Saturday, January 29, 2011

Luasnya lelangit itu


Begitulah zalimnya cengkaman ketabsuban


Untuk memasukinya saja Aiman tidak begitu berani.  Ya, bukan main-main, anak muda ini tidak berani untuk mendekatinya.

“Mereka kenal saya bang! Mungkin kena pukul nanti.”

Kampungnya terletak dalam kawasan Tenang, sebuah lagi dari sekian banyak kubu kuatnya Umno/BN di Johor.  Lebih tepat,  ia sebuah lagi dari sekian banyaknya kampung dalam Gugusan Felda.

“Semua bentuk penerangan tak lut ― harga barang yang naiknya tanpa henti-hentinya itu pun,  juga tidak lut!”

(Pagi ini jiran saya memaklumkan “Kemarin,  harga susu telah naik, semua jenis susu,  kecuali susu cap xxxxxx.)”

“Kenapa tak lut?”

“Harga getah berapa sekarang?  Dengan harga di paras ini, 7k atau 8k sebulan bukanlah masalah.  Minyak naik ― mereka tak ambil pot, naiklah harga barang-barang keperluan, mereka juga tidak peduli.”

ii.

Mereka membaca akhbar milik Umno, mendengar radio dan menonton tv ‘milik kerajaan Melayu-Umno.’   

Mereka gemar filem-filem Bollywood, berbincang tentang pelbagai skandal para artis dan suka  filem-filem seram, cerita hantu.

Mereka tidak mahu dengar pandangan yang lain kerana itu adalah fitnah jahat pembangkang yang mahu memecah belahkan masyarakat.

Media yang mereka ikuti adalah wahyu moden.

iii.

Apabila ada dalam kalangan orang terkuatnya mereka,  dijemput untuk menemui Penciptanya, mereka semua, termasuk yang dalam kalangan kelompok ketuanya itu, terbirit-birit menerkam Pemimpin Besarnya ― mereka terlupa bahawa menyempurnakan mayat itu adalah fardhu kifayah. (Mungkin tafsirannya ialah ‘senang-senang’ buat, kalau tidak,  ― tak payahlah, mungkin.)    

Apabila ceritanya terburai, bahawa ada pembangkang yang datangnya dari Negerinya Tun Teja diminta untuk mengimamkan sembahyang, maka akhbar milik mereka pun bertegas, “Orang ini kemaruk mahu menjadi imam!”

Apakah yang difikirkan oleh mereka yang hadir solat jenazah ketika itu yang melihat dengan mata kepalanya sendiri, seluruh peristiwanya ― tatkala membaca berita yang terpampang di akhbar milik mereka itu?

iv.

Begitulah dahsyatnya cengkaman ketabsuban.  Apakah ubatnya untuk penyakit-penyakit jenis  ini?  Apakah ubatnya untuk mereka yang sama sekali tidak mahu mendengar pandangan orang lain, kecuali berkata: Itu adalah fitnah pembangkang?

Apakah luas betul lelangit tempurung itu?



No comments: