Sumber berita: Minda Ahmad Lufti Othman
Laporan Suruhanjaya Diraja Beng Hock sahkan ramai pegawai SPRM pembohong
“Selain isu kos hidup yang terus meningkat, juga keberanian rakyat dalam himpunan Bersih 9 Julai, dan gelagat "Wanita Pertama" Rosmah yang memburukkan lagi persepsi terhadap Najib, saya perhatikan kematian Teoh Beng Hock tetap menjadi isu besar dalam kempen PRU13 nanti.
Malah, jika diteliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD), jelas sekali imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada pada kedudukan hampir sama dengan SPR. Sekadar membelek sambil lalu laporan tersebut, saya kira sudah dapat merumuskan bahawa banyak sekali penyelewengan dan salahguna kuasa pegawai SPRM yang terbabit.
SPR dan SPRM, dalam aspek tertentu, tidak lebih daripada satu lagi perkakas Umno-BN untuk mengekalkan kuasa. Personaliti keji Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim bersama dua lagi pegawainya yang terbabit secara langsung dalam siasatan terhadap Beng Hock membayangkan hubungan istimewa mereka dengan aktor-aktor politik, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa ia selari dengan usaha BN merampas Selangor.
Memetik perenggan 176, laporan SSD itu: "Kami mendapat bahawa dia (Hishamuddin) seorang yang angkuh, bercakap bohong, tidak jujur dan tidak akan bertolak ansur ..." Tentulah ada sesuatu yang menarik untuk dibongkar apabila beliau dilihat mempunyai imuniti dan kuasa tidak terbatas.”
_____________________________________
Komen:
1. Kata orang, zaman dahulu kala siapa saja yang paling kuat, dialah menjadi Sang Penguasanya. Orang yang kuat, bengis lagi zalim ditakuti oleh rakyat jelata teramai. Mereka takut kerana tidak berkuasa untuk melawan. Maka kita dapati yang berkuasa ke atas kehidupan manusia bawahan adalah mereka yang ditakuti kerana kekerasan dan kezalimannya ─ perompak dan lanun.
2. Ertinya dalam zaman tanpa tamadun ini, kekerasan menentukan siapakah yang menguasai kehidupan rakyat jelata. Sang Penguasa yang ditakuti ini akan menentukan kadar cukai yang perlu dibayar oleh rakyat kepadanya.
3. Zaman telah berubah, maka kuasa kasar yang blak-blakan (brute force) untuk berkuasa juga tidak dapat lagi digunakan. Zaman semasa tidak lagi membolehkan cara yang sedemikian digunakan. Sejajar dengan itu, teknik untuk berkuasa pun telah berubah menjadi seni yang halus. Orang berpolitik untuk memperolehi kuasa.
4. Dalam politik separuh masak, politik yang masih lagi mentah, ciri-ciri zaman pra-tamadun itu, kerap kali muncul semula. Yang sedap dan telah sekian lama bersedap-sedap dengan kuasa tidak hingin berpisah dengan kuasa itu.
5. Bersih 2.0 adalah satu contoh yang jelas perihal pertarungan sengit di antara kehendak massa yang bangkit untuk menuntut perubahan dengan Sang Penguasa yang amat bimbang dengan cengkamannya (grip) terhadap kuasa itu. Sang Penguasa itu bimbang sekali kuasa yang cengkam selama ini bakal terlucut.
Kenapakah semua ini terjadi? Sekiranya, ya sekiranya, politik kita benar-benar masak, apakah masalahnya menuntut pilihan raya yang bersih, telus dan adil itu? Adakah ia bercanggah dengan norma-norma pertandingan yang sihat? Adakah fikiran yang sihat berpendapat bahawa ini adalah satu kerja yang jahat?
Ia menjadi persitiwa nasional yang besar kerana politik kita masih lagi belum masak@mentah.
6. Apa yang dipetik dalam tulisan Ahmah Lutfi di atas menunjukkan dengan jelas apa yang wujud dalam batang tubuh politik kita selama ini. Apakah politik kita akan menjadi lebih masak jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini? Atau apakah mereka juga ─ sama seperti Umno/BN ─ korup dan tidak bertanggungjawab?
Dalam konteks politik yang lebih matang ini, sedikit sebanyak Bersih 2.0 telah menunjukkan bagaimana, kita ─ rakyat jelata boleh berperanan.
No comments:
Post a Comment