Dalam buku, “Sikap dan Pemikiran Usman Awang” selenggaraan Dinsman dan Sutung Umar Rs, Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd (1983) terdapat sebuah esei Usman Awang bertajuk “Pengalaman saya dalam tahun-tahun 50an” (halaman 71-72) rekod perjuangan seorang sasterawan besar kita di zaman yang antara lain telah mencetuskan peristiwa seperti Bukit Kepong ─ sebuah peristiwa yang mahu diputar-belitkan oleh akhbar balaci Sang Penguasa yang tersohor itu, Utusan Malaysia.
Kita petik sedutan pengalaman Usman Awang:
“Walaupun saya sebagai seorang anggota polis tetapi pergaulan saya lebih banyak dengan guru-guru yang menjadi penulis dan meminati sastera dan politik. Dalam simpati politik, saya menganjurkan pungutan derma untuk membantu PKMM. Saya ingin menjadi anggota PKMM atau API, tetapi peraturan perkhidmatan polis melarangnya, malah pungutan derma ini dibuat secara sembunyi. Usaha ini lahir dari keharuan saya apabila penarik beca roda tiga di Melaka bukan sahaja tidak mahu mengambil duit apabila pemimpin-pemimpin seperti Dr. Burhanuddin menaiki becanya, malah mereka menganjurkan kutipan derma untuk PKMM.
Keikhlasan hati penarik beca, rakyat yang amat miskin dan menderita ini, cukup mempengaruhi jiwa saya dan mengharukan sekali.
Datanglah tahun 1948.
Malam itu udara amat sejuk. Angin laut Selat Melaka berhembus agak kuat. Kami anggota-anggota polis dibagi-bagikan dalam beberapa kelompok. Beberapa orang polis yang memakai pakaian biasa adalah dari pasukan yang dinamakan Special Branch ada bersama kami. Dengan jip dan lori polis yang amat laju kami menuju rumah ke rumah. Ketukan di pintu. Yang membukanya dengan rupa dan mata terkejut. Kami pulang membawa beberapa orang yang meninggalkan rumah tanpa membawa apa-apa, dan di rumahnya tinggallah isteri atau anak-anak dengan air mata ─ yang tidak pernah mereka tahu bahawa itu adalah perpisahan yang bertahun-tahun lamanya.
Saya tidak pernah tahu untuk apa mereka ditangkap. Mereka ini, menurut hemat kami, adalah orang yang baik-baik ─ guru, pekedai, pekerja.... Dan dari desas-desus yang didengar sedikit demi sedikit saya mulai mengerti keadaan politik, penangkapannya, tindakan polis dan lain-lain lagi.
Kami anggota polis yang muda digabungkan dalam satu pasukan yang dinamakan Jungle Squad, memakai pakaian hutan dan diberikan senjata-senjata baru, bukan lagi rifle mark 303 tetapi senapang moden yang jika ditembakkan di waktu malam, tidak akan mengeluarkan cahaya api, senapang automatik yang dinamakan carbine dan pistol automatik jenis browning berisi dua belas peluru dan juga stengun yang tempat pelurunya boleh berisi dua puluh biji peluru yang boleh ditembakkan secara automatik.
Bersama-sama senjata ini kami dibekalkan juga dengan makanan, dan kami dibawa menjelajahi hutan di bawah pimpinan orang putih. Kadang-kadang kami masuk ke hutan selama tiga atau empat hari dan pernah selama seminggu suntuk.
Kami melihat tangkapan terus-menerus dilakukan dan kami melihat orang-orang yang ditembak mati. Kami juga melihat mayat dipikul seperti hasil buruan, kami melihat pondok dan rumah pekebun sayur dibakar hangus dan penduduknya sama ada ditangkap atau dipindahkan ke suatu tempat pengongsian dan kami melihat daerah dan kampung yang dipagar, kami melihat teman-teman kami dalam polis luka dan mati, kami melihat ratap tangis anak isteri, ibu ayah yang tinggal. Segala ini amat berkesan di hati saya. Tidak saya lupakan dan menjadi deretan dan timbunan pengalaman yang beberapa tahun setelah itu, apabila saya jauh dari Melaka, lahirlah ia dalam novel, cerita pendek dan sajak saya.
Apabila, pada tahun 1951, saya meletakkan senapang dan melucutkan pakaian seragam polis dari badan, saya merasakan semacam kebebasan, suatu perasaan yang tidak pernah saya dapat sebelumnya walaupun saya tidak tahu di mana dan apa kerja yang akan saya buat untuk hidup dan makan.”
2.
Ada ‘sejarah’ yang dengan sengaja telah digelapkan. Inilah tugas, ‘kemahiran’ dan keistimewaan para perawi yang sememangnya tekun dalam kerja-kerja menyongsangkan fakta. Itulah sebabnya kenapa terdapat ‘rekod-rekod sejarah’ yang kerap kalinya diangkat semula dengan ‘hujah-hujah’ yang hanya memperlihatkan keperkasaan Sang Penguasa. Contoh yang paling jelas ialah sejarah pejuangan kemerdekaan kita. Dalam sejarah versi Sang Penguasa, kita tidak akan temui nama-nama kelompok kiri yang cukup nyata sikap dan penentangan mereka terhadap penjajah British. Inilah kerja utama tukang cerita atau perawi yang diternak khusus oleh Sang Penguasa sebagai balaci ulung.
Itulah sebabnya kenapa kita perlu berhati-hati dengan Sang Penguasa dan para perawi balacinya.
No comments:
Post a Comment