Hikayat Ulan Bator
1.0 Sejak awal mereka yang menamakan dirinya Melepak 2.0 tidak dibenarkan menuntut gaji minima. Para cukong yang menguasai pelbagai industri utama di Ulan Bator telahpun memutuskan bahawa permintaan ini terlalulah revolusineer untuk dipenuhi. Ya, sebarang idea yang bakal mengempiskan keuntungan tidak boleh sama sekali diberikan perhatian serius ─ apatah lagi dilayan. Idea seperti ini tidak baik untuk ekonomi Ulan Bator.
Maka Menteri yang menjadi keamanan pun dikerah supaya mengerahkan pihak kepolisian menyampaikan mesej kepada semua peminat Melepak 2.0: Tidak baik kalau tidak mengikut perintah orang besar-besar yang sudahpun lama Besar.
2.0 Sejak awal lagi staf partai lawan yang terbunuh kerana tergelincir di tingkat lima, lalu terjunam di aspal tempat letak kereta mestilah dilaporkan sedemikian. Dia ditimpa kemalangan kerana tangga marmar terlalu licik licinnya.
Mereka di luar sana boleh menjerit dan meraung sehingga terkeluar segala urat perutnya namun hakikatnya tetap tidak berubah: Staf parti lawan ini telah dibunuh dirinya.
3.0 Sejak Orang besar-besar yang tersangatlah Besar Ulan Bator itu menjanjikan bahawa Stadium Laga Lembu boleh digunakan untuk pesta gusti lengan, semua yang berlengan gusti berotot dawai sangatlah terujanya sehinggakan tidak terkatakan lagi.
Namun sehari sebelum pesat gusti itu bermula, pihak kepolisian mengumumkan bahawa permitnya telah diswastakan kepada Persatuan Laga Lembu dan ─ persatuan itu pula, katanya telah menyewakan Stadiumnya untuk acara tarian lembu-lembu Auatralia. Lembu-lembu ini kata yang punya sumber berita, bakal disembelih di Lynas, Gambang, Al-Pahangi.
4.0 Dalam pesta meraikan rakyat ─ ‘Rakyat Didahulukan’, acaranya sedikit lasak, demikianlah kata Sang Menteri yang menjaga keselamatan ceruk rantau Kota Raya. Kata Menteri itu lagi, latihan yang sedikit keras ini berbaloi kerana rakyat didahulukan itu mendapat pendedahan bagaimana menghadapi tembakan gas pemedih mata dan juga ayunan sepatu yang terlajak ─ diayun.
Menteri itu marah-marah kerana latihan yang berniat baik itu dituduh oleh para pembangkang sebagai ganas!
Memang dasar pembangkang, tambah Menerti itu tanpa menghunuskan kerisnya.
Sebenarnya ada lagi cerita-cerita Hikayat Ulan Bator yang menarik. Sesiapa yang ada kisah menarik Ulan Bator, eloklah emelkan saja kepada:
Moh, kita kongsi sama-sama semoga hiduplah segala ‘kita-kita’: Rakyat yang didahulukan ini.
_________________________________
PS: Harga bateri juga sudah naik. Yang dulunya RM 140.00 telah naik mencecah RM 190.00. Apakah betul? Sementara itu durian Pak Leman di Telaga Batu telahpun luruh.
Sayang sekali, harganya pula tak mahu naik.
Dan sayang sekali, tepung naik sendiri tak selalunya berfungsi dengan baik seperti sepatutnya. Ada juga roti John yang masih lagi kempis-kecut walaupun suhu ketuharnya sudahpun di paras optima.
Atau ramuan serta adunan rumusnya tidak mengikut SOP, (Standard Operating Procedure), Prosedur Operasi Piawai sehinggakan Komunis, Wahabi muncul di Ulan Bator dan 40 ulamak muda pula sudah menderhaka?
No comments:
Post a Comment