Thursday, November 10, 2011

Jual beli glamour

Glamour, artis dan politikawan

Sumber: (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/buku-najib-perlu-undur-sebelum-pru-korban-selamatkan-umno-bn/)

Buku: Najib perlu undur sebelum PRU, korban selamatkan Umno-BN

Oleh G Manimaran
November 09, 2011


Senarai kesilapan itu disenaraikan di bawah tajuk "1Malaysia Silap Pertama Di Hari Pertama Sebagai PM", "Menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan", "Mewujudkan Kabinet Kawan-kawan", "Kabinet Lemah dan Ramai Menteri Senator", "Rasionalisasi (Sebenarnya Pemotongan) Subsidi", "Pelantikan APCO", "Gagal Mengawal Karenah dan Gaya Mewah Rosmah", "Gagal Mengurus Parti Komponen dan Anggota Kabinet", "Terlalu Banyak Program Transformasi Tapi Hasil Diragui", "Tidak Tegas dan Flip Flop".
Tajuk-tajuk lain yang menyusul ialah "Manipulasi Media Yang Melampau", "Menjadikan Umno Kurang Melayu", "Terlalu Bergantung Kepada Bekas Panglima Anwar", "Merestui Budaya Politik Jijik dan Lucah", "Membiarkan Amalan Nepotisme dan Kronisme", "Mempunyai Ramai Pegawai Tapi Tidak Membantu", "Tidak Bijaksana Mengendali Bersih 2.0", "Mansuhkan ISA Rugikan Melayu" dan "Terlalu Mengejar Populariti".


2.

Di atas ialah sebahagian daripada petikan berita tentang BUKU. Dan orang selalu menyebut BUKU-BUKU seumpama ini sebagai BUKU politik. 

Sepertimana yang kita ketahui, budaya melambakkan BUKU kategori ini telah lama kita temui dalam dunia politik kita, khususnya politik Umno. Kata orang,  perhimpunan parti Melayu ini biasanya cukup meriah dengan BUKU-BUKU politik.  Ertinya ada saja yang mahu dinaikkan ─ supaya naik tocangnya.  Ada juga yang mahu mereka humban.  Untuk itu ada BUKU yang diam-diam diseludup masuk ke dalam begnya para perwakilan.

(Maknanya: BUKU yang diseludup adalah isyarat nyata lagi jelas bahawa ada pemimpin politik yang mahu dihumban ke dalam laut dalam oleh musuh-musuh politiknya.)

Seorang sasterawan yang terkenal sebagai pengkritik sastera tanah air pernah mengatakan bahawa BUKU seumpama ini lebih real, lebih nyata dibandingkan dengan kritikan sastera.  “Sekarang,  saya tumpu ke bidang ini.” Ujarnya seraya berdekah-dekah.  

Apakah budaya BUKU kelas ini juga terdapat dalam politik kaum Cina?  Atau mereka ada kaedah lain untuk menjulang atau pun melelong-murah para pemimpin mereka?

3.

Ada beberapa persoalan menarik yang boleh kita teliti:

Apakah ini budayanya, budaya BUKU sebagai sumber ilmu itu? 

Apakah perbezaan budaya BUKU kategori ini dengan budaya gosip media (cetak dan elektronik, digital) tentang hidup dan kehidupan para artis?

Kenapa agaknya orang gemar sekali mengikuti hidup dan penghidupan artis?

Apakah kerana dorongan kuat budaya gilakan sensasi dunia artis yang kelihatannya sudah membudaya di kalangan kita,  maka orang-orang politik juga memilih kaedah BUKU sebagai strategi peperangan mereka?

Apakah itu di antara sebab musabab utama kenapa artis juga laris sebagai komoditi  teman hidup?

Apakah dalam konteks meraih undi, seorang pemimpin politik sebenarnya juga seorang artis? (Sebenarnya satu soalan yang tak perlu ditanya.  Sudah berapa banyak bintang yang dinobat menjadi pemimpin politik) 

Perhatikan betapa hebatnya pengaruh dunia glamour itu.  Dunia buat-buat, alam make believe.

Politik juga dunia buat-buat, lakon dan senda gurau di atas puing-puing lara rakyat?

____________________________________________________

"Mansuhkan ISA Rugikan Melayu":  Ada beberapa orang pembaca Malaysian Insider yang bertanya apa kena mengenanya ISA dengan orang-orang Melayu?  Apakah kezaliman itu sebahagian daripada Melayu? 

Untuk orang-orang yang masih memuja ISA ini, eloklah teliti semula Abul A’la Mawdudi, Human Rights in Islam, The Islamic Foundation, Leicester, United Kingdom, 1993.  Halaman 21, The Right to Justice.



No comments: