondong-bondong di jalan-jalan raya dalam fasa awal juga sudah tidak lagi lagi kelihatan.  Mereka yang disembur air kimia, gas beracun, dikejar, dipukul, dipijak, digari, direman dan didakwa  juga sudah tidak kembali lagi ke jalan raya.  Mereka yang datang tanpa disuruh dan perginya jua tanpa dihalau itu sudah lama tidak datang-datang lagi....Mereka - yang satu ketika dulu,  begitu ghairah menulis ‘bait-bait sajak’ juga sudah berhenti menulis puisi marah-marah.  Mereka juga sudah tidak lagi teruja menulis puisi-puisi protes.  Pemandu teksi yang saban kali ditangkap dan digari kerana turun memprotes di jalan raya juga tidak lagi bercakap tentang fitnah dan kezaliman.  Perancangan APCO mereka tidak menjadi?   

Maka gema beriramanya laungan bersemangat ‘macam orang gila’  oleh khalayak lebih-lebih lagi anak-anak muda itu juga sudah tidak kedengaran lagi.  Penyair veteran yang dulunya turun tanpa dijemput juga tidak begitu ghairah lagi untuk turun naik pentas jalanan untuk melaung-laungkan bahawa sesungguhnya dan sebenarnya ‘Rakyat tidak pernah didahulukan.’   

Kita pun bertanya, kenapa agaknya suara-suara itu sudah tidak lagi kedengaran? Atau apakah pemerhatian ini tidak tepat?

Anehnya, di sudut yang sangat tepu pelbagai porak peranda itu, mereka masih lagi asyik memetik bahawa manusia merancang tapi sesungguhnya ada lagi yang lebih bagus perancangannya kecuali Dia.  Mereka bercakap dan memetik  perihal ‘Wa ma karu ...' ini.  Apakah tepat rasa optimis tanpa sebarang usaha untuk menambat unta ini?

Mungkin kerana keyakinan yang cukup tinggi dengan janji-janji inilah,  mereka pun membiar unta masing-masing berkeliaran.  Unta-unta itu ― mungkin tak perlu lagi ditambat kerana sudah ada yang bakal menjaganya.

iv.

Bukan saja untanya yang tidak ditambat kemas itu dibiarkan berkeliaran, tapi sang bapa, seorang perokok yang rakus terus saja membelasahnya ―  sang anak kerana tertangkap tatkala sembunyi-sembunyi merokok.

Anak semakin keliru dengan mesej besimpang siur yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri.  Anak semakin sedih kerana bapanya marah-marah, kenapakah unta yang katanya tidak perlu ditambat itu,  sampai boleh hilang?

Betulkah unta tak perlu ditambat kerana di sana sudah ada penjaganya?


Maka apabila Zaid Ibrahim dan para penyokongnya (?) bercakap tentang hal-hal seperti:

i) Kenapa pemilihan yang sedang berjalan itu diberhentikan segera dan ii) Lantangnya dakwaan bahawa di sana wujud penyelewengan oleh sesetengah pihak, dan iii) Jawapan balasnya sebagai penjelasan terhadap segala dakwaan itu, maka sang anak pun semakin keliru: Rupa-rupanya orang-orang dewasa juga suka berebut-rebut: Berebut 'toy' baru yang muncul di depan mata! 

Betulkah semua ini?  Atau benarkah dalam politik - baik yang 'baru' maupun 'lama' tidak banyak bezanya?  Dan bahawa orang-orang politik itu sama saja, walaupun di mana saja mereka berada?

Kita, (rakyat) adalah anak yang keliru itu.


Apa pun, kita - sang anak yang keliru itu perlu segera mencari untanya ― sebelum dibaham APCO.

1 comment:

lanfisherman said...

sesuatu yang baik akan terjelma apabila sudah tiada lagi pemisah antara haq dan batil.namun adakah perjuangan kita sudah semaksima mungkin, seperti mana rasul dan orang-orang yang beriman dahulu diuji
kerana akir zaman ini manusia bertuhankan wang.........nauzubillah