Sunday, October 9, 2011

Penjajah (versi baru)


Pendidikan sebagai aparat setia PENJAJAH (lama dan juga baru)


Dalam ‘karya terakhir’ Rustam A. Sani, berjudul, “Ketemu di Alur Zaman: Himpunan rencana tentang beberapa tokoh masyarakat di Malaysia” yang antara lain membariskan watak-watak seperti Johan Jaffar, Ezam Mohd  Nor, Khairy Jamaluddin, Zainuddin Maidin dan Kassim Ahmad, kita temui juga H.M. Dahlan, ‘Ahmad Boestamam, ayahku’, Lee Kuan Yew, Syed Husin Ali, Abdul Razak Ahmad dan akhir sekali Usman Awang.

Mari kita teliti apa kata almarhum Rustam Sani (betapa saya amat merindui bicara mata penanya) tentang Usman Awang:


“Melalui akhbar yang mereka kendalikan dari tengah-tengah milieu masyarakat proletar dan golongan pekerja di Singapura, mereka sebenarnya melaksanakan “renaissance” budaya Malaya, khususnya usaha melahirkan budaya Melayu moden.  Tulisan mereka menggarap pelbagai aspek kehidupan ─ namun sastera (bagi Usman khususnya puisi) adalah bahagian yang besar daripada “renaissance” tersebut.

Dalam kebanyakan masyarakat yang sedang tumbuh dan sedang terbentuk di luar kerangka sosial masyarakat terjajah, kebangkitan budaya yang demikian itu biasanya dipelopori oleh suatu golongan elit tempatan yang terpelajar dan terdedah kepada pendidikan bahasa-bahasa Barat.

Di India, umpamanya, golongan yang demikian telah memulakan sebuah tradisi penulisan dalam bahasa Inggeris yang begitu mantap ── dengan kesannya terhadap kejayaan tradisi tersebut menyumbang kepada sastera berbahasa Inggeris dunia hingga ke hari ini.

Fenomena sosial yang demikian tidak pernah terjadi dalam masyarakat kita. Golongan elit kita tidak pernah mendapat pendidikan Barat yang sempurna, hanya pendidikan kolonial yang tercipta untuk menjadikan mereka aparat setia penjajahan Barat.  Oleh yang demikian anggota masyarakat kita yang memperoleh pendidikan tersebut bukan sahaja tidak mampu mencetuskan tradisi penulisan bahasa Inggeris yang mantap dan kreatif di negara ini, mereka malah menjadi beku dan bungkam dalam bahasa dan budayanya sendiri.”


2.

Sila dapatkan naskhah tuan.  Betapa ruginya tidak membaca bahan-bahan menggugah minda seperti ini.    
       
Karya terakhir Rustam A Sani “Ketemu di Alur Zaman” Media Icon Sdn Bhd, 2009 (Buku Siasah).



No comments: