Kenyataan Media TERAS
23hb November 2011
Akta Perhimpunan Aman Menafikan Hak Rakyat dan Memutlakkan Kuasa Menteri dan Polis
TERAS membantah Rang undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Terdapat unsur yang bercanggah dalam Akta tersebut. RUU itu pada hakikatnya tidak membenarkan perhimpunan. Dengan hanya mengguna nama Perhimpunan Aman, akta itu tidak dapat berselindung dari isinya yang sebenar iaitu tidak membenarkan perhimpunan.
TERAS mendapati rang undang-undang itu, yang dibentang oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz itu memberi lebih kuasa kepada menteri dan polis. Dengan tidak membenarkan protes dijalanan menunjukkan pihak kerajaan tidak menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pendapatnya secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah ini menandakan wujudnya konflik peraturan antara Perlembagaan dan Akta yang digubal.
Isu melarang protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat, bagi TERAS menunjukkan akta ini akan diguna untuk menyempitkan hak rakyat untuk berhimpunan. Malah mengikut akta yang digubal itu, perhimpunan boleh ditarikbalik bila polis sendiri membuat bantahan.
Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A itu sendiri menunjukkan wujud unsur zalim. Dengan menggubal Akta yang baru ini polis diberi kuasa yang lebih untuk bertindak mengikut arahan pihak kerajaan.
Kami melihat Akta ini hanya bertujuan untuk memastikan tindakan pihak polis atas arahan kerajaan lebih terjamin dari sebarang tindakan dicabar di mahkamah.
Jelas Akta ini bukan untuk membawa perubahan yang progresif dari sudut hak demokrasi untuk rakyat, disebaliknya adalah adalah regressif iaitu melindungi kerajaan dan polis untuk bertindak ke atas rakyat yang mahu mezahirkan protes.
Pada hakikatnya undang-undang ini cuba menta'rifkan erti kebebasan yang tidak mutlak. Akan tetapi perhimpunan yang aman jika diadakan dengan tertib dan aman sepatutnya dibenarkan sesuai dengan peruntukan dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.
Dengan akta ini, nampaknya rakyatselalu diingatkan bahawa tiada kebebasan yang mutlak, akan tetapi nampaknya pihak polis dan menteri pula diberi kuasa yang mutlak.
Akta yang menyenaraikan tempat-tempat yang dilarang untuk berhimpun mungkin punyai rasional atas nama keselamatan awam, namun di kawasan rumah ibadat seperti masjid bila turut disenaraikan akan menafikan masyarakat Islam dari menyatakan pendirian secara beramai-ramai.
Perhimpunan di masjid untuk menyatukan umat Islam menghadapi pelbagai isu tidak sepatutnya dijadikan isu untuk menyekat masyarakat dari berhimpun dan bersuara.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
No comments:
Post a Comment