Seorang Azizi dalam masyarakat milik kita
Dalam pertemuan yang begitu sederhana penuh bermakna di kalangan segelintir teman PAKSI, Seniman Paksi Rakyat di ‘Warung Rakyat’, sebuah warung di seberang Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bertahlil seraya mendokan kesejahteraan arwah sasterawan Azizi Abdullah, beberapa sudut pandangan yang rencam yang cukup menarik telah diperkatakan. Yang rencam itu bukan saja berkisar sekitar pengalaman dan tanggapan masing-masing semasa bergaul dengannya, tetapi juga buah fikiran serta gagasan yang tercetus dari pengalaman peribadi arwah Azizi Abdullah itu sendiri. Gagasan teman-teman Paksi seputar pengalaman hidup sasterawan ini sememangnya memerlukan tindakan susulan.
Sesungguhnya agenda hari Jumaat, 7 Oktober 2011 jam 9.00 di Warung Rakyat itu cukup mudah. Ia bermula dengan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Cikgu Mi, Azmi bin Abdul Hamid, Presiden TERAS, Teras Keupayaan Melayu yang diikuti dengan tanggapan peribadi para teman Paksi. Khusus untuk pertemuan itu, ‘Cikgu’ demikianlah gelar yang kami kepada pemilik warung itu, telah menyediakan juadah khusus kepada kami. Warung yang biasanya gelap pada waktu malam tapi terang benderang pada malam Sabtu itu menarik perhatian para pelanggan lain.
Apakah yang telah diputuskan dalam sesi penuh bermakna itu?
Pertama, sebanyak 145 (satu ratus empat puluh lima sahaja) buah judul buku nadir dan transkrip arwah yang kini berada di tangan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ‘sewajarlah dinilai dengan adil dan saksama’ selaras dengan hakikat bahawa Azizi Abdullah adalah khazanah sastera tidak ternilai harganya yang pernah lahir di negara ini. Bagi sesetengah teman, almarhum mungkin saja bukan seorang SN tapi Azizi adalah sasterawan yang tidak ada duanya.
Kedua, setiap tahun diterbitkan semula salah satu daripada novelnya. Dengan itu karyanya terus saja menemui khalayak. Mungkin ada saja di kalangan pembaca yang tercari-cari misalnya, “Seorang tua di kaki gunung”
Ketiga diusahakan supaya diadakan seminar ‘skala besar’ untuk membincangkan pelbagai karya utamanya. Semoga dengan pendekatan begini, diharapkan tampang dan sosok Azizi Abdullah sebagai seorang sasterawan yang bertahun-tahun berkubang dalam lubuk sastera itu dapat diangkat semula ke tengah-tengah masyarakatnya ─ tempat almarhum belajar, merenung dan berkarya.
Keempat sebagai usaha jangka pendek dan dalam waktu terdekat pula, CAP, Persatuan Penggunan Pulau Pinang akan mengadakan seminar tentang Azizi Abdullah dan hasil ketukangannya semasa di CAP.
2
Bagi teman-teman di Paksi, pemergian Azizi Abdullah dan reaksi pelbagai kelompok masyarakat terhadap kepergiannya itu cukup menarik untuk diteliti dengan lebih mendalam lagi.
Sebagai contoh, apakah agaknya erti dan makna, tersurat maupun tersirat yang dapat kita baca daripada tingkah para birokrat sastera terhadap karya-karyanya setelah dia tiada lagi di muka bumi ini?
Apa pula yang dapat kita baca dan pelajari daripada tingkah Penguasa sedia ada, dan para politikawan yang berhempas pulas mahu menjadi Sang Penguasa baru, khususnya dalam konteks peranan sasteranya seorang manusia seperti Azizi?
Tidak kurang pentingnya, agaknya apakah pula bentuk tanggapan manusia-manusia Malaysia umumnya, terhadap orang-orang sastera seperti Azizi Abdullah?
3.
Di tengah-tengah hiruk pikuknya ibu kota, sebatang sungai tebingnya konkrit, mengalir deras menerjah pelbagai ragam tikungan longkang-longkang besar. Air hanyirnya sarat mengendong kelodak. Sungai itulah yang diharapkan untuk menyahkan SELURUH sisa perut alam ini ke laut.
Sungaikah itu ─ yang mengalir deras itu? Kenapakah tampangnya, hati dan nuraninya lebih mirip longkang yang maha pongah?
No comments:
Post a Comment