Tuesday, September 27, 2011

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI HARUS BERFUNGSI DENGAN LEBIH DINAMIK

Kenyataan MAPIM
27hb September 2011


MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI HARUS BERFUNGSI DENGAN LEBIH DINAMIK

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa agar Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) segera mengadakan kerjasama yang lebih akrab dengan pelbagai badan kemasyarakatan (NGO) setempat untuk meningkatkan kedinamikan institusi itu sebagai majlis penghubung antara umat Islam. 

MAIN tidak harus hanya berimej terlalu birokratik dan berfungsi hanya sebagai cabang institusi pemerintah semata.

Fungsi MAIN yang dinamik hendaklah berasaskan sikap lebih terbuka terhadap penglibatan badan-badan masyarakat yang sudah sedia bergerak secara sukarela kerana ini akan membantu untuk menyemarakkan rasa dekat dan mesra antara umat Islam dengan pihak MAIN.

Manfaat yang lebih positif akan diperolehi jika MAIN bukan hanya dilihat sebagai badan pengawas dan pelindung agama Islam akan tetapi sebagai sebuah Majlis yang dimilikki bersama oleh umat dan juga bertanggungjawab kepada umat Islam.

Transformasi yang lebih bermakna hendaklah menjurus kepada soal pendekatan MAIN sebagai institusi yang lebih akrab dengan masyarakat dan lebih dinamik dalam urusannya untuk menangani pelbagai persoalan masyarakat Islam. 

Persepsi masyarakat kini ialah Majlis Agama Islam hanya dilihat sebagai institusi yang terlalu struktural dan pejal serta kurang peka serta tidak responsif kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam yang menyentuh persoalan kehidupan seharian. 

Dalam hal yang secara khusus memang dalam bidang kuasa Majlis Agama Islam itu sendiri, ia masih belum dilihat oleh masyarakat sebagai institusi berkesan seperti masalah kebajikan, urusan mualaf dan gerakerja da’wah, pengurusan wakaf, tatacara dan perundangan urusan keluarga Islam, pengurusan institusi pendidikan Islam,
pengurusan masjid dan surau dan pengurusan asset Majlis Agama Islam.

Walaupun secara fungsionalnya MAIN lebih dilihat berurusan hanya soal agama secara khususnya, namun ia sepatutnya juga melambangkan sebuah institusi yang menterjemahkan pembinaan masyarakat umat Islam yang berciri khairo ummah secara menyeluruh sebagaimana yang dituntut oleh Al Quran.

MAPIM mencadangkan Majlis Agama Islam memberi tumpuan kepada persoalan menjadikan setiap Masjid dan Surau di negara ini sebagai tapak dan paksi membina komuniti qaryah yang mithali dalam semua aspek kehidupan; sosio-budaya, ekonomi, pembangunun sumber insan, kebajikan, pembinaan keluarga dan generasi muda, pengurusan alam sekitar yang mapan, kepimpinan institusi setempat yang dinamik, kesatuan ummah, pembentukan budaya dan gaya hidup yang Islamiyyah serta penerapan dan pendidikan kesedaran kehidupan berakhlak yang tinggi berbekalkan keutuhan kerohanian yang kukuh dan mantap.

Sebagai sebuah institusi yang berwibawa, masyarakat menaruh harapan yang tinggi agar Majlis Agama Islam menjadi paksi kepada pembinaan masyarakat Islam.  Adalah menjadi suatu yang malang jika Majlis Agama Islam dilihat dari kacamata yang penuh prasangka dan berkecenderungan politik akibat campurtangan pihak yang mempunyai agenda yang tidak baik terhadap Islam dan umat Islam di negara ini.

Seharusnya semua Majlis Agama Islam adalah institusi yang amat dihormati malah boleh menjadi sandaran masyarakat Islam seluruh negara.

