Friday, November 11, 2011

Maka berceritalah Abdul Majid Salleh

Tentang burung, ayam dan kambing


Melayu jadi minoriti jika berpecah, kata Dr Mahathir

6:18PM Nov 10, 2011

Orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah belah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyatakan orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan, bekas Perdana Menteri itu berkata hanya dengan bersatu, orang Melayu boleh menjadi kumpulan majoriti yang berkesan untuk bertindak memelihara kepentingan mereka.

"Dulunya orang Melayu bersatu dalam satu parti hingga berjaya menentang (rancangan penubuhan) Malayan Union," katanya semasa menjawab soalan peserta yang hadir pada syarahan perdana oleh beliau bertajuk Pembinaan Tamadun dan Budaya Masyarakat Malaysia Ke Arah Pembentukan Sebuah Negara Maju, di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir, 85, berkata suara orang Melayu akan tenggelam jika mereka berpecah menjadi beberapa kumpulan minoriti dan memerlukan sokongan pihak lain untuk mencapai hasrat perjuangan mereka memelihara bangsa sendiri.


2.

Abdul Majid Salleh, Memoir Abdul Majid Salleh Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004 dalam memoirnya (halaman 104) telah menulis begini:


“PERKAUMAN

Ada juga terdengar suara-suara sumbang dari anak-anak Merdeka sekarang mengatakan, bahawa perjuangan PKMM dahulu berdasarkan perkauman.  Sebenarnya, pejuangan PKMM ialah berjuang untuk mendapatkan Kemerdekaan dari penjajah Inggeris, bukannya berjuang setelah Merdeka, ertinya setelah Inggeris atau penjajah sudah tidak ada baharulah kita berjuang.

Semasa mula berjuang dahulu, orang tidak menceritakan tentang bentuk Kemerdekaan yang hendak diperjuangkan.  Cuma apa yang ada ialah berjuang dahulu untuk mendapatkan Kemerdekaan.  Apabila sudah Merdeka baharulah kita gariskan corak Kemerdekaan negara yang hendak kita bentuk.  Kalau kita hendak sebuah negara sistem kapitalis, maka hendaklah berguru ke Amerika.  Kalau bentuk negara sosialis pula, maka hendaklah belajar dari Rusia.  Dan kalau negara Islam pula hendaklah kita ikut al-Quran dan Hadis.  Hadis menerangkan: “Bahawa agama manusia itu adalah terletak kepada pemimpinnya.”
Di halaman 77, pengarang ini memberikan pemerhatian berikut:

“ Dato’ Onn membunyikan perkataan merdeka itu ‘Merdeheka’ iaitu mengikut ejaan lama dan tidak mengikut bunyi pelat Indonesia iaitu’Merdeka.’  Apabila UMNO mengatakan PKMM itu Komunis, maka orang-orang PKMM mengatakan UMNO itu “British Collaborator.’ Collaborator bererti alat, yang bererti UMNO menjadi alat British.  Persengketaan semakin menjadi sehingga ada orang PKMM mengatakan orang UMNO itu anak emas Inggeris, hantu Inggeris, pengampu, petualang dan bermacam-macam lagi.

Dengan adanya cogan kata UMNO ‘Hidup Melayu’ itu pun sudah cukup sebagai perbezaan tujuan perjuangan di antara UMNO dengan PKMM, sedangkan cogan kata PKMM ialah ‘Merdeka.’  Kalau untuk hidup sahaja burung di dalam sangkar pun hidup, ayam pun hidup juga diberikan oleh tuannya makan, kambing pun hidup juga, tetapi adalah seperti bumi dengan langit perbezaannya antara hidup anak penjajah dan hidup Merdeka.”


 3.

Renungilah dengan saksama kedua-dua petikan@tulisan di atas.   Mungkin kita boleh bermula dengan satu dua persoalan yang paling mendasar:


Seorang itu pernah menjadi Penguasa Mutlak negara ini dan kini sedang berhempas pulas mahu mengekalkan apa yang pernah dikerjakannya.  Dianya (bahasa yang salah tapi menjadi popular kerana dianya yang memulakannya) bermati-matian mahu mempertahankan legasinya.  Di zon umur sedemikian dianya masih lagi berhempas pulas mengumpul kudratnya...

Lihatlah mesejnya.  Lihatlah apa yang mahu disampaikannya dengan begitu bersungguh-sungguh oleh dianya itu.  Sang Penguasa itu tersangatlah gelabah apabila orang-orang Melayu, tulang belakangnya lari meninggalkannya.  Bayangkanlah azabnya orang-orang jenis ini, manusia-manusia klon ini, manusia kategori ini, apabila melihat hakikat bahawa sesungguhnya akan benar-benar spinelesslah UMNO itu. Oleh yang demikian pendekatan yang biasa, yang lazim digunakan berulang-ulang kali sejak sekian lama ialah bahawa orang-orang Melayu telah berpecah belah. 

Sebenarnya yang mahu disampaikan ialah rayuan-ugutan-pembohongan-penipuan terancang supaya orang-orang Melayu janganlah sampai meninggalkan UMNO.  Itu saja mesejnya.

Bandingkan pula pandangan kedua, pemerhatiannya Abdul Salleh.  Siapakah Abdul Salleh Majid ini?

‘Sebenarnya kawanku mengetahui bahawa aku adalah bekas tahanan Darurat pada 1948-54, bukannya tahanan ISA kerajaan selepas Merdeka.  Tahanan Darurat ialah mereka yang menuntut kemerdekaan daripada British.”

Aku ditahan tujuh tahun terus-menerus di penjara Johor Bahru, Penjara Autram Road, Singapura dan Penjara Changi, Singapura; juga dimasukkan ke dalam khemah tahanan (Detention Camp) Majeedi, Johor Bahru; Ashby Road, Ipoh (Ashby Rd. Detention Camp) sekarang bertukar menjadi Stadium Perak, dan akhir sekali di Morib, Selangor.  Aku juga merasakan dimasukkan ke dalam tiga buah lokap iaitu di Kampar, Segamat dan Johor Bahru.”

Sila dapatkan memoir ini.  Tak rugi membacanya.

(Masih wujudkah ‘penerbit’ ini?)




No comments: