Sunday, August 28, 2011

Sejarah ditulis Sang Penguasa

Sejarah: Seni Sang Penguasa memperdayakan orang?


Apakah yang terjadi jika Bersih 2.0 itu berlaku dalam tahun-tahun 70an?  Apakah mustahil jika seluruh episod rakyat-turun-ke-jalan-raya menuntut pilihan raya yang bebas, adil dan telus itu, hanya direkodkan dan berhakimkan ‘fakta’ sahih yang dibentangkan oleh Sang Penguasa semata-mata? 

Ya, Sang Penguasalah yang menentukan versi rasminya ─ versi benarnya Bersih 2 itu.  Versi yang  menunjukkan betapa para penunjuk perasaan telah merusuh, menjahanamkan harta benda awam, anarkis dengan tingkah laku dan anika perbuatan jahat lain yang sekelas dengannya. Bukankah sampai ke hari ini, Sang Penguasa itu masih jua berkeras menyatakan  bahawa pihak polis telah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya penuh dengan rasa tanggungjawab pula?   

Oleh sebab itu, bagi Sang Penguasa tidak ada apa-apa yang luar biasa dengan tindakan aparat Sang Penguasa itu dalam episod Bersih 2.0.  Jika ada perkara yang luar biasa, itu hanyalah kejahatan para demonstran, akibat pengaruh pembangkang yang kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri.

2.

Pada 9 Julai 2011 bersejarah itu, laporan yang mahu diputarbelitkan  tidak menjadi kenyataan kerana suasana dan keadaannya telah jauh berubah dan berbeza jika dibandingkan suasana dalam tahun-tahun 70an.  Ya, suasana yang telah tercipta akibat kemajuan, penguasaan dan kecanggihan teknologi ICT,  membuat penguasaan mutlak Sang Penguasa dalam memutar-belitkan ‘maklumat’ telah terburai.  Hakikat abad ke 21 ialah:  ICT bukan lagi menjadi milik mutlak Sang Penguasa semata-mata.

Pada 9 Julai 2011, apa yang sedang berlaku di Jalan Pudu, Kuala Lumpur dilaporkan secara langsung (secara pandangan mata dan berbentuk visual pula) ke seluruh buana. Sementalahan pula, ratusan dan ribuan rakaman video, gambar digital telah direkodkan oleh pelbagai pihak,  termasuk rakyat yang hadir pada petang itu. 

Pendek kata, di abad ke 21 ini, Sang Penguasa bukanlah si monopoli mutlak segala peristiwa di tapak kejadian.  Sang Penguasa juga tidak terdaya lagi, terus-terusan menjadi pembohong dengan mereka-reka cerita@pembohongan.  Ketika sesuatu peristiwa itu berlaku, terdapat pelbagai pihak lain yang turut merekodkan, pada saat dan detik itu, segala yang sedang terjadi di tapak peristiwanya.  Ya, penguasaan serta kemajuan ICT bukan lagi menjadi milik dan padang permainan ekslusif Sang Penguasa saja. 

3.

Jika kita undur ke dalam rumah sejarah negara kita, di antara peristiwa putar belit yang ditemui termasuklah Memali yang sarat kezaliman itu.  Ya, sekarang ini kita telah ketahui bagaimana Memali, Baling versi Sang Penguasa itu hanyalah pembohongan semata-mata.  Rakyat yang tidak bersenjata dikorbankan demi untuk Sang Penguasa terus berkuasa.


4.

Ramai yang sedar bahawa pembohangan-pembohongan terang-terangan yang diolah dan dimanupulasi dengan menmanfaatkan sentimen agama dan ‘demi Melayu’ itu jarang sekali gagal. Itulah tragedi kisah silam kita.  Apakah ia masih lagi menjadi tragedi kita?

Jadi tentulah kita tidak terkejut kenapa pengulangan demi pengulangan, olahan demi olahan berterusan dengan membesar-besarkan sentimen ‘Komunis yang anti agama@anti Tuhan’ itu berterusan.  Ia menjadi senjata yang cukup ampuh buat mengekang penentangan terhadap penjajahan British.  Sentimen anti agama dan anti Tuhan ini sangat berkesan dalam mematahkan gelora perjuangan golongan kiri zaman lampau tatkala menentang penjajah, British.     

Tatkala itu siapakah yang menjadi balaci wahidnya penjajah itu?  Apakah Umno telah berubah? 

5.

Bagi kita riuh rendahnya peristiwa Bukit Kepong akibat kupasan Mat Sabu cukup menarik untuk diteliti.  Umno seperti biasa mahu menjadikan hal-hal seperti ini modal politik demi untuk menunda saat mati lemasnya. Ya, pandangan dan kupasan orang nombor dua Pas ini, eloklah kita teliti dengan penuh saksama.

Marilah kita teliti hujahnya. Marilah kita teliti peranan, katanya ─ para pejuang Umno ketika itu. Di samping itu usah lupa, telitilah juga pengorbanan kumpulan kiri yang telah mereka/Umno, termasuk penjajah British,   mangsai. 

Jadi, apakah mudharatnya jika kita was-was bahawa yang dikatakan sejarah perjuangan kemerdekaan kita itu tidaklah tepat semuanya?  Apakah berdosa jika kita berpendapat bahawa sejarah kita juga kerap sekali dibumbui dengan hal karut-marut yang tidak tepat@yang direka-reka demi untuk menjustifikasi segala dosa, kejahatan dan segala perbuatan keji Sang Penguasa?   

Apakah sejarah itu benar-benar ‘sejarah’ atau apakah ia juga salah satunya cabang seni ─ seni berbohong ─ sebuah cabang ‘ilmu’,  milik eskslusif segala Sang Penguasa?
  

1 comment:

ainurjah said...

Sungguh jitu dan mantap tulisan tuan. Ayuhlah! Marilah bersama kita berfikir di luar kerangka yang jumud. Sudah sampai masanya kita menilai semula jejak-jeka bertapak yang telah kita lalui di atas titian sejarah yang dibina oleh mereka yang mempunyai agenda keduniaan semata-mata bukan memaparkan kebenaran. Atas sikap kita yang tidak ambil kisah tentang banyak perkaralah maka terjadinya demikian.