Untuk itu, secara asasnya yang sangat penting dan genting ialah semua Majlis Agama Islam negeri-negeri perlu melakukan transformasi yang berani untuk melaksankan misi mengarusperdanakan undang-undang syariah.

Dolak-dalik untuk beralasan tidak mahu mengusahakan agar undang-undang syariah Islam secara menyeluruh menjadi tatacara dan peraturan hidup kaum Muslimin di negara ini akibat campurtangan politik tidak harus berlaku dan wajar ditolak.

MAPIM menyarankan agar Majlis Agama Islam negeri-negeri benar-benar menjadi sumber penggembleng masyarakat umat Islam dalam hal usaha pengukuhan dan peningkatan kualiti serta status kehidupan umat Islam.

Majlis Agama Islam tidak seharusnya berbelanja besar hanya dari segi fizikal dan infrastruktur yang membazir.  Perhatian lebih mesti diberi kepada fungsi membangunkan status dan kedudukan Islam dan umat Islam di negara ini. 

Di samping memastikan kesucian Islam tidak dicerobohi, Majlis Agama Islam juga sewajarnya memberi fokus kepada persoalan majoriti umat Islam yang masih banyak berhadapan dengan isu-isu asas seperti kemiskinan, kemunduran dalam pendidikan, kepincangan akhlaq, krisis institusi keluarga, keperluan asasi, pengurusan kebajikan golongan dhu’afa, kualiti perumahan dan khidmat kesihatan.

Adalah menjadi sangat janggal ketika mana menjaga persoalan aqidah tidak turut seiring dengan menjaga maruah ummah dari sudut sosio-budaya dan ekonomi ummah. 

MAPIM juga sangat memberi perhatian kepada persoalan kedudukan Islam dan Melayu yang sudah sekian lama tidak diposisikan dengan lebih mantap lantaran Majlis Agama Islam negeri-negeri selama ini tidak cukup memberi respon yang jelas apabila timbul isu-isu yang berkait dengan kepentingan umat Islam.

Sedemikian banyak isu yang berbangkit tidak mendapat reaksi balas dari Majlis Agama Islam dengan tuntas, yang mengakibatkan masyarakat awam berada dalam keadaan keliru dan kehilangan punca untuk mendapat penjelasan.  Isu seperti rencana yang menghina Islam dalam media, kedudukan penggunaan kalimah Allah, terjemahan bible dalam bahasa Melayu, tindakan mengheret kes penjagaan anak-anak mualaf  ke mahkamah sivil, isu memurtadkan orang Islam dan penyebaran agama lain kepada umat Islam adalah antara isu yang tidak ditangani oleh MAIN dengan berkesan.

MAPIM bertambah kesal bila pihak media secara tidak bertanggungjawab pula mengangkat isu tertentu sehingga menambahkan lagi polemik dan simpang siur perdebatan yang akhirnya memburuk dan menjejaskan imej Islam di kacamata masyarakat. 

Ketegasan Majlis Agama Islam Malaysia (MAPIM) untuk memastikan kedudukan dan penguatkuasaan enakmen Islam yang diwujudkan, hendaklah juga diikuti dengan tindakan yang konkrit dan berkesan.  Hanya dengan sikap membisu dan tidak mengenengahkan pendirian dengan jelas akan menambahkan lagi kekeruhan dalam masyarakat.

MAPIM mengalu-alukan cadangan agar ahli Majlis Agama Islam diwakili oleh pelbagai kepakaran yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan pengukuhan kedudukan Islam dan umat Islam di negera ini.

Malah mereka yang dilantik seharusnya mempunyai contoh teladan yang dituntut oleh Islam bukan sahaja dari sudut keilmuan tetapi juga dari segi gaya dan budaya hidup Islam yang dapat dicontohi oleh masyarakat.  Perilaku hidup bermewah-mewahan, budaya elit serta tidak menunjukkan gaya hidup sederhana seperti yang diteladani  oleh Rasulullah s.a.w hendakalh ditolak.



Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM 




No comments: