Wednesday, November 16, 2011

Jika hayat saya pendek...


Khazanah yang ditinggalnya


“Sima melepaskan nafas lega. Tanpa disedari dia memeluk Jone dan meletak pipinya di bahu Jone.

Jone menepuk belakang Sima seperti memujuk supaya tidak menangis lakunya.

Malam itu mereka tidur seranjang dengan didindingkan oleh moral  Jone dan disekat oleh adangan iman.  Jone beralih ke kiri, Sima beralih ke kanan.  Dilepaskan hembusan nafas berselang seli namun nafas-nafas itu tidak bertemu.

Hujan di luar masih runtuk.  Guruh jauh-jauh mengaum dan kecipak timpaan hujan di bumbung khemah tingkah bertingkah.  Jone tahu bunyi kecipak begitu kerana yang jatuh itu ialah titik-titik dari daun-daun pokok jati.

Sejuk malam itu menyebabkan Sima tidak segan-segan memberi separuh selimutnya kepada Jone.

Seekor patung yang hendak mengepak naik ke tepi ranjang, jatuh semula ke bawah.”


Azizi Abdullah, Mandala dunia kedua, PTS Litera Utama Sdn Bhd. Kuala Lumpur, 2011, halaman 134.


2.

Dinsman dalam Wacana Budaya, Harakah bilangan 1690, bertarikh 18 - 21 Zulhijah 1432, bersamaan 14 - 17 November 2011 merakamkan begini:

"Malam 18 November ini beberapa orang sahabat Azizi akan berucap mengungkapkan episod-episod tertentu mengenai Azizi.  Episod dengan Masjid Batu tentulah akan diungkapkan  oleh Cikgu Khairuddin, manakala episod Azizi dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan diungkapkan oleh Cikgu Azmi Abd. Hamid, yang mempunyai pengalaman secara langsung mengenainya.  

Episod Azizi dengan Paksi akan diungkapkan Kassim Muhamad (Barajiwa), yang juga akan memperkenalkan novel terbaru Azizi.  Beberapa orang sahabat dari Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) akan membaca puisi, manakala Ketua Satu 2PNP, Anuar Asmadi, sebagai sahabat karib Azizi tentunya mempunyai episod tertentu untuk diungkapkan. "


Soalnya: Apakah saya cukup kuat untuk bercakap tentang seorang penulis besar yang sangat merakyat jiwanya itu?

Entahlah.

Tarikh:  18 November, 2011(Jumaat)
Malam: Seusai solat
Tempat: Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh, Seberang Perai.


Tuan-puan, khususnya anak-anak muda,  marilah kita berkumpul di masjid yang sangat tersohor ini. Kita, sama-sama doakan kesejahteraan almarhum. 


____________________________________

Mandala 1. kawasan atau lingkungan yang termasuk dalam bidang kuasa pihak berwajib (negara)

2. ruang lingkup sesuatu bidang ilmu, pengetahuan, dsb 

3. (sl: sastera lama)  bulatan, lingkungan, daerah

(Halaman 991, Kamus Dewan, Edisi ke-empat)


    

No comments